Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Ucapan DSWA: Sempena Persidangan Pertama Penggal Keempat Parlimen Kesepuluh
 


12 MAC 2002

Tuan Yang Di Pertua,

Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya turut serta untuk menjunjung kasih ke atas titah ucapan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung. DYMM Seri Paduka Baginda merupakan lambang perpaduan dan penyatuan rakyat. Keberangkatan Baginda seharusnya mengingatkan kita tentang betapa tingginya harapan negara terhadap sekelian ahli-ahli dewan yang mulia ini. Kita berdoa semoga di bawah naungan DYMM Seri Paduka Baginda, rakyat akan dapat berteduh di bawah pemerintahan yang adil serta melaksanakan keadilan. Oleh itu marilah kita bersama menjalankan amanah dan harapan rakyat dengan penuh keinsafan serta tanggungjawab.

Tuan Yang Di Pertua,

Negara kini berada di persimpangan jalan. Kita dihebahkan melalui paluan gendang yang mencanangkan kehebatan pembangunan negara melalui projek-projek mewah yang mega sifatnya. Namun realiti kehidupan ramai rakyat bawahan jauh bedanya.

Walaupun kerajaan tidak mahu mengakui kebenaran saranan atau gesaan-gesaan dari pihak kami telah membawa kepada perubahan-perubahan untuk kepentingan rakyat, namun kita bersyukur kerana gesaan-gesaan pihak kami tersebut telah membantu mewujudkan keadaan tersebut.

KESELAMATAN NEGARA

Kita ingin mempertikaikan keputusan YAB TPM dan Menteri Dalam Negeri untuk menghebahkan dakwaan mengenai seorang bekas menteri yang telah memberi sumbangan AS 10 juta kepada kumpulan-kumpulan yang mungkin mempunyai talian dengan pertubuhan radikal Islam di Amerika Syarikat. Dakwaan tersebut dibuat sebelum sebarang usaha untuk mengesahkan kesahihannya.

Dakwaan yang dibuat secara serkap jarang ini sudah tentu mengundang reaksi yang negatif dari pelbagai pihak. Sikap tidak teliti seperti ini hanya memudahkan pihak luar untuk menuduh pihak kita sebagai sarang untuk pengganas.

Kepentingan keselamatan merupakan suatu perkara yang amat penting. Oleh itu kita berharap pemimpin-pemimpin kerajaan supaya tidak membuat kenyataan hanya untuk meraih kepentingan politik sempit malah merosak dan membahayakan imej dan keselamatan negara.

Keselamatan negara adalah suatu isu yang tidak boleh dipermainkan. Apatah lagi untuk meraih kepentingan politik sempit. Kita di pihak Barisan Alternatif percaya bahawa cara terbaik untuk menghalang keganasan dan menjamin keselamatan negara adalah dengan mewujudkan proses dan institusi demokratik yang mantap dan kukuh. Ini memerlukan pentadbiran undang-undang yang tegas, telus dan bebas serta menhormati prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan. Sebaliknya tindak-tanduk yang menyempit dan menindas ruang demokrasi akan hanya menyuburkan keadaan yang membawa kepada reaksi keganasan.

Kita dapat melihat bahawa peristiwa keganasan seringkali berlaku di negara-negara yang autokratik dan despotik. Isu keselamatan negara menjadi semakin rumit apabila penguasa politik menganggap parti pembangkang sebagai mengancam keselamatan negara.

Kami juga ingin mengingatkan pemerintah bahawa ancaman kepada keselamatan negara juga boleh datang dari dalam parti yang memerintah. Salah seorang pembantu YAB PM pernah ditahan kerana didakwa menjadi agen negara asing. Disamping itu, ada dari kalangan pimpinan UMNO yang pernah ditahan di atas dakwaan menjadi agen komunis.


Tuan Yang Di Pertua,


Pengunduran pelaburan Calpers pada asasnya dibuat kerana kebimbangan mereka terhadap keselamatan pelaburan di negara kita disebabkan factor, dengan izin, transparency in corporate governance, ataupun ketelusan dalam pengawalan dalam kegiatan-kegiatan perniagaan. Mereka juga menyebut betapa soal-soal hak-hak asasi dan amalan-amalan perburuhan (labour practices) antara factor yang mendorong mereka membuat keputusan tersebut.


