Assalamualaikum,
Ahli-ahli Lembaga Penasihat yang dirahmati Allah,
Hari ini saya hanya diwakili oleh peguam saya dan tidak hadir sendiri di hadapan Lembaga
Penasihat sebagai membantah tindakan Pegawai Yang Menjaga, Tuan Abd. Basir Mohamad yang
telah menghalang dan campur tangan dalam persediaan saya untuk bertemu dengan tuan-tuan.
Walaupun hanya mengetahui tarikh sesi ulangkaji saya pada hari-hari akhir Januari 2002
daripada pihak KEM, saya telah memberi kerjasama saya untuk bersetuju menghadiri sesi
Ulangkaji yang dijadualkan pada 8 Febuari 2002, iaitu hari ini.
Selepas mendapat persetujuan daripada pegawai Pejabat Rekod Kem ini, iaitu Tuan Ahmad
Sharal Badri Ahmad Basri, isteri saya telah membawa bahan-bahan representasi dan ulangkaji
saya semasa lawatan keluarga pada 3 Febuari 2001 agar saya dapat membuat persediaan lebih
awal.
Walau bagaimanapun, tidak seperti yang telah dijanjikan kepada saya oleh Tuan Ahmad
Sharal, bahan-bahan ini telah disimpan oleh pihak Kem selama lima hari dan hanya
diserahkan kepada saya pada petang 7 Februari, iaitu kurang dari satu hari sebelum saya
menghadiri sesi Ulangkaji di hadapan Lembaga Penasihat.
Saya ingin menarik perhatian tuan-tuan bahawa tindakan Pegawai Yang Menjaga memegang dan
menyimpan bahan-bahan representasi dan ulangkaji saya selama lima hari sehingga
menyulitkan persediaan saya untuk berhadapan dengan pihak Lembaga Penasihat adalah secara
nyata dan jelas menunjukkan tindakan menganggu dan campur tangan dalam proses Ulangkaji
yang bebas dan adil. Saya menyeru kepada pihak Lembaga Penasihat untuk memperbaiki
kepincangan yang berlaku dalam segala urusan dan perjalanan representasi dan ulangkaji
yang dijalankan di Kem Tahanan Politik Kamunting ini.
Bagi pihak saya, untuk menunjukkan bantahan saya, saya menarik diri dan tidak hadir dalam
sesi ulangkaji pada hari ini.
Tuan-tuan ahli Lembaga Penasihat yang dihormati,
Oleh kerana sesi ulangkaji yang adil adalah meneliti bukan saja kedudukan dan keadaan diri
saya, tetapi juga seluruh proses yang menyebabkan saya disumbat di Kem Tahanan Politik
ini, di atas sebab itu saya mewakilkan kepada peguam saya untuk menyerahkan segala hujah
saya perihal proses soal-siasat yang telah saya lalui selama 54 hari semasa ditahan oleh
Bukit Aman. Hujah-hujah tersebut adalah sambungan daipada dua jilid representasi saya yang
lalu dan terdiri daripada Jilid 3, Jilid 4 dan Jilid 5. Saya harap pihak tuan-tuan tidak
keberatan untuk mentelaahnya.
Tuan-tuan ahli Lembaga Penasihat yang budiman,
Sekali lagi saya tegaskan bahawa penahanan saya adalah tidak sah dan bermotif politik.
Bukti terbaru adalah penahanan semula Al-Ustaz Dr. Badrulamin Bahron. Beliau dikatakan
melanggar syarat kerana keluar kawasan. Hakikat sebenarnya beliau tidak keluar kawasan
kerana Desa Melawati di mana tempat beliau hadir untuk membaca doa adalah jelas dalam
kawasan Gombak. Bahkan dalam kertas yang menggariskan syarat-syarat untuk beliau jelas
menyatakan "Kawasan" dan bukan "Daerah". Kawasan sedia maklum difahami
sebagai kawasan Parlimen. Desa Melawati adalah dalam Hulu Klang dan Hulu Klang pula adalah
dalam kawasan Parlimen Gombak. Jelas dan nyata Dr. Badrulamin tidak melanggar syarat.
