PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Pemuda keADILan Selangor: Rancangan Hancurkan BA Di Mulai Dengan Pemuda keADILan

Kenyataan Media Ketua Pemuda keADILan Selangor

Saya merujuk kepada surat yang bertajuk " Rancangan hancurkan BA di mulai dengan pemuda Keadilan Pemerhati politik BA" oleh Pemerhati Politik BA yang bertarikh 17 Oktober 2001 yang disiarkan oleh www.malaysiakini.com.

Kami menyangkal kenyataan dan salah tanggapan oleh penulis yang menyifatkan permulaan episod kehancuran BA melalui Pemuda keADILan. Pemuda keADILan Selangor tidak sedikitpun merasa lemah ataupun tergugat dengan perletakan jawatan Saudara Hamdan Taha, walaupun di waktu yang sama kami menghargai sumbangan beliau kepada pemuda dan menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.Begitu juga dengan perletakan jawatan Dr Chandra di mana ianya berlaku di ambang pemilihan pucuk pimpinan parti, yang membolehkan ahli parti memberikan mandat kepada pemimpin baru.

Kami menyedari akan hakikat kepimpinan politik yang datang dan pergi pada bila - bila masa dan kami sudah pun bersedia dengan pelapis yang diyakini lebih berkeupayan dan akan menyuntik idea yang lebih segar bernas dan lebih bertenaga untuk memimpin pemuda sejajar dengan anjakan budaya politik baru yang telah pun membudaya di dalam parti.

Kami menasihatkan penulis agar tidak sewenang - wenang membuat tuduhan kepada mana - mana individu di dalam keADILan kerana ia akan lebih menunjukkan kan kedangkalan dan kegopohan penulis di dalam membuat analisa tentang keadaan semasa.Dengan berselindung di sebalik nama samaran, ianya dengan jelas menunjukkan bahawa penulis tidak mempunyai kewibawaan dan etika penulisan disamping menyerlahkan niat jahat seakan dendam kesumat yang berselindung di sebalik tulisan tersebut.

Kami bersikap terbuka dan menghargai akan pandangan daripada mana - mana pihak demi mengukuh dan memantapkan parti, sebaliknya menolak apa bentuk hasutan yang berniat jahat dan tuduhan melulu dan menyeru penulis agar memohon maaf kepada individu yang ditohmah menghentikan tindakan tersebut.

Pemuda Penggerak Reformasi,

Hamidzun Khairuddin
Ketua Pemuda keADILan Selangor



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]