Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Teks Ucapan DSWA Sempena Hari Wanita 2002
 



UCAPAN SEMPENA PELANCARAN HARI WANITA SEDUNIA 8 MAC 2002


Hari Wanita Sedunia dinobatkan pada tahun 1908. Sembilan tahun kemudian selepas berbulan memperjuangkan tuntutan mereka melalui tindakan mogok, beribu-ribu wanita Russia mengadakan tunjuk perasaan membuat bantahan mengenai kenaikan harga makanan, kekurangan makanan, serta membantah kemiskinan dan peperangan. Perjuangan ini memberi tekanan yang hebat sehingga membawa kepada tersingkirnya Czar Nicholas Kedua daripada takhtanya.

Hari yang bersejarah ini 8 Mac 1917 kemudiannya diishtiharkan sebagai tarikh keramat bagi wanita seluruh dunia.

Kita menyambut Hari Wanita bukan sahaja untuk menperingati perjuangan wanita di masa lalu tetapi juga mengingati kegigihan mereka. Kita perlu mengambil pelajaran dan mendapatkan inspirasi dari perjuangan mereka. Tetapi Hari Wanita juga adalah untuk mengingatkan bahawa masih banyak persoalan wanita yang belum ditangani.

Keamanan amat tinggi nilainya pada hari ini. Sebagai wanita yang prihatin terhadap keadilan dan kebebasan kami percaya wanita mampu, malah bertanggungiawab untuk menggerakkan persaudaraan dengan semua kalangan masyarakat yang cintakan kedamaian terutamanya di wilayah di mana keamanan hampir tidak wujud.

Di Malaysia kita boleh berbangga dengan sistem sosial kita yang lebih terbuka dan flexible. Ini membolehkan golongan wanita untuk menyertai pelbagai bidang, seperti perkhidmatan sosial, ekonomi dan juga politik. Masyarakat Malaysia menerima wanita sebagai pemimpin organisasi dan pemimpin masyarakat. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipimpin oleh wanita adalah antara NGO yang paling aktif untuk memperjuangkan hak asasi manusia, membangkitkan masalah sosial dan lain-lain lagi. Dalam bidang politik kita dengan bangga boleh mengatakan bahawa Keadilan adalah parti politik yang paling berjaya untuk menampilkan wanita sebagai pemimpin.

Meskipun kemajuan-kemajuan ini telah dicapai namun kita harus prihatin terhadap masalah-masalah wanita yang meruncing di Malaysia. Kes-kes keganasan dalam rumah tangga terus meningkat. Wanita-wanita termasuk kanak-kanak semakin terdedah kepada jenayah seks. Masalah ini menjadi lebih mendukacitakan di kalangan golongan berpendapatan rendah. Peristiwa di mana seorang bapa dibunuh kerana membuat laporan anak perempuannya menjadi mangsa jenayah seks dan ibunya pula di serang semakin menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi-institusi yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi golongan yang lemah.

Pihak berkuasa juga melakukan keganasan. Siasatan yang dijalankan SUHAKAM banyak mendedahkan kegiatan yang melanggar hak asasi manusia. Laporan tahanan ISA terutamanya menggambarkan keganasan ini. Tangkapan sewenang-wenangnya dibuat, rumah digeledah, memukul dan memaki sesiapa sahaja yang tidak sehaluan.

Ini secara jelas mencabul hak asasi manusia. Penggunaan ISA mengakibatkan bapa terpisah dari anak serta isteri dari suami dan juga ibu dari anak. Secara ringkasnya pihak yang berkuasa telah membentuk suatu budaya yang autokratik untuk mengekalkan kekuasaan.

Pilihanraya di Malaysia juga dinodai dengan keganasan. Terang-terangan BN menggunakan taktik ganas untuk melumpuhkan pihak lawan dan mengugut pengundi. Laporan yang sahih diperkotak-katikkan oleh pihak polis dan SPR kelihatan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengambil apa-apa tindakan. Sikap polis mengelirukan orang ramai yang bergantung kepada polis untuk menjaga keamanan.

Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini, kes-kes keganasan pilihanraya menular setiap kali adanya pilihanraya kecil. Kita juga sedih melihatkan bagaimana pihak wanita muda juga seolah diperalatkan dalam kempen yang diwarnai dengan keganasan ini.

Kita menentang penggunaan keganasan untuk mengekalkan kuasa. Sebenarnya keganasan melambangkan kelemahan pemerintah yang ingin mempertahankan kekuasaan.

Laporan Hak Asasi Manusia yang dikeluarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini perlu membuka mata semua pihak di Malaysia. Dalam laporan tersebut Malaysia disenaraikan di bawah kategori 3. Negara-negara yang disenaraikan di bawah kategori ini adalah negara-negara yang tidak sama sekali mengambil sebarang usaha berkesan untuk mengatasi jenayah 'trafficking' atau perniagaan-perdagangan wanita dan kanak-kanak.

Saya tidak sepenuhnya menyalahkan pihak polis. Kesalahan sebenarnya terletak dibahu kerajaan Barisan Nasional. Mereka yang menentukan keutamaan pihak polis. Mereka yang memaksa pihak polis untuk memberikan tumpuan kepada kegiatan parti-parti Barisan Alternatif.

Saudara saudari sekelian,

Agenda perjuangan wanita perlu diperkukuhkan untuk menghadapi cabaran-cabaran sekarang dan akan datang. Parti-parti politik, NGO, cendikiawan dan ulamak serta orang awam perlu digembelingkan tenaga untuk menjayakan misi perjuangan ini. Memartabatkan kedudukan wanita merupakan sebahagian yang integral daripada perjuangan meningkatkan harakat dan martabat insan. Memartabatkan wanita merupakan sebahagian daripada usaha bersama kita untuk menghormati serta mendaulatkan hak rakyat dan masyarakat kita terutama kaum hawa.

Dalam hal ini kita menyeru semua wanita dan rakyat untuk bersama-sama menjayakan perjuangan mewujudkan kedamaian. Mesej kedamaian ini harus di mula dari diri kita. Kita perlu membudayakan suatu sikap yang mengutamakan nilai kebersamaan, keperihatinan dan kesaksamaan. Kita juga terus mengetengahkan nilai pertanggungjawaban untuk setiap tindakan kita.

Yang paling penting kita harus menggilapkan nilai-nilai keadilan dalam semua tindakan, gerak kerja serta perancangan kita. Ini bersesuaian dengan agenda perubahan yang telah kita kumandangkan sejak parti keadilan ditubuhkan tiga tahun yang lalu.

Sekian, terima kasih.

(Eksklusif WR)
 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net