PERJALANAN DEMOKRASI DAN PERANAN MEDIA

Sesebuah negara yang maju memerlukan proses demokrasi untuk mencorakkan kerajaannya yang dipilih melalui penyertaan rakyat dalam pilihanraya. Bagaimanapun mengundi atau menyertai pilihanraya sekali dalam lima tahun bukan merupakan kayu ukur mutlak wujudnya sebuah demokrasi yang hidup dan subur, dengan izin, vibrant.

Untuk itu, kita memerlukan pelbagai prasarana dan wahana untuk menghidupkan suasana yang membolehkan proses pemilihan dan perjalanan demokrasi itu secara berimbang dan atas prinsip kesalingan. Salah satu daripada ukuran untuk wujudnya demokrasi yang mapan adalah kehadiran media yang bebas daripada kekangan-kekangan seperti permohonan permit tahunan serta Akta Mesin Cetak disamping kekangan-kekangan administratif dan lain-lainnya.

Kewujudan akta-akta yang menyekat hak kebebasan bersuara serta penyalahgunaan agensi-agensi media milik kerajaan oleh parti pemerintah menyebabkan Malaysia tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya untuk menghidupkan sebuah demokrasi yang subur.

Peranan media sebagai estet keempat ataupun, dengan izin, The Fourth Estate amatlah penting. Oleh itu, kita berharap benar-benar agar media menjadi saluran maklumat yang tepat, seimbang dan bertanggungjawab. Ia juga sepatutnya menjadi sebuah forum untuk memperbincangkan isu-isu penting di negara ini .

Masalah-masalah masyarakat tidak seharusnya didiamkan sahaja ataupun, dengan izin, swept under the carpet. Di sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, berbagai isu sensitif perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab dan keterbukaan. Di sinilah peri pentingnya kita mempunyai media yang bebas.

Suatu amalan yang berlawanan dengan semangat demokrasi adalah penyalahgunaan media oleh parti pemerintah sebagai alat propaganda untuk mengkaburi dan mengabui mata rakyat dengan memburuk-burukkan parti-parti alternatif. Contoh yang nyata pada mutakhir ini adalah penayangan berulang kali klip video Memali yang telah ditapis dan disunting. Pada ketika yang lain, klip liputan tindakan pihak Taliban di Afghanistan terhadap seorang wanita telah diulang-tayang untuk menakut-nakutkan rakyat terhadap parti alternatif yang akan dianggap sebagai ekstremis agama dan mengongkong wanita. Nampak gayanya jadual penayangan sesetengah dari video ini diadakan sempena pilihanraya-pilihanraya kecil.



BPR DAN POLIS

Kita sering mendengar gesaan daripada rakyat supaya kegiatan rasuah dibanteras. Dalam hubungan ini, kita ingin mempersoalkan apakah BPR benar-benar bebas dan tidak terpaksa tunduk pada kuasa eksekutif; di mana mereka yang bersalah bukan saja tidak boleh diambil tindakan ke atas mereka malah dilindungi oleh pelbagai akta seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA)?

Kita ingin bertanya apa yang telah berlaku dalam kes Perwaja, kerana pada sesi parlimen yang lalu kita difahamkan siasatan kes tersebut hampir selesai. Malangnya, kita difahamkan ketua pengarahnya tidak disambung perkhidmatan dan perkembangan kes itu kini tenggelam dalam kesunyian seribu bahasa.

Akhir-akhir ini, kita mendengar pelbagai dakwaan mengenai kegiatan keganasan yang didakwa dilakukan oleh parti-parti politik. Dalam hal ini kita sekali lagi menegaskan perlunya siasatan dan penyelidikan secara professional dan adil untuk mengetahui kedudukan sebenarnya. Kita juga, sebagaimana rakyat pada umumnya ingin tahu apakah asal-usul atau punca kejadian-kejadian tersebut.

Dalam hubungan ini kita mendokong sebarang usaha-usaha pihak polis untuk memulihkan imej mereka sebagai suatu pasukan beruniform yang bertindak secara profesional dalam menjalankan tanggungjawab mereka menjaga keselamatan demi kepentingan rakyat dan negara.



