Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Polis Dikerah Mengawal Pertelingkahan PAS Dan Puteri Umno
 



Oleh: Nash Rahman


Anggota polis terpaksa dikerahkan mengawal keadaan apabila berlaku pertikaman lidah melalui pembesar suara di antara penyokong PAS dan anggota Puteri Umno sewaktu berlangsungnya ceramah PAS di kawasan Benus dalam kawasan pilihanraya kecil Ketari, Pahang malam tadi.
Ketegangan itu bermula apabila juruacara majlis ceramah PAS, Mohd Iqbal Hamidi Mohd Rosli, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Kuala Pahang, memanggil Puteri Umno sebagai “bodoh dan tolol”.

Ceramah itu yang bermula jam 9.30pm diadakan di markas PAS Benus yang terletak bersebelahan dengan pangkalan Puteri Umno yang bertugas sepanjang pilihanraya kecil Ketari.

Para penceramah terdiri daripada calon DAP Choong Siew Onn, Adun DAP Kawasan Triang Leong Ngah Ngah, ahli majlis tertinggi Keadilan, N Gobalakrisnan, ahli jawatankuasa Pusat PAS, Mohamad Sabu dan pengerusi DAP Johor, Ahmad Ton.

Sewaktu ceramah itu berlangsung, kedengaran bunyi lagu-lagu patriotik Umno dipasang dari tempat Puteri Umno. Beberapa penceramah jemputan termasuk Choong dan Leong, beberapa kali menempelak perbuatan Puteri Umno itu dengan mendakwa bahawa “mereka hanya tahu berkaraoke” sepanjang berada di Ketari.

Mohd Iqbal yang juga kelihatan tidak senang dengan bunyi lagu-lagu berkenaan, turut menempelak kumpulan Puteri Umno itu dengan memanggil mereka sebagai “bodoh dan tolol” dengan disambut oleh tepukan gemuruh hadirin.

Polis menasihat Puteri Umno

Melihat keadaan tidak berubah, Mohd Iqbal telah meminta jasabaik anggota polis yang berkawal di situ supaya menasihatkan Puteri Umno berhenti menganggu majlis ceramah berkenaan.

Dengan suara yang agak tinggi, beliau mengingatkan bahawa pihaknya tidak dapat bertanggungjawab sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini akibat daripada “gangguan orang sebelah (Puteri Umno)”.

Difahamkan pegawai polis menemui kumpulan Puteri Umno itu sambil meminta mereka supaya jangan menganggu majlis ceramah PAS yang diadakan selepas mendapat permit daripada pihak polis.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian kedengaran suara penceramah dari tempat Puteri Umno yang antara isi kandungannya menyentuh mengenai isu-isu yang ditimbulkan oleh penceramah di majlis ceramah PAS.

Ketika Mohamad Sabu tampil untuk memberi ceramah, beliau beberapa kali meminta pihak “sebelah” yang masih menerus ceramah, supaya jangan menganggu ceramahnya.

Ketika itu juga, kelihatan enam trak anggota polis mula memasuki kawasan berkenaan dan terus berkawal di situ untuk meredakan keadaan.

Akhirnya, malaysiakini difahamkan bahawa pihak penganjur ceramah PAS itu bersetuju untuk mengalihkan pembesar yang sebelumnya menghala ke sebelah tempat Puteri Umno, ke sudut lain.

Walaupun keadaan lega sedikit, tetapi kedua-dua pihak masing-masing meneruskan ceramah, dengan anggota polis bersiap sedia menjaga keadaan

Ketua Puteri Umno, Azlina Othman dan penolong setiausaha Pemuda Umno, Zulkifli Alwi juga turut berada di situ, kelihatan berbincang sesuatu dengan anggota Puteri Umno.

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net