Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

Pemuda Pejuang Reformasi                    http://pemuda-keadilan-selangor.net
Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Suatu Hari Di Hari Raya
 


Oleh Helme Hanafi

"Setiap kali mama kejutkan bersahur, saya berasa sunyi sangat kerana selalunya pada tahun-tahun yang lepas, apabila bangun sahaja terdengar suara ayah membaca al-Quran," luah Marwah, 14, anak anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Keadilan, Saari Sungib, yang kini merengkuk di bawah akta ISA di kem Kamunting.

"Suara ayah kali ini tidak kedengaran lagi. Kami sekeluarga amat merindui suara ayah membaca al-Quran," kata gadis sunti ini, sayu. Ayahnya, seorang aktivis Islam sejak di universiti, dikenali cukup disiplin membaca Al-Quran.

Saari, ditangkap pada petang 10 April lalu dalam 'Operasi Omega', bersama naib presiden Tian Chua, ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor dan penulis Hishamuddin Rais. Polis mendakwa mereka sedang merancang untuk "menggulingkan kerajaan" dengan menggunakan pelancar roket dan bom menjelang sambutan 'Black 14' yang dijadual beberapa hari selepas itu.

Keesokannya, pengarah 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Kamarudin dan aktivis Pemuda Abdul Ghani Haroon ditahan di Kuala Lumpur dan Kuching. Sementara seorang lagi aktivis Pemuda Keadilan, yang juga penceramah popular, N Gobalakrishnan dibungkus di Langkawi menjelang tengah malam sebelumnya.

Lokman Noor Adam, juga aktivis Pemuda, ditahan penghujung April bersama anggota MPT Dr Badrulamin Bahron dan aktivis reformasi Badaruddin Ismail (Pak Din).

Bagaimanapun kini tinggal lagi lima orang di kem itu - berpuasa dan berhari raya pertama kali "di perantauan", terpisah jauh daripada isteri dan anak-anak tercinta demi keadilan dan reformasi. "Kehilangan" mereka, kecuali Tian Chua, di hari lebaran nanti akan berbekas kepada semua orang - itulah yang diluahkan oleh Marwah, rasa rindunya yang tak terubat.

Ketika 'Berita Keadilan' singgah di rumahnya, senja belum lagi kelihatan. Ketibaan kami disambut mesra Aliza Jaafar, isteri Saari. Ketabahan ibu kepada tujuh anak ini terpancar melalui wataknya yang sentiasa tenang. Kali pertama suaminya ditahan ISA, Aliza berada di hospital melahirkan anak bongsu mereka pada Oktober 1998.

Kini, Alizalah ayah dan ibu anak-anak ini. Selain terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan keperluan harian mereka, beliau juga sibuk menghadiri perjumpaan dan aturcara yang dianjurkan untuk kempen pembebasan suami tercinta.

Kehidupan itu telah menjadi rutin beliau sejak lapan bulan lepas, dan kini setelah Pak Abu (gelaran Saari di kalangan teman-teman) ditahan dua tahun di Kamunting, Aliza dan anak-anak saban minggu bergegas ke sana untuk saling meluahkan rindu dan pesan.

"Pak Abu selalunya berbuka dengan kurma dan bubur lambok sahaja. Dia cukup suka makan kurma - kadang-kadang berbelas-belas biji dimakannya. Kemudian beliau bersembahyang Maghrib dan selepas itu baru beliau makan nasi," cerita Aliza lagi, apabila ditanya kegemaran Saari untuk berbuka puasa.

"Saya tak mahu ayah ditangkap lagi selepas ini. Kalau tangkap sekejap tak apa, tapi jangan tangkap ISA lagi," kata Zilal Saari, 16, kepada kami ketika ditanya perasaannya menyambut Ramadan tanpa ayah di sisi. "Kami semua rindukan ayah."

Saari, lulusan kejuruteraan dari Birmingham, United Kingdom berkahwin dengan Aliza Jaffar pada 1978.

Bekas presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebelum ini ditahan ISA pada 12 Oktober 1998 bersama hampir 30 lagi, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana terlibat dengan gerakan reformasi yang dilancarkan ekoran krisis politik dalam kepemimpin UMNO.

Turut ditahan waktu itu, Ruslan Kasim (bekas ketua penerangan Keadilan), aktivis reformasi Abd Malek Hussein, presiden Abim Ahmad Azam Abdul Rahman, Kamaruddin Jaafar (kini wakil rakyat PAS), Ketua Pemuda UMNO Ahmad Zahid Hamidi, aktivis pelajar Ahmad Shabrimi Sidek dan Kamaruddin Mohd Nor (UMNO Kelantan).

