PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Fakta Mengelirukan Boleh Menjejas Imej

KENYATAAN MEDIA
30 OKT 2001

Saya amat kesal dengan kenyataan pihak Malaysiakini yang medakwa bahawa saya membuat kenyataan berhubung kemungkinan Dr Chandra akan kembali mempertahankan jawatan beliau. Akibat dari penyiaran berita tersebut, saya telah dihujani dengan panggilan telefon, sms mesej dan email bertanyakan kesahihan berita tersebut yang telah memetik saya selaku ketua penerangan sebagai sumber utama berita tersebut.

Sebenarnya berita tersebut adalah dibuat berdasarkan kepada fakta yang lama dan sudah tidak relevan lagi. Kenyataan yang diambil dari Buletin keADILan adalah kenyataan yang dibuat sebaik sahaja selesai Mesyuarat MPT pada 10 Oktober yang lalu, yang telah menemuduga saya dan dimuatkan di dalam penerbitan dua minggu yang lalu dan bukannya keluaran terkini seperti yang disebut oleh Malaysiakini. Di dalam temuduga tersebut, saya menyatakan bahawa kita sedia maklum dalam mesyuarat tersebut, MPT sebulat suara memohon agar Dr Chandra memikir semula keputusan beliau untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden.

Bagi saya, sebagai salah sebuah media elektronik alternatif seharusnya melaporkan berita yang bersesuaian dengan konteks dan masa dan bukan sebaliknya mengambil fakta yang lama dan dipersembahkan semula yang akhirnya menimbulkan kekeliruan di kalangan pembaca. Apa yang berlaku seolah-olah saya tidak menghormati keputusan Dr Chandra dan sengaja mengada-adakan cerita yang tidak benar bertujuan untuk mendapat publisiti.

Berita ini sedikit sebanyak telah mencemarkan imej dan kredibiliti saya apatah lagi saya juga terlibat sebagai salah seorang yang turut menawarkan diri dalam pemilihan parti yang akan datang. Kenyataan ini juga dilihat sebagai usaha untuk melaga-lagakan saya dengan Timbalan Presiden Dr Chandra dan merosakkan kredibiliti saya. Ini juga boleh menimbulkan krisis keyakinan ahli terhadap sebarang kenyataan yang saya buat selaku Ketua Penerangan parti.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pihak supaya berhati-hati dengan berita-berita yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak sama ada dirancang atau pun sebaliknya yang difikir boleh menimbulkan masalah kepada parti agar ditolak. Apa yang penting bagi kita ialah perpaduan dan kestabilan parti. Kenali musuh kita, halakan seluruh kekuatan untuk menentang musuh bukannya menggugat kestabilan parti.

RUSLAN KASSIM
Ketua Penerangan



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]