Tuan Yang Di Pertua,


UNIVERSITI, INTELEKTUAL DAN KEBEBASAN AKADEMIK

Institusi-institusi pengajian tinggi awam adalah suatu lagi institusi yang telah dicemari dengan campurtangan eksekutif. Kita harus memperingatkan semula bahawa universiti-universiti berperanan untuk melahirkan individu yang terdidik serta mampu berfikiran tajam dan kritis sebagai generasi pelapis untuk kepimpinan masa hadapan. Kita bimbang betapa akta-akta yang menindas kebebasan pelajar bersuara dan bergiat aktif dalam aktiviti sosial, politik dan kemasyarakatan yang berterusan semenjak lebih dari suku abad yang lepas akan melahirkan para intelek yang tidak diizin mengembangkan potensinya untuk mampu berbicara secara jujur dan kritikal mengenai permasalahan persekitaran dan masyarakatnya.

Tindakan pihak parti pemerintah baru-baru ini yang menjurus ke arah mencengkam dan menekan autonomi universiti melalui pemantauan pensyarah-pensyarah universiti oleh Pemuda Umno dan Puteri Umno akan melesukan lagi institusi pendidikan kita. Langkah memaksa pensyarah-pensyarah universiti menandatangani ‘Aku Janji’ sebagaimana kakitangan kerajaan yang lain membawa kita pada senario sebagaimana yang dilakarkan oleh George Orwell dalam bukunya 1984. Bantahan-bantahan daripada persatuan-persatuan yang mewakili ahli akademik serta golongan intelektual pula dianggap remeh serta dipandang ringan. Malahan kadangkala sebahagian daripada mereka merasakan adalah lebih baik untuk berdiam diri daripada bersuara dan mengundang tindakan yang mungkin menjejas masa depan kerjaya serta penyelidikan mereka.

Kita melihat bahawa gejala ‘thought control’ semakin ketara di setiap lapisan masyarakat. Boleh dikatakan perkembangan ini merupakan ancaman paling besar yang dihadapi oleh sistem demokrasi kita. Sifat utama ‘thought control’ ini ialah sikap enggan menyatakan pandangan maklum-balas yang dianggap mungkin tidak disenangi oleh pihak yang berkuasa. Dengan itu kebebasan berfikir dan mengkritik secara membina boleh dianggap sebagai tidak lagi digalakkan. Secara ringkasnya kita telah berjaya melahirkan masyarakat ‘Aku Setuju’ ataupun ‘Yes Men’ yang hanya mengiakan apa saja yang diperturunkan oleh pemimpin-pemimpinnya.

Dalam bidang pendidikan khususnya, ini jelas bercanggah dengan konsep mewujudkan satu generasi baru intelek yang berilmu, berinisiatif serta berdikari dan boleh menyumbang pandangan yang kreatif kepada perkembangan masyarakatnya. Perkembangan ‘thought control’ ini jelas kelihatan dalam pelbagai bidang terutama sekali dalam bidang media cetak dan elektronik di mana pihak kerajaan seakan membolot semua maklumat yang telah diadunkan untuk hidangan awam.

Tambahan lagi, di peringkat kolej dan sekolah-sekolah didapati bahawa sekatan yang dikenakan ke atas para guru dalam membincangkan isu-isu semasa menjadi halangan dalam usaha mereka untuk membentuk murid-murid berfikir secara objektif dan rasional. Lebih membimbangkan lagi ialah implikasi laporan-laporan yang membayangkan bahawa pihak Pemuda UMNO akan mengambil tindakan mengawasi pensyarah-pensyarah dan guru-guru yang didakwa menyebarkan pandangan anti-kerajaan.


PEMBANGUNAN YANG TEMPANG


Akibat daripada ketidakadilan pihak eksekutif dan terhakisnya kebebasan institusi-institusi demokrasi seperti badan kehakiman dan perundangan, kepentingan rakyat terbanyak telah diabaikan. Program pembangunan yang memberikan keutamaan kepada projek-projek mewah dan membazir telah memberi keuntungan kepada segelintir golongan korporat sementara kepentingan rakyat terbanyak diabaikan.

Apa yang kita lihat adalah fenomena pembangunan yang tidak seimbang dan tempang. Dalam kita membina bangunan dan prasarana yang besar dan memakan belanja yang tinggi yang diragui manfaatnya, kita masih melihat rakyat kerdil di pedalaman yang masih jauh ketinggalan daripada menikmati hasil pembangunan setelah sekian lama mencapai kemerdekaan.

Di bandar-bandar pula, kita masih melihat manifestasi ketidakseimbangan dalam pembahagian hasil kekayaan negara. Masih banyak terdapat kawasan-kawasan setinggan yang menampung peneroka bandar yang terhimpit oleh kemiskinan. Pengabaian golongan miskin ini juga telah menimbulkan masalah-masalah sosial di kalangan remaja kita seperti penagihan dadah, gejala keruntuhan moral dan pengangguran.

