Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Ummu Urwah - Tahanan Reformasi Tidak Dilupakan
 


Oleh: Aliza Jaffar
(Isteri Saari Sungib)


Setiap minggu satu surat akan kami terima daripada tahanan reformasi di Kamunting. Minggu lepas kami tidak menerima surat. Sehingga hari Selasa minggu berikutnya kami belum menerima surat minggu lepas walaupun kami sudah pasti para tahanan telahpun menyerahkan surat mereka kepada pihak kem awal minggu lepas. Kami tertanya-tanya, mungkin kini tugas menapis surat mengambil lebih masa kerana mangsa tahanan ISA di Kamunting sudah bertambah dan pihak bertanggungjawab juga bertambah beban kerjanya.

Walaupun tahanan politik tidak lagi menerima surat selain daripada surat keluarga, namun kami keluarga menerima setakat ini hampir seribu kad daripada seberang laut yang menyatakan sokongan dan pengharapan mereka terhadap semua tahanan politik dan keluarga mereka. Kad-kad yang cantik-cantik dan surat ini ditujukan kepada keenam-enam tahanan dan juga keluarga masing-masing datang dari England, Canada, Denmark, Scotland, Australia, Wales, Saudi Arabia dan German. Tulisan-tulisan ini menyatakan rasa simpati walaupun mangsa ISA terpenjara, mereka tidak dilupakan. Kami juga mendapat kad ucapan sempena krismas dan tahun baru. Ada yang berasa hairan bahawa Malaysia masih ada undang-undang yang boleh menahan sesiapa sahaja tanpa dibicarakan. Kami juga menerima kad daripada kanak-kanak sekolah berumur 8 tahun yang menyatakan bahawa dia diberitahu oleh guru kelasnya di dalam bilik darjah bahawa ada manusia yang dizalimi di negara Malaysia.

Surat adalah penyambung kasih yang terpisah. Walaupun terpisah, suami dan ayah tetap mendidik ahli keluarga supaya terus tabah dan sentiasa mengingatkan tanggungjawab terhadap Allah dan memohon kepada-Nya agar sentiasa dilindungi. Suami saya sentiasa mengingatkan agar kami jangan sekali-kali mengabaikan tilawah Al-Qur’an dan zikir. Tilawah dan menghayati Al-Qur’an memberi ketenangan, kedamaian dan ketenteraman dalam jiwa dan menjadi tonggak kekuatan kepada kita.

Dalam suratnya, Saari juga meminta kami terus tetap membaca do’a Nabi Yunus dan do’a Nabi Ayyub (Surah Al-Anbiya’:83). Amalkan membaca semasa sujud solat hajat atau tahajjud “Ya Hayyu Ya Qayyum” banyak-banyak. Daripada buku Hayatus Sahabah oleh Yusuf Al-Kandahlawy diriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Talib, semasa perang Uhud Rasulullah s.a.w bersujud dengan membaca “Ya Hayyu Ya Qayyum” berkali-kali sehingga ‘Ali menyangka Rasulullah s.a.w tidak akan berhenti membacanya. Selepas itu pohonlah daripada Allah apa yang selama ini kita pohonkan - menuntut pembebasan yang total, keadilan dan menyahkan pemimpin negara yang zalim dan curang lagi pecah amanah.

Menurut sebahagian ulama’- Al Hayyu Al Qayyum adalah dua Asma’al-Husna Allah yang teragung sehingga dengannya seorang ‘abid di kalangan umat Nabi Sulaiman telah berjaya dengan izin Allah mendatangkan singgahsana Ratu Balqish dari Saba’ ke Palestin dalam sekelip mata.

Tidak lama lagi genaplah setahun tahanan politik dipenjarakan tanpa dibicarakan. Rayuan habeas corpus telahpun selesai dan kini hanya menunggu keputusan hakim. Peguam pembela telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik-baiknya dengan mengemukakan lima fakta penting menyentuh ISA yang juga berkaitan dengan Perlembagaan negara. Peguam pendakwa juga telah memberi hujah balas. Walaupun hujah mereka begitu “memeningkan” para hakim, tetapi telah diberi liputan hebat oleh akhbar kerajaan seolah-olah hujah mereka baik.

Malang sekali, bagi saya yang mengikuti perbicaraan, walaupun hanya sebagai rakyat biasa, saya sudah mengerti bahawa hujah pendakwa berputar belit dan tidak meyakinkan. Bagaimana pendakwa hendak menerangkan sesuatu yang kononnya menurut undang-undang tetapi adalah sebenarnya yang berkuasa sewenang-wenangnya adalah pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, hatta mahkamah pun tidak boleh campur tangan? Undang-undang apa ini? Kini terletak di bahu para hakim di mahkamah tertinggi di Malaysia untuk menentukan masa hadapan negara dan rakyat Malaysia. Saya lihat hakim tersenyum lega apabila selesai hujah balas pembela dan apabila Hj. Sulaiman, sebagai ketua pembela memohon agar keputusan penghakiman disegerakan memandangkan para tahanan telah merengkok di dalam penjara hampir setahun.

Kami keluarga mangsa ISA ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sokongan dalam apa jua bentuk sekalipun kepada kami. Marilah kita bersama-sama berjuang habis-habisan menentang kezaliman ini demi kesejahteraan negara kita tercinta.

Salam Reformasi
Lawan Tetap Lawan


6 Mac 2002

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net