PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Ada Dalang Bekerja Keras Untuk Hancurkan keADILan

KENYATAAN MEDIA
30 OKT 2001

Saya amat kesal dengan kenyataan pihak Malaysiakini yang medakwa bahawa terdapat kelompok ABIM dan bukan ABIM dalam pemilihan parti yang pertama November depan. Laporan itu yang cukup mengelirukan dan berniat buruk terhadap parti dengan jelas mendedahkan kononnya terdapat fraksi-fraksi ABIM dan bukan ABIM. Apa sebenarnya tujuan laporan itu dibuat? Ia menggambarkan seolah-olah keADILan sedang diresapi satu unsur atau elemen subversif yang merbahaya iaitu ABIM yang dikatakan sedang berusaha untuk mengawal dan menentukan masa depan parti ini.

Saya yakin ada pihak-pihak tertentu yang menjadi dalang dan menjadi batu api menghasut-memfitnah dan memecah-belahkan parti. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini terus-menerus cuba mencari helah dan jalan untuk memastikan Parti Keadilan Nasional ini hancur dan berkubur sebagaimana yang mereka lakukan kepada Parti Semangat 46.

Isu berpuak-puak dan berkabilah terus menjadi mainan mereka kononnya kelompok ABIM sedang berusaha menguasai parti dan menyingkirkan kelompok yang bukan ABIM. Ini samalah seperti usaha UMNO untuk membersihkan Parti mereka dari pengaruh ABIM yang kononnya dibawa oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kebetulan bekas Presiden ABIM. Pernah suatu ketika UMNO dengan keras mendakwa Anwar cuba mengABIMkan UMNO. Isu yang sama juga sedang dimainkan dalam keADILan dan saya dianggap sebagai salah seorang orang ABIM yang terbabit lantaran kerana saya cuba berbaik-baik dengan semua pihak dan kerana saya menolak budaya politik lama yang nyata bertentangan dengan budaya politik baru yang cuba diperkenal dan dihayati di dalam parti.

Bagi saya dalam kontek penyuburan amalan demokrasi, pertandingan adalah sesuatu yang sihat dalam parti yang menggambarkan bahawa parti tidak kekurangan tokoh dan mereka yang berkeupayaan dan sanggup menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti. Ianya juga membuktikan betapa parti ini amat relevan dan punyai masa depan yang amat berpotensi. Namun pertandingan yang diiringi dengan perasaan benci, dengki, khianat dan permusuhan akan hanya melemah dan menghancurkan parti. Api permusuhan ini yang dinyalakan oleh musuh dalam selimut akan terus dinyalakan dan akan membakar siapa sahaja yang alpa dan ghairah merebut jawatan serta kedudukan.

Bagi saya kepimpinan adalah tanggungjawab serta amanah dan bukannya anugerah istimewa yang mesti direbut dan dipaksakan. Mungkin ahli boleh memilih jika dipaksa tetapi penghormatan dan ketaatan kepada pimpinan adalah sesuatu yang datang dengan sendiri dan bukannya secara paksaan. Jangan penyakit kronik yang jijik dan buruk yang sedang melanda UMNO akan turut dibawa masuk ke dalam parti ini. Hayatilah semangat parti baru dan politik baru yang kita sama-sama sepakati ketika menubuhkan parti ini. Hayati dan amalkan konsep perbedaan pandangan dan pendapat itu diizinkan dalam batas-batas akhlak dan etika sesama insan.

Marilah kita bersama-sama bergerak dengan langkah yang sederap bagi menjayakan matlamat sebenar parti untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta menentang kezaliman dalam konteks amar ma'ruf nahi mungkar dan dalam masa yang sama kita berlapang dada dan berkompromi di dalam perkara-perkara yang mungkin kita punyai sedikit perbedaan.

RUSLAN KASSIM
Ketua Penerangan



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]