Sebagai contoh pembangunan yang tempang ini, sewaktu berada di Kedah dua minggu yang lalu untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran di Seberang Terus, Alor Setar, saya telah mendengar suatu cerita yang pelik tetapi benar.

Kira-kira lima minit menaiki motosikal daripada Kulim Hi-Tech Park dan Kulim Techno-City, wujud sebuah kampung bernama Kampung Kilang Sagu. Di bawah bayang-bayang projek mega yang melibatkan nilai pelaburan berbilion ringgit, penduduk-penduduk Kampung Kilang Sagu masih terpaksa menggunakan "jamban tong" di zaman teknologi maklumat dan k-ekonomi.


PERKHIDMATAN KESIHATAN ASAS

Selain daripada masalah perumahan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah, perkhidmatan kesihatan asas juga merupakan salah satu tanggungjawab utama kerajaan yang nampaknya terabai.


Kita harus memastikan bahawa hak untuk mendapat rawatan kesihatan adalah hak untuk semua rakyat, bukan untuk golongan berkemampuan sahaja. Jika dibandingkan jumlah-jumlah hospital swasta dan pakar-pakar perubatan yang berkhidmat di sektor swasta dengan hospital-hospital kerajaan, nisbahnya adalah sangat membimbangkan.


Tuan Yang Di Pertua,


SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN

Sesebuah negara yang matang yang mengamalkan system demokrasi berparlimen mengiktiraf peranan pemerintah dan parti alternatif yang mungkin atau bakal menjadi kerajaan. Parti pemerintah dan parti alternatif berhak mendapat akses kepada sistem komunikasi awam termasuk radio dan televisyen.

Pemerintah seharusnya menghormati hak-hak parti alternatif dan tidak menganggap kegiatan mereka sebagai illegal atau tidak sah. Rakyat tidak dianggap sebagai musuh dalam selimut malahan dipandang sebagai partner atau rakan dalam membangun masyarakatnya.

Pemimpin negara yang matang demokrasinya juga memperlihatkan kematangan dalam peribadi mereka. Sir Winston Churchill memimpin kabinet perang Britain sewaktu Perang Dunia Kedua, tetapi apabila beliau kalah dalam pilihanraya selepas perang dalam tahun 1945, beliau melepaskan kerusi Perdana Menterinya tanpa ragu. Beliau tidak pula menuduh rakyatnya sebagai ungrateful atau tidak bersyukur, jauh sekali daripada berusaha untuk terus berpaut pada kuasa.

Sistem demokrasi berparlimen memang memungkinkan perputaran kekuasaan di antara parti-parti yang terlibat dalam proses politik pilihanraya. Malahan itulah rationale ataupun falsafah pada sistem demokrasi berparlimen berbanding dengan negara-negara seperti Soviet Russia pada suatu waktu sebelum zaman perestroika dulu.

Sistem demokrasi berasaskan kepada berbagai parti mengantisipasi kehadiran alternatif dalam parlimen yang bersedia pula untuk menerajui kerajaan apabila mereka memenangi pilihanraya

Parlimen kita berasaskan model Westminster yang didasari oleh doktrin separation of powers oleh kerana sebagaimana yang didakwa oleh Lord Acton : "All power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely."

Kuasa merupakan amanah; parlimen berkongsi tanggungjawab untuk melindungi kesejahteraan hak-hak rakyat.

Wacana kuasa seharusnya mengiktiraf dan mempercayai keupayaan serta kearifan rakyat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi. Sekatan-sekatan terhadap penerbitan-penerbitan, ceramah-ceramah dan liputan media arus perdana yang berat sebelah menyempitkan ruang demokrasi untuk parti alternatif menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Kita seharusnya mengamalkan konsep kritikan atau muhasabah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang menyediakan checks and balance di dalam sistem pentadbiran kita. Ini amatlah penting kerana kuasa tanpa pembatasan akan membawa pada kehancuran. Sejarah telah mengajar kita bagaimana kerajaan-kerajaan yang agung pada zaman silam akhirnya runtuh ekoran sikap arrogance of power yang wujud terutamanya dalam sistem yang tidak memberi ruang untuk sudut pandangan alternatif yang berkesan.

Ibn Khaldun pernah menyatakan bahawa, "Penerusan kesilapan itu adalah satu kezaliman. Pemerintah yang merasakan dirinya terlalu kuat menjadi angkuh dan tidak lagi bersedia untuk mendengar sudut pandangan yang berbeda."


