Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

Pemuda Pejuang Reformasi                    http://pemuda-keadilan-selangor.net
Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Aidiladha Kem Tahanan Kamunting
 
Oleh: Aliza Jaffar

Aidiladha bagi keluarga Tahanan Politik ISA adalah satu hari yang dinanti-nantikan oleh kami, keluarga dan juga para tahanan, kerana pada hari ini kami dapat duduk bersama di meja yang tidak ada halangan. Kami dapat bertakbir bersama-sama tanda pengiktirafan kami pada Allah yang Maha Besar, tiada yang lebih besar daripada-Nya. Sebenarnya sejak pertemuan pertama kami lagi, kami tidak redha pertemuan di bilik yang dihalangi oleh jaringan dawai. Suami kami tidak bersalah. Mereka difitnah oleh polis. Hak asasi kami dicabul dengan sesuka hati.

Aidiladha tahun ini menyaksikan satu lagi kezaliman ISA kepada rakyat biasa yang dianiaya dan diperlakukan sesuka hati oleh pihak Polis Cawangan Khas dan Kerajaan Malaysia. Apa tidaknya. Semasa saya dan anak-anak sampai di pondok menunggu di Kem Tahanan, saya bertemu dengan isteri dan anak-anak tahanan ISA yang baru dihantar ke Kem itu pada malam sebelum Aidiladha. Mereka ini adalah mangsa yang didakwa sebagai KMM sayap kedua yang ditahan sekitar Disember 2001. Saya tidak tergamak menyatakan nama kumpulan mereka kerana nama itu adalah hanya ciptaan pihak polis. Mungkin lebih sesuai kita panggil mereka ini "Kumpulan Mangsa Mahathir".

Salah seorang daripada isteri mereka menyatakan bahawa pada pagi Jumaat sebelum Aidiladha dia telah berjumpa suaminya di IPK Kuala Lumpur iaitu tempat kebiasaannya SB mengaturkan perjumpaan keluarga dengan tahanan ISA. Tidak sedikitpun mereka menyatakan bahawa suaminya akan dihantar ke Kamunting pada malam tersebut. Saya terfikir, nampaknya pihak Kem Tahanan Kamunting sudah tidak lagi mempunyai peraturan bahawa mereka tidak lagi boleh menerima tahanan selepas jam 12 malam kerana kemungkinan lima tahanan terbaru yang dihantar pada malam Aidiladha sampai di Kem Tahanan melepasi jam 12 malam. Saya masih ingat semasa tahanan Reformasi dihantar ke Kamunting, mereka telah dipecutkan supaya sampai ke Kem Tahanan Kamunting sebelum jam 12 malam pada 2 Jun 2001.

Apakah pihak SB baru tersedar bahawa esoknya hari raya Aidiladha dan mereka mesti bercuti daripada menjaga tahanan ISA ini? Peduli apa dengan perasaan dan kesusahan isteri, anak-anak dan keluarga tahanan ISA ini? Penghantaran lima tahanan ISA ke Kamunting di malam Aidiladha adalah amat dikesali dan sungguh tidak berperikemanusiaan.

Pertemuan keluarga pada hari raya Aidiladha ini agak lewat dimulakan oleh pihak kem kerana para tahanan dibenarkan berjumpa antara satu sama lain selepas solat Aidiladha sesama mereka di dalam kem. Dalam kesempatan itu salah seorang tahanan ISA sempat bercerita kepada suami saya bahawa apabila beliau ditahan di bawah ISA dua bulan selepas suami saya ditahan, antara perkara yang difitnah oleh Ketua Pegawai Penyiasat kepadanya ialah Saari Sungib sedang membina kekuatan dengan meminta pertolongan dari Polo, Selatan Thailand. Ini adalah jelas satu pendustaan dan fitnah daripada polis terhadap suami saya kerana beliau tidak pernah disoal-siasat mengenai hal itu semasa beliau ditahan. Nama Polo pun beliau tidak pernah dengar.

Sekarang barulah kita faham mengapa Tahanan Reformasi ISA tidak boleh digabungkan dengan tahanan lain kerana jika mereka dibenarkan berbuat demikian akan bocorlah rahsia pendustaan dan pemfitnahan pihak SB. Seorang lagi tahanan ISA yang ditangkap pada Julai 2000 telah memberitahu suami saya bahawa SB telah memberitahu beliau yang mereka sedang memantau Saari Sungib. Ada yang berkata bahawa pihak SB mengaku bahawa tahanan ISA yang mereka tangkap tidak mempunyai apa-apa kesalahan, "Kalau kami tak tangkap tahanan ISA, kami tak ada kerja nak buat", begitulah pengakuan SB kepada tahanan ISA. SB juga mengaku bahawa tahanan ISA adalah tahanan politik semata-mata dan mereka "disimpan" untuk sementara.

Siapakah gerangan orang-orang yang perlu "disimpan" untuk sementara waktu ini? Setiap hari Ahad iaitu kebiasaan lawatan keluarga bagi tahanan ISA, kami dapat melihat yang datang ialah wanita-wanita yang bertudung, mendukung anak-anak kecil atau bersama anak-anak remaja. Inilah mangsa ISA yang suami atau bapa mereka dituduh kononnya mengancam keselamatan negara. Nampaknya kini, orang-orang yang baik-baik dan beragama menjadi mangsa ISA.