Lokman, kini berkongsi bilik kurungan bersama Saari dan Mohamad Ezam, turut ditahan ISA selama hampir dua bulan. Beliau ditangkap tidak lama selepas berjaya mengatur demonstrasi besar-besaran di depan Istana Negara pada malam 17 Oktober 1998.

Tahun itu, Saari ditangkap selepas menziarahi isterinya di hospital UKM ketika beliau bersama puteri sulungnya Anfal, 22, berjalan di tempat letak kereta. Ketika ditangkap kali kedua, Saari berada di rumah bersama isteri dan Anfal.

Mengulas tangkapan pertama ayahnya, Anfal berkata, "saya beritahu seorang makcik, 'I just don't want to cry anymore' (saya tidak mahu menangis lagi). Satu perkara yang sangat pedih bagi saya untuk mengingati kembali saat-saat berpisah dengan ayah. Kerana setiap kali teringat, saya akan menangis, termenung memikirkan bilakah penderitaan (kami) ini akan berakhir."

Persiapan hari raya keluarga ini dibuat sederhana sahaja tahun ini. Menurut Aliza, keluarganya akan menyambut hari raya di kem tahanan Kamunting bersama-sama Saari. Namun sehingga hari ini, permohonan mereka untuk menyambut hari lebaran di Kamunting masih belum berbalas.

Kesunyian dan kerinduan kepada suami tersayang dikongsi bersama Bahirah Tajul Aris, isteri Mohamad Ezam.

Suami Bahirah tidak perlu diperkenalkan lagi - bekas setiausaha politik Anwar yang berceramah lantang; mendedahkan berbagai-bagai penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaan tanpa takut dan gentar. Beliau ditahan kononnya kerana pernah berunding dengan kumpulan pemisah dari negara-negara jiran untuk menggulingkan kerajaan melalui keganasan, begitu tohmahan kerajaan kepadanya dalam surat pertuduhan di saat dihantar ke "kem perlindungan" Kamunting.

Anak sulung Mohamad Ezam, Tihani Batrisya, 8, memberitahu kami, ayahnya ditahan kerana mahu menolong orang miskin. "Ayah pandai pidato, ayah berpidato di seluruh dunia untuk menolong orang miskin, saya bangga dengan ayah," katanya, sambil tersenyum.

"Anak-anak rindukan ayah mereka, Mohd Hasif yang berusia 6 tahun itu kadang-kadang mengigau malam menyebut-yebut ayahnya. Semua anak-anak manja dengan Ezam. Jadi apabila Ezam ditahan, kesannya amat dirasai oleh mereka," cerita Bahirah.

Cerita ibu Ezam: "Makcik rasa sunyi berpuasa tanpa Ezam. Kadang-kadang, kalau (makcik) masak asam pedas sahaja, makcik jadi sedih - terkenangkan dia kerana dia cukup suka makan asam pedas."

Menurut makcik Aishah Abdul Ghani, anak sulungnya itu mudah dijaga kerana tidak banyak kerenah dan patuh kepada orang tua.

"Makcik tidak hadapi banyak masalah untuk membesarkan Ezam. Dia makan tidak memilih, masak apa sahaja pun dia makan. Cuma kalau asam pedas, dia akan tambah nasi lagi, itu sahaja," katanya, tersenyum.

Menceritakan sambutan hari raya, Aishah berkata, mereka sekeluarga juga bercadang ke Kamunting untuk menyambut hari raya bersama Mohamad Ezam di sana.

Mohd Haris, 3, putera bongsu Ezam, ketika ditanya di mana ayahnya, anak kecil ini menjawab, "polis ambil ayah." Apabila ditanya polis membawa ayahnya ke mana, Haris berkata, "polis gari ayah." Kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa ini akan menyambut Aidil Fitri tanpa ayahnya di sisi tetapi haknya untuk bergembira seperti teman-teman sebayanya masih ada, itupun jika masih ada.

Isteri Lokman juga berdepan dengan dilema ini pada Aidil Fitri, sesuatu yang Hishamudin Rais tidak terfikir, atau malah Saari dan Ezam. Masing-masing terbenam dalam ingatan, rindu dan kesulitan rasa melalui saat-saat gembira ini. Dan Tian Chua, walaupun tidak menyambutnya, akan terkena semua tempias resah itu…BK



 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]