PENDATANG TANPA IZIN

Saya ingin menyentuh mengenai persoalan pendatang tanpa izin. Sayugia diingatkan bahawa negara kita telah banyak bergantung kepada sumbangan daripada tenaga-tenaga dan pakar-pakar dari luar negara untuk pembangunan negara kita. Ini termasuklah pengambilan ahli akademik dan tenaga pengajar dari negara-negara luar temasuk dari negara-negara jiran, sewaktu kita menggiatkan penubuhan universiti-unversiti awam pada tahun-tahun 1970-an yang lalu. Kita harus mengakui kenyataan ini supaya tidak mudah dituduh sebagai habis madu, sepah dibuang.

Tuan Yang Di Pertua,


NEGARA BERASASKAN KEADILAN

Parti Keadilan dengan jelas mengemukakan konsep negara berasaskan keadilan yang mengungkapkan nilai-nilai masyarakat sivil atau masyarakat madani yang berpaksikan keadilan sejagat sebagai teras perjuangannya.

Konsep pemberdayaan atau empowerment merupakan suatu ide di mana rakyat berhak untuk menentukan kedudukan mereka dalam sebuah masyarakat yang mementingkan keadilan sosial. Pengungkapan Vaclav Havel mengenai ‘The Power of the Powerless’ menjelaskan kepada kita bagaimana mereka yang dianggap tidak mempunyai kekuasaan sebenarnya berkuasa untuk menentukan arah dan corak pembangunan masyarakat mereka.

Masyarakat sivil seharusnya ‘mengungkapkan kehadiran rakyat’, di mana terdirinya bermacam-macam badan atau lembaga bukan-kerajaan (NGO) untuk mengimbangi lembaga kekuasaan. Ini bermakna ‘masyarakat madani bertujuan untuk menolak kesewenang-wenangan kekuasaan elit yang mendominasi kekuasaan negara’.

Secara praktisnya kita harus menolak parti yang memonopoli kekuasaan menggunakan istilah-istilah yang berbunyi demokrasi untuk mengabsahkan (legitimise) kekuasaan mereka, sementara pada masa yang sama mereka mengambil langkah-langkah luarbiasa untuk mempertahankan kekuasaannya.

Keprihatinan semua golongan rakyat terhadap peri pentingnya persoalan keselamatan tidak harus diambil kesempatan oleh kerajaan untuk menekan suara-suara yang tidak bersetuju dengan mereka. Saya ingin tegaskan sekali lagi di sini bahawa parti keADILan dan rakan-rakan kami di Barisan Alternatif secara tegas mengutuk setiap tindakan yang bercorak keganasan samada ia dilakukan oleh individu ataupun ditaja oleh agensi-agensi negara. Kita tidak pernah berkompromi dalam hal keselamatan. Namun dalam usaha untuk menangani persoalan ini, janganlah kita pula melakukan ketidakadilan.

Sebuah masyarakat madani sudah tentu memberi ruang kepada semua rakyat untuk mempunyai hubungan dengan kekuasaan secara berimbang. Yang dipimpin meletakkan harapan serta memberi amanah kepada pemimpin; sementara yang memimpin bertanggungjawab memikul amanah itu dengan mengambil kira harapan rakyat yang dipimpin.

Hubungan dua hala ini seharusnya terjalin dengan latarbelakang hormat-menghormati, kasih-sayang serta kesediaan untuk menegur dan ditegur. Ianya juga memerlukan kebesaran jiwa daripada pemimpin untuk bersedia ditegur sepertimana Saidina Umar al-Khattab sewaktu ditegur oleh seorang wanita berkenaan soal mahr (mas kahwin) secara terbuka. Namun kebesaran jiwanya terserlah dengan kesediaan beliau mengakui kesilapannya.

Begitu juga Sejarah Melayu penuh dengan contoh-contoh seseorang penguasa atau raja bersedia untuk menghukum anak-anaknya sendiri apabila mereka melanggar peraturan negara.

Kita juga melihat contoh dari tradisi-tradisi besar dunia yang sentiasa mengenengahkan kesederhanaan serta konsep kesalingan (reciprocity) di dalam kehidupan bermasyarakat, bernegara dan jalan pertengahan.


