PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Lawatan Ke-23 Kamunting

Kami sekeluarga, semua tahanan politik di Kamunting dan juga keluarga masing-masing berasa syukur bahawa usaha kita setakat ini telah memberi sedikit tekanan kepada pihak berkuasa. Walau bagaimanapun Ustaz Dr. Badrul Amin sebenarnya belum dibebaskan sepenuhnya kerana pihak Kementerian Dalam Negeri mengenakan syarat yang jika diteliti masih mengongkong hak asasi dan kebebasan beliau seperti tidak boleh keluar dari kawasan Gombak dan tidak boleh memegang apa-apa jawatan politik. Ini jelas melanggar hak asasi rakyat di dalam perlembagaan.

Ustaz Badrul Amin hanya dipindahkan dari Kamunting ke tahanan di rumah dan masih di bawah ISA untuk selama dua tahun. Perkataan “bebas” yang digunakan oleh akhbar juga telah mengelirukan rakyat. Di sini kami menyeru supaya usaha hendaklah digiatkan lagi untuk mendesak agar ISA dihapuskan dan semua tahanan dibebaskan tanpa syarat. ISA adalah undang-undang zalim dan kini hanya diperalatkan oleh kerajaan untuk membendung kebangkitan rakyat ke arah Reformasi. Janganlah kita leka dengan hanya satu pejuang kita kini telah berada bersama-sama kita. Kami menuntut semua tahanan politik dibebaskan segera tanpa syarat!

Hari ini adalah ulangtahun Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 5 November 2000 di mana Saari adalah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur perhimpunan tersebut. Perhimpunan yang dijadualkan di Jalan Kebun telah terhalang kerana sekatan jalanraya oleh pihak polis dan FRU dan satu laporan SUHAKAM telah pun diumumkan mengenai kejadian hari tersebut. Suka diingatkan bahawa penganjuran perhimpunan itu telah dijalankan secara telus dan terbuka tetapi pihak polis telah menfitnah Saari kerana mengetuai penganjuran perhimpunan tersebut dan dituduh sebagai perhimpunan haram. Ini adalah satu daripada alasan tahanan beliau ke Tahanan 2 tahun di Kamunting. Perhimpunan tersebut bertemakan “Kembalikan Hak Rakyat” dan telah mendapat sambutan ribuan rakyat.

Lawatan pada 4 November agak tenang. Semua keluarga dapat berjumpa tahanan serentak di bilik-bilik yang bersebelahan. Oleh itu Ezam, Saari dan Lokman dapat bertegur sapa dan melambai-lambai tangan dengan keluarga lain. Oleh kerana dua daripada anak-anak kami akan pulang ke Johor untuk memulakan pengajian semester kedua, maka mereka semua membuat satu persembahan nasyid untuk ayah mereka diiringi paluan kompang dan tamborin. Lagu yang dipilih ialah “Tebarkan Salam” dan “Manis Bicara” dari kumpulan Nahwah-Nur. Berikut adalah antara senikata nasyid yang dipersembahkan untuk ayah mereka:

CHORUS

# Manis bicara indah tutur kata
Manis kalimah pengikat ukhuwwah
Hati yang manis bercahaya
Kemanisan iman terasa

Bersihkanlah diri dengan zikir Ilahi
Maniskan ilmu dengan seribu amalan
Suburkan jiwa dan hati ke jalan Allah
Kasih yang manis bersulam iman tercipta

Sebenarnya sejak beberapa bulan yang lalu anak-anak kami membuat persembahan semasa lawatan berjumpa ayah mereka . Lagu-lagu yang didendangkan adalah untuk memberi kesegaran minda, jiwa dan meniupkan semangat bagi kami sekeluarga terutama lagu-lagu yang mempunyai senikata yang sungguh bermakna. Lagu-lagu dari album Hijjaz, Raihan, Rabbani, AlarmMe, Nowseeheart, Saujana telah dikumandangkan di Kem Kamunting oleh anak-anak kami. Tahanan yang lain juga turut menumpang mendengar persembahan mereka.Untuk kali ini mereka membawa kompang dan tamborin dan diizinkan oleh pihak pentadbiran kem untuk dibawa masuk berjumpa ayah mereka.

Dua minggu yang lalu kami membawa buku komik Lagak Pak Mahat yang dihadiahkan oleh Zunar. Saari memberitahu bahwa buku itu baharu sahaja diluluskan untuk tatapan mereka semua. Semalam kami juga membawa buku “Bidak di Papan Catur” untuk kami hadiahkan kepada pihak kem. Alhamdulillah mereka sudi menerimanya. Buku untuk tahanan terpaksa kami kirimkan melalui peguam dengan harapan mudah untuk diluluskan. Lagipun buku ini adalah dokumen awam yang telahpun diterima oleh mahkamah kerana buku ini adalah kandungan afidavit mereka untuk kes Rayuan Habeas Corpus beberapa orang antara mereka yang masih beluam selesai. Kami harap pihak kem tidak mempunyai halangan untuk membenarkan mereka membaca semula afidavit yang mereka tulis dan juga rencana-rencana pendek yang ditulis oleh isteri dan anak-anak tahanan ISA.

Kini tahanan politik tinggal lima orang. Sebelum ini, pada setiap Sabtu dan Ahad mereka boleh duduk bergabung dari pukul 8 pagi hingga 3 petang. Hari Sabtu lepas mereka boleh duduk bersama dalam satu dormitori hingga pukul 9 malam memandangkan Lokman telah keseorangan kerana Ustaz Badrul Amin telah keluar. Mereka dapat bermain pingpong dan badminton dan mengadakan pertandingan. Setakat ini Saari menjadi juara pingpong antara mereka. Untuk badminton, mereka baru menjalankan latihan sebelum mengadakan pertandingan yang serius. Mereka perlu terus bersemangat untuk terus berjuang menegakkan keadilan. Teruskan doa dan sokongan kita semua.

Mansuhkan ISA! Kami mahukan pembebasan total!

Aliza Jaffar
(isteri Saari Sungib)
5 November 2001



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]