Pada hari raya Aidiladha kedua, kami terkejut apabila ada keluarga yang diberitahu bahawa hari ini adalah lawatan biasa dan tidak boleh membawa makanan. Setelah salah seorang daripada kami menyiasat, pihak kem telah diberi arahan pada malam sebelum hari ini untuk membenarkan keluarga membawa makanan setelah arahan sebaliknya dibuat pada petang hari raya Aidiladha pertama. Tetapi apabila kami pastikan dengan tahanan sendiri, mereka telah diberitahu beberapa minggu lepas bahawa kedua-dua hari raya Aidiladha, keluarga dibenarkan membawa makanan.

Pada hari raya kedua Aidiladha, kami diarahkan tidak boleh duduk bersebelahan tahanan hatta isteri ataupun anak kecil. Tidak pula peraturan tersebut dikenakan pada hari pertama. Apabila saya dan anak-anak masuk, kami diberi arahan tersebut dan kami agak tercengang-tercengang untuk memahami arahan tersebut. Saya nampak Lokman duduk berhadapan dengan isterinya dan oleh kerana anaknya tidak dibenarkan duduk bersamanya, anaknya berbaring di atas meja di hadapan antara mereka berdua. Saya juga nampak dua lagi tahanan ISA juga duduk menghadap isteri dan keluarga masing-masing. Bayangkan saya dan anak-anak iaitu kami sembilan orang duduk berhadapan dengan suami saya di satu meja panjang. Saya tidak dapat melihat asas yang kukuh daripada arahan tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam perjalanan ke meja tersebut, kami melintasi khemah pertemuan tahanan yang lain. Saya pasti ada isteri yang duduk di sebelah tahanan. Jadi saya bertanya, "Kenapa orang itu boleh?" Pegawai yang bertugas itu kata, "Itu lain". Saya dan anak-anak tidak boleh menerima arahan tersebut lalu kami pun merayu kepada Ketua pegawai tersebut. "Tuan, tidak bolehkah saya duduk di sebelah suami saya?" Beliau terpaksa mengangguk sahaja. Saya pun segera mengucapkan terima kasih kepada beliau. Saya lihat ada isteri yang menangis semasa perjumpaan yang ala kadar tersebut. Tentu sekali mereka terkejut besar, terpaksa berhari raya di Kem Tahanan setelah dua bulan suami mereka "diculik" oleh polis, hilang entah ke mana.

Kami amat hairan akan peraturan yang diubah-ubah tanpa apa-apa asas yang jelas. Kami yakin ia adalah hanya untuk memberi tekanan kepada keluarga tahanan ISA atau juga sebagai hukuman kepada tahanan. Pegawai-pegawai kem yang bertugas juga kelihatan sukar menjalankan tugas mereka apabila peraturan ditukar-tukar sedemikian rupa.

Para tahanan ISA adalah tahanan tanpa bicara dan mereka tidak pernah disabitkan bersalah oleh mana-mana mahkamah. Oleh itu mereka tidak boleh diperlakukan seperti penjenayah. Ini jelas membuktikan bahawa ISA adalah satu undang-undang yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Kerajaan Malaysia khususnya pihak Kementerian Dalam Negeri dan Polis Cawangan Khas adalah pelaksana kepada undang-undang ini yang dengan mudah disalahgunakan oleh pemimpin demi kepentingan politik mereka.

Wahai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan keadilan, marilah bersama-sama kita gandingkan tangan untuk menghapuskan kezaliman yang terlalu nyata di hadapan kita. ISA tidak boleh dibenarkan diperalatkan lagi oleh pemimpin demi kepentingan politik mereka. Kita mesti hapuskan ISA yang zalim ini. Kami, isteri, anak dan keluarga akan terus berjuang menuntut keadilan bagi orang yang kami kasihi.

Kami keluarga mangsa ISA, menyeru pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif dengan kerjasama NGO yang prihatin dan pejuang-pejuang keadilan, tingkatkan usaha untuk membebaskan rakyat dari cengkaman ISA ini. Kami mangsa ISA begitu menderita dianiayai oleh ISA yang kejam ini.

25 Februari 2002 adalah hari Mahkamah Persekutuan mendengar semula perbicaraan Rayuan Habeas Corpus Ezam, Tian Chua, Saari, Hishamuddin dan Raja Petra. Marilah kita berdo'a agar Hakim yang membuat pengadilan melaksanakan tugas mereka sebaik-baiknya. Rakyat sudah nampak ISA menzalimi rakyat biasa, apakah para hakim yang bijaksana tidak menghakimi dengan adil?

Sempena Aidiladha ini, kami sekali lagi (entah sudah berapa kali) mendesak agar kerajaan membebaskan tahanan politik ini serta merta. Mereka telah dizalimi hampir setahun sebagai tahanan tanpa bicara. Bebaskan mereka segera!

Marilah bersama berjuang menuntut keadilan.
Reformasi!

Aliza Jaffar
(Isteri Saari Sungib)

25 Februari 2002
 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]