Tuan Yang Di Pertua,


ELECTORAL REFORM, REFORMASI PROSES PILIHANRAYA


Proses percambahan dan perkembangan demokrasi memerlukan system pilihanraya yang adil, telus dan terbuka. Kelemahan-kelemahan dan ketidakadilan dalam pelaksanaan pilihanraya yang lalu perlu diperbaiki. Dalam hubungan ini, kami ingin mencadangkan supaya perkara-perkara berikut dipertimbang untuk dilaksanakan:-

Kami mencadang dilaksanakan sistem pendaftaran secara automatik bagi pengundi yang telah mencapai umur layak mengundi di tempat mengundi berdasarkan alamat kad pengenalan mereka.

Melakukan proses pendaftaran semula semua pemilih bagi tujuan membersihkan daftar pemilih.

Sistem undi pos perlu dihapuskan kerana tiada lagi kewajaran untuk diterima pakai hari ini dan untuk menjamin pilihanraya yang lebih adil dan bersih.

Supaya tidak tercatat sebarang nombor siri pada kertas undi atau keratannya yang boleh menimbulkan keraguan dan mencabar prinsip undi sulit.

SPR seharusnya menyiasat perbelanjaan pilihanraya BN yang jelas tiada had dan melanggar peruntukan Akta Pilihanraya disamping mengamalkan rasuah politik khususnya politik wang semasa kempen pilihanraya.

Harus ada peruntukan undang-undang supaya sepanjang tempoh kempen, semua parti yang bertanding mendapat liputan media baik elektronik maupun cetak secara saksama.

Suatu peruntukan undang-undang harus digubal untuk menghalang pihak kerajaan sementara, dengan izin, caretaker government, daripada meluluskan sebarang peruntukan atau projek sepanjang tempoh kempen pilihanraya.

Mencadangkan SPR menggunakan cap jari dengan dakwat (indelible ink) bagi mengelakkan pengundi hantu pada hari pengundian.

Dalam konteks hubungan masyarakat berbilang kaum, selepas 44 tahun merdeka, kita masih gagal untuk melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang majmuk tapi harmonis dan tidak mencurigai antara satu sama lain. Beberapa insiden dalam masa dua tahun kebelakangan ini mencerminkan kelemahan yang ketara ini.

Masalah-masalah di atas menyedarkan kita betapa kerajaan sekarang telah menyimpang jauh daripada menunaikan tanggungjawab utamanya, iaitu berkhidmat untuk rakyat dan melaksanakan program pembangunan yang seimbang. Tidak dapat dinafikan ini adalah hasil daripada kegagalan kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawabnya mengikut lunas-lunas demokrasi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.



Tuan Yang Di Pertua,


Akhir sekali, dengan izin, saya ingin memetik sedutan dari tulisan dalam sebuah buku yang diterbitkan oleh salah seorang anggota parlimen kita:


"One would have thought that the more intelligent members of the Government would have recognised the signs..... But the government was apparently oblivious to what went on around it. Secure in its absolute majority in Parliament, it was openly contemptuous of criticism. Policies were made which completely ignored public opinion..... laws were hurriedly passed without prior consultation with the representatives who had to "sell" these laws to the people. Tax innovations were made and discarded with complete disregard for the disrupting effect on the public. In the main, parliamentary sittings were regarded as a pleasant formality which afforded members opportunities to be heard and quoted, but which would have absolutely no effect on the course of the Government. The general feeling was whether or not the Parliament sat, the Government would carry on. The sittings were a concession to a superfluous democratic practice. Its main value lay in the opportunity to flaunt Government strength. Off and on, this strength was used to change the Constitution. The manner, the frequency and the trivial reasons for altering the Constitution reduced this supreme law of the nation to a useless scrap of paper ............."



Petikan tersebut merupakan kritikan Yang Berhormat Ahli Parlimen Kubang Pasu sewaktu beliau menulis buku The Malay Dilemma dalam tahun 1970.


Tuan Yang Di Pertua,


Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan sekali lagi mengingatkan betapa pentingnya dalam merangka program pembangunan kita mengingati bahawa yang perlu dibangunkan adalah manusia yang menghuni gedung sebagaimana yang disebut oleh al-marhum Pak Hamka. Gedung atau bangunan hanya prasarana dan bukannya matlamat akhir.

Seluruh usaha kita harus dijuruskan kearah menobatkan harakat dan martabat insan. Kita berada di sini mempunyai tanggungjawab besar untuk memenuhi harapan dan aspirasi rakyat.


Sekian, terima kasih.

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net