Tuan-tuan ahli Lembaga Penasiaht yang bijaksana,
Pada 30 Januari 2002, Dr. Badrulamin telah dibawa ke mahkamah kerana pihak polis
mengatakan bahawa beliau akan didakwa kerana melanggar syarat. Apabila tiba di mahkamah,
pendaftar mahkamah menyemak fail dan tidak pun mendapati sebarang rekod bahawa Dr.
Badrulamin akan didakwa pada tarikh tersebut. Pendaftar telah menghubungi kedua-dua IPD
Gombak IPK Shah Alam, nyata tiada sebarang tindakan dari pihak polis untuk mendakwa Dr.
Badrulamin di mahkamah. Akhirnya datang arahan bahawa Dr. Badrulamin akan dihadapkan
semula ke mahkamah pada 5 Mac 2002. Namun sekitar pukul 4 petang, Dr.Badrulamin
dimaklumkan oleh peguamnya bahawa kes tersebut dibuang.
Pada pukul 10 malam, 30 Januari 2002, Dr. Badrulamin telah dihubungi oleh pihak Balai
Polis Rawang memberitahu ada panggilan Ulangkaji di hadapan Lembaga Penasihat di Kamunting
pada 8 Februari 2002. Oleh itu, Dr. Badrulamin diminta hadir ke Balai Polis Rawang pada
pukul 10 pagi, 31 Januari 2002, untuk menandatangani borang setuju menghadiri sesi
Ulangkaji tersebut. Seperti yang dijadualkan, pada pukul 10 pagi, 31 Januari 2002, Dr.
Badrulamin telah hadir ke Balai Polis Rawang dan menandatangani borang salinan (photocopy)
sesi Ulangkaji yang bertarikh 8 Febuari 2002, iaitu hari ini. Sebaik sahaja selepas itu,
Dr. Badrulamin diberitahu bahawa beliau ditahan semula dan akan dihantar meneruskan
tahanannya di Kamunting.
Tuan-tuan ahli Lembaga Penasihat yang budiman,
Saya menceritakan dengan panjang lebar perihal apa yang telah dilalui oleh Dr. Badrulamin
adalah dengan tujuan memberitahu tuan-tuan bagaimana sesi Ulangkaji ini telah dijadikan
senda gurau dan permainan pihak-pihak tertentu. Bagi diri saya sendiri, sesi Ulangkaji
tidak ada ertinya apabila Pegawai Yang Menjaga campur tangan dan menganggu persediaan yang
bebas dan adil. Bagi Dr. Badrulamin pula, sesi Ulangkaji dijadikan helah oleh pihak polis
untuk 'memikat' Dr. Badrulamin untuk masuk ke perangkap mereka dan seterusnya ditahan
semula ke Kamunting.
Tuan-tuan ahli Lembaga Penasihat yang budiman,
Saya dan rakan-rakan saya; Mohd Ezam Mohd Nor, Chua Tian Chang, Lokman Noor Adam,
Hishamuddin Rais dan Dr. Badrulamin Bahron, sekali lagi menegaskan bahawa penahanan kami
di Kamunting adalah penahanan politik. Penahanan ini adalah tidak sah dan merupakan
pencabulan hak asasi manusia dan satu perbuatan zalim.
Seperti apa yang telah saya lakukan bermula 11 September 2001, sebagai menunjukkan
bantahan kami, kami memulaukan semua makanan Kem dan melancarkan mogok lapar bermula 4
Febuari 2002. Perkembangan mogok lapar seterusnya akan dimaklumkan oleh rakan-rakan saya
dari semasa ke semasa.
Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan kerana sudi mendengar penerangan saya
ini.
SAARI SUNGIB
Kem Tahanan Politik Kamunting
8 Febuari 2002
|
|
|
HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang
terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan
Diselengara
Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor |