Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Kehilangan Wang Tabung Haji: Dedahkan Jenis Perniagaan Yang Diceburi
 
Kenyataan Media
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Nasional



Parti Keadilan Nasional menuntut agar Tabung Haji mendedahkan kepada orang ramai jenis perniagaan yang diceburi sehingga sanggup membuat pelaburan yang begitu besar melalui sebuah syarikat dan menyebabkan Tabung Haji kehilangan RM200 juta.

KeADILan berpendapat, walaupun Tabung Haji telah memperolehi semula RM120 juta seperti yang dilaporkan, rakyat perlu diberitahu jenis perniagaan dan pelaburan yang dibuat. Tabung Haji juga harus menjawab persoalan samaada segala garis panduan pelaburan dipatuhi dan kajian yang teliti telah dilaksananakan sejajar dengan etika tadbir urus pelaburan.

Kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin bahawa pelaburan itu dibuat melalui sebuah syarikat yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebenarnya tidak sedikitpun memberi jawapan kepada persoalan bagaimana wang tersebut boleh hilang.

Sebaliknya, kenyataan tersebut seolah-olah menunjukkan Abdul Hamid cuba untuk menyembunyikan sesuatu. Janganlah menambahkan keraguan dan kemusykilan berjuta-juta pendeposit yang telah memberikan amanah kepada Tabung Haji untuk menguruskan wang mereka.

Sekalipun Tabung Haji melabur dalam syarikat yang dilesenkan oleh SC, itu bukannya isu pokok. Sebaliknya apakah jenis perniagaan yang diceburi, samaada kajian teliti telah dilaksanakan serta apakah garis panduan pelaburan dipatuhi, adalah merupakan kunci kepada permasalahan ini dan perlu diumumkan kepada rakyat sesegera mungkin.

Setelah sekian kalinya Tabung Haji dikritik kerana polisi pelaburan yang tidak tepat, Tabung Haji perlu bersikap lebih telus dengan menyatakan secara berani, jujur dan terbuka kepada rakyat jenis perniagaan yang diceburi sehingga sanggup melabur sebanyak RM200 juta. Wang tersebut adalah merupakan simpanan hasil penat jerih pendeposit yang rata-ratanya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya umat Islam.

Dengan itu, para pendeposit berhak untuk mendapatkan penjelasan yang telus berhubung perkara ini.

KeADILan berpendapat, sementara tindakan mahkamah diambil bagi mendapatkan semula RM80 juta yang masih hilang, keADILan menggesa Tabung Haji pada masa yang sama perlu terlebih dahulu memberikan penjelasan kepada rakyat kenapa kemelut pelaburan sebegini boleh berlaku.

Umum mengetahui bahawa baru-baru ini Tabung Haji telah mengisytiharkan kadar bonus 3.25% - antara yang terburuk dalam sejarahnya. Alasan yang dikemukakan ialah Tabung Haji lebih berhemah dalam pelaburannya – terlibat dalam pelaburan yang berisiko rendah dan pulangan jangka panjang. Kemelut yang dihadapi ini sekaligus menempelak alasan tersebut.

Kita menuntut agar tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pihak yang terbabit bersabit kehilangan wang tersebut. Pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri terutamanya, perlu bertanggungjawab kerana pelaburan yang sebegini besar sudah tentu berada di dalam pengetahuan Menteri berkenaan.

Kita tidak mahu hanya bilis yang disiasat sedangkan jerung berjaya memboloskan diri dengan memberikan pelbagai alasan yang kononnya kesalahan dan kelemahan hanya berlaku di peringkat pegawai bawahan. Sedangkan mengikut aturan pertanggungjawaban, Menterilah yang sepatutnya mengambil tanggungjawab dan dipertanggungjawabkan.

Sehubungan itu, keADILan menuntut Menteri yang bertanggungjawab, Abdul Hamid Zainal Abidin segera meletakkan jawatan kerana insiden kali ini bukanlah tragedi pertama menimpa Tabung Haji yang menyebabkan pendeposit menanggung kerugian.

SAHRI BAHARI
Setiausaha Agung

19 Mac 2002
 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net