Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

Pemuda Pejuang Reformasi                    http://pemuda-keadilan-selangor.net
Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Perwaja: Segerakan Siasatan Dan Pendakwaan
 
Kenyataan Media keADILan,



Sekali lagi Perwaja mendapat liputan meluas akhbar. Nasibnya yang dirundung malang nampaknya tidak berkesudahan. Tindakan Perwaja untuk menutup kilangnya selama sebulan atas alasan penstrukturan serta pemberhentian 60% daripada 1,600 tenaga kerjanya melalui skim pemberhentian sukarela dilihat sebagai satu langkah drastik.

Namun langkah ini tidaklah mengejutkan Kemelut ini hanyalah rentetan daripada kerugian terkumpul kumpulan Perwaja berjumlah RM2,985 juta dan tanggungan/hutang semasa dan jangka panjang sebanyak RM6,939 juta, sehingga 31 Disember 1995, peninggalan Pengarah Urusan Perwaja Steel ketika itu, Tan Sri Eric Chia – orang kepercayaan Dr Mahathir Mohamed.

Sayugia diingatkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap penyelewengan Perwaja pada 21 Julai 1999 (Balai Polis Tun H.S.Lee, nombor rujukan laporan 19625/99) berdasarkan fakta Laporan Awal Juruaudit Price Waterhouse. Firma juruaudit ini, yang dilantik oleh Kementerian Kewangan ketika itu, telah mengemukakan laporan pada sekitar Jun 1996 mengenai status Kumpulan Perwaja, yang antara lainnya mengenalpasti dan mempersoalkan beberapa perkara, termasuk kos perolehan yang amat tinggi, kelulusan tender dan pemberian kontrak yang tidak mengikut prosedur, dan pembayaran-pembayaran yang meragukan terhadap syarikat-syarikat tertentu.

Malah, laporan polis tersebut mendedahkan dengan jelas dan terperinci transaksi-transaksi yang meragukan, beserta pihak yang terlibat, bagi mengukuhkan dakwaan bahawa wujudnya penyelewengan, salahguna kuasa, pencabulan peraturan kewangan dan rasuah dalam Kumpulan Perwaja semasa di bawah pengurusan Tan Sri Eric Chia.

Persoalan besar yang berligar dalam pemikiran rakyat kini ialah apakah hasil siasatan terhadap laporan polis tersebut setelah hampir menjangkau tiga tahun ? Jangan salahkan rakyat sekiranya mereka mentelah bahawa pihak pemerintah cuba melindungi sesuatu, atau mereka ragu dan hilang keyakinan terhadap pihak berwajib yang sepatutnya menjalankan siasatan, justeru pendakwaan setelah mendapat bukti, dengan penuh teliti dan professional.

Wang rakyat, melalui Kementerian Kewangan, yang sudah disuntik dalam Perwaja sehingga 31 Mac 1996 ialah sebanyak RM5,517 juta. Hakikatnya, yang lebur adalah wang rakyat. Di samping itu para pekerja juga menjadi mangsa akibat penyelewengan, salahguna kuasa dan kecuaian urus tadbir sehingga mereka terpaksa diberhentikan.

Parti Keadilan Nasional menyeru dengan tegas agar siasatan menyeluruh terhadap kemelut Perwaja disegerakan. Selain pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Badan Pencegah Rasuah (BPR) hendaklah menyegerakan siasatan tanpa memilih bulu kerana siasatan kes penyelewengan Perwaja telah memakan masa yang terlalu lama. Kita menuntut BPR tampil memberikan penjelasan segera kerana kita tidak mahu semakin lama isu ini dibiarkan, kewibawaan BPR akan turut terhakis.

Malah, Menteri Kewangan sekarang ini harus sekurang-kurangnya menjelaskan kepada parlimen sesi sidang Mac ini mengenai letak kedudukan kemelut Perwaja untuk memulihkan keyakinan rakyat dan para pelabur.

Kenyataan media oleh:

SAHRI BAHARI
Setiausaha Agung KeADILan

25 Februari 2002

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]