Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

Pemuda Pejuang Reformasi                    http://pemuda-keadilan-selangor.net
Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Kadar Bonus Tabung Haji Terburuk - Tubuh Suruhanjaya Siasatan
 
KENYATAAN MEDIA



Pengumuman kadar bonus sebanyak 3.25 peratus oleh Tabung Haji bagi tahun 2001 benar-benar mengejutkan rakyat negara ini. Kadar yang amat rendah ini adalah yang terburuk sejak tahun 1967.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin mendendangkan lagu lapuk yang memberikan alasan keadaan ekonomi semasa menyebabkan pulangan pelaburan kurang memuaskan.

Parti Keadilan Nasional (keADILan) berpendapat banyak isu-isu yang masih belum terjawab berhubung dengan ketelusan urus-tadbir, terutamanya pembuat dasar dan polisi yang melibatkan pelaburan Tabung Haji sebelum ini.

Sebagai contoh, pembelian bangunan baru seperti di KL Sentral, bangunan di Jalan Tun Razak dan beberapa buah bangunan pejabat lainnya di tengah-tengah pasaran hartanah bangunan pejabat yang melebihi permintaan dan meleset, banyak mempengaruhi kedudukan kewangan Tabung Haji. Adalah dipercayai pembelian ini melibatkan jumlah ratusan juta ringgit.

Tindakan ini dikaitkan pula dengan penggunaan wang Tabung Haji untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang dekat dengan pimpinan Barisan Nasional seperti dakwaan Tabung Haji membantu Maju Holdings dengan membeli Maju Junction di Jalan Raja Laut.

Dakwaan-dakwaan penglibatan Tabung Haji ini perlu diperjelaskan oleh Tabung Haji. Kita tidak mahu saban tahun Tabung Haji menyalahkan keadaan ekonomi semasa tanpa perincian yang meyakinkan sejajar dengan etika ketelusan dan pertanggungjawaban.

Ini juga mengingatkan kita kepada kenyataan Perdana Menteri semasa Tabung Haji mengumumkan pembayaran bonus 5.5 peratus bagi tahun 2000 yang menyebut bahawa Tabung Haji bukanlah tempat untuk mencari keuntungan. Menurut beliau, jika penyimpan ingin mendapat keuntungan, mereka boleh mendapatkannya melalui pelaburan di dalam sistem perbankan yang lain.

Kenyataan ini secara sendirinya bercanggah dengan pendekatan Tabung Haji hari ini yang begitu aktif terlibat dengan sektor hartanah, membeli bangunan baru walaupun pasaran hartanah lembab dan membuat pelaburan dalam sektor perladangan di luar negara walaupun jelas tindakan itu adalah satu kesilapan besar.

Sebab itu, dalam soal pembayaran bonus yang semakin teruk ini, pemimpin kerajaan tidak seharusnya mencari alasan untuk menutup kelemahan sebenarnya. Bagi keADILan, Laporan Audit Negara tahun lalu harus menjadi asas dan panduan yang menuntut penjelasan sebenar tentang ke mana wang Tabung Haji digunakan.

Perlu diingat dan diinsafi bahawa dana Tabung Haji datangnya daripada 4.2 juta pendeposit yang rata-ratanya ialah rakyat terbanyak, khususnya umat Islam, hasil wang keringat dan titik peluh mereka. Pendeposit menaruh harapan yang cukup tinggi agar deposit mereka diurus dengan penuh amanah dan bertanggungjawab. Kadar bonus yang rendah ini sangat mengecewakan, justeru menggugat keyakinan mereka terhadap pengurusan Tabung Haji dan pimpinan Kerajaan.


keADILan mendesak satu suruhanjaya bebas dibentuk bagi menyiasat punca dan faktor-faktor kemerosotan prestasi kewangan Tabung Haji kerana ia melibatkan instrumen pelaburan yang cukup penting bagi rakyat terutamanya umat Islam di negara ini.

Tuntutan ini dibuat kerana keADILan berpendapat, panel pelaburan baru ini tidak mempunyai wewenang untuk menyiasat. Sebaliknya kita khuatir panel perlaburan ini hanya akan dijadikan satu lagi alat untuk menjustifikasikan penyalahgunaan dana. Panel ini nantinya akan dijadikan benteng hadapan yang akan memberikan pelbagai alasan daripada sudut ekonomi dan perniagaan bagi menutup kelemahan yang berlaku terutamanya penggunaan wang pendeposit yang didakwa membantu syarikat-syarikat kroni pimpinan Barisan Nasional.


SAHRI BAHARI
Setiausaha Agung KeADILan

9 Februari 2002


 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]