Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Memorandum Memperkemas Dan Meningkatkan Ketelusan Perjalanan Piliharaya Di Malaysia
 
 

DIKEMUKAKAN KEPADA
SURUHANJAYA PILIHANRAYA MALAYSIA
PADA 6 MAC 2002

MENGINSAFI bahawa pilihanraya merupakan proses demokrasi yang terpenting dan perjalanan pilihanraya akan menjadi tumpuan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa; 

MEMPERINGATKAN bahawa kegagalan SPR bagi memastikan perjalanan pilihanraya di Malaysia berjalan dengan adil dan bebas akan menjejaskan kewibawaan SPR di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa; 

MAKA kami, Parti Keadilan Nasional mengemukakan Memorandum ini pada hari Rabu, 6 haribulan Mac 2002 bersamaan 21 Zulhijjah 1422 Hijrah dengan ini : 

      1. MENCADANGKAN SPR supaya mempertahankan imejnya sebagai sebuah institusi yang bebas, berwibawa dan telus dalam menjalankan tanggungjawab mengendalikan perjalanan pilihanraya dengan mempertahankan nilai dan amalan demokrasi berparlimen secara adil dan bebas.

      1. MENCADANGKAN SPR melakukan proses pendaftaran semula semua pemilih bagi tujuan membersihkan senarai daftar pemilih. Dalam pada itu, SPR perlu membersih dan mengemaskinikan senarai daftar pemilih di samping mewujudkan rangkaian terus ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi tujuan semakan kesahihan status seseorang pengundi.

      1. MENCADANGKAN SPR melaksanakan sistem pendaftaran secara automatik bagi pengundi yang telah mencapai umur layak mengundi di tempat mengundi berdasarkan alamat kad pengenalan mereka.

      1. MENCADANGKAN agar had umur pengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

      1. MEMINTA SPR untuk memastikan supaya nama-nama pemilih tidak boleh dikeluarkan atau dipindahkan dari satu bahagian pilihanraya ke satu bahagian pilihanraya yang lain melainkan dengan kebenaran bertulis daripada pemilih berkenaan sahaja.

      1. MENCADANGKAN SPR untuk menghapuskan undi pos yang tiada lagi kewajaran untuk diterimapakai hari ini dan untuk menjamin pilihanraya yang lebih adil dan bersih.

      1. MENCADANGKAN SPR supaya tidak tercatat sebarang nombor siri pada kertas undi atau keratannya yang dengannya boleh menimbulkan keraguan dan mencabar prinsip undi sulit.

      1. MENCADANGKAN SPR memendekkan tempoh proses untuk mewartakan daftar pemilih baru bagi membolehkan pemilih-pemilih yang baru mendaftar untuk terus mengundi.

      1. MENCADANGKAN SPR untuk menggunakan cap jari sebagai tanda pengenalan bagi pemilih pada hari pengundian bagi mengelakkan pengundi hantu.

      1. MEMINTA SPR sebelum membuat sebarang pindaan terhadap Akta Pilihanraya dan Persempadanan Semula hendaklah mengadakan pertemuan dengan semua parti politik bagi membahaskan cadangan-cadangan yang hendak dibuat.

      Antara lain termasuklah soal pertambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, cadangan menaikkan deposit calon dan cadangan untuk menghadkan jumlah penyokong semasa hari penaman calon serta tidak membenarkan penglibatan petugas parti di pondok panas semasa hari mengundi. 

      1. MENCADANGKAN agar SPR menggubal satu peruntukan undang-undang yang menghalang kerajaan daripada meluluskan sebarang peruntukan atau projek sepanjang tempoh kempen pilihanraya kerana ini merupakan amalan kempen yang bersifat rasuah.

      1. MENCADANGKAN SPR untuk memastikan semua parti-parti yang bertanding mematuhi Akta Pilihanraya seperti tidak dibenarkan berkempen termasuk melalui media cetak dan media elektronik sebelum Hari Penamaan Calon, berkempen secara sihat tanpa berniat jahat terhadap pihak lawan, pemasangan poster dan bendera hendaklah mengikut jumlah dan tempoh yang dibenarkan, serta menjamin semua pihak yang bertanding mendapat keadilan dan kesaksamaan bersuara dan berkempen.

      1. MENCADANGKAN SPR agar memperuntukkan undang-undang supaya sepanjang tempoh kempen, semua parti yang bertanding mendapat liputan media, baik elektronik mahupun cetak untuk semua parti yang bertanding secara saksama.

      1. MENCADANGKAN SPR supaya bertegas mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk BN yang menyalahgunakan jentera kerajaan.

      1. MENCADANGKAN SPR supaya menyiasat perbelanjaan pilihanraya BN yang jelas tiada had dan melanggar peruntukan dalam Akta Pilihanraya di samping mengamalkan rasuah politik khususnya politik wang semasa kempen pilihanraya termasuk percetakan poster, bendera, bahan-bahan pilihanraya dan perbelanjaan yang melebihi had yang ditetapkan di bawah Akta Pilihanraya;

      1. MEMINTA SPR menyiasat segera memorandum yang dihantar oleh Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Nasional bertarikh 15 Januari 2002 mengenai perjalanan Pilihanraya Kecil N. 8 Indera Kayangan yang mencabuli undang-undang dan Akta Pilihanraya melalui tindakan dan perbuatan jenayah serta amalan rasuah politik oleh BN.

 

DATIN SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
PARTI KEADILAN NASIONAL

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net