PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Percantuman Tiada Dalam Agenda P-A-T keADILan

Saya telah membaca laporan kenyataan Azmin Ali dan Annuar Tahir dalam media bahawa agenda percantuman PRM-keADILan tidak ada dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) parti itu yang akan diadakan tidak lama lagi.

PRM telah diberitahu secara tidak rasmi tentang hal ini lebih sebulan dulu. Kami memahami mengapa Majlis Pimpinan keADILan telah memutuskan tidak akan membentangkan perkara ini dalam MAT akan datang untuk mendapat undi dua-pertiga bagi meminda perlembagaan dan mempercepat percantuman.

Pemilihan pimpinan baru bagi keADILan untuk tiga tahun akan datang sedang berjalan dengan sengit serta rancak. Walaupun media yang dimiliki atau dikuasai BN cuba memberikan gambaran bahawa parti itu sedang menghadapi masalah dalaman yang serius, namun kami percaya keADILan pada asasnya masih mantap dan selepas pemilihan tamat nanti ia akan bertambah kuat lagi.

Bergantung kepada keadaan, dan jika perlu, keADILan mungkin mengadakan satu mesyuarat agung khas untuk mengambil keputusan muktamad tentang percantuman. Sungguhpun PRM telah mendapat majoriti dua-pertiga untuk meminda perlembagaan, keADILan masih belum mendapatkannya. Itu sebabnya mereka perlu mengadakan perbincangan lanjut tentang perkara ini. Nampaknya ada sedikit kelewatan untuk percantuman ini. PRM sudah menegaskan bahawa percantuman hanya akan berlaku selepas keADILan meminda perlembagaannya.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
1hb November 2001



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]