Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

Pemuda Pejuang Reformasi                    http://pemuda-keadilan-selangor.net
Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Pertemuan Syahdu Pengubat Rindu
 



Ahad 3 Februari 2002 adalah hari keluarga bertemu Tahanan Politik ISA di Kamunting. Hari ini juga adalah hari lawatan keluarga Dr.Badrulamin yang pertama setelah tiga hari dihantar balik ke Kamunting. Beliau diberikan nombor tahanan baru iaitu 2534/2002. Di Bilik Rekod tadi kami semua dapat bersua muka dan bertegur sapa. Tian Chua bertemu ayahnya yang datang dari Melaka, Lokman bertemu isteri dan anaknya, Dr. Badrulamin dikunjungi isteri, anak-anak dan abang iparnya, Ezam pula bertemu ibunya Puan Aishah, isterinya, anak-anak dan adik iparnya dan saya membawa ayah saya yang sudah beberapa bulan tidak dapat bersama bertemu Saari dan lima orang anak-anak kami. Cuma Hisham sahaja tiada tetamu buat hari ini tetapi dia menerima dua buah buku dihadiahkan oleh rakan sekolahnya di MCKK iaitu Dr. Mohd. Hatta Shaharom dan sebuah buku lagi dari anak saya, Anfal dan buah-buahan dari ayah Tian Chua. Mudah-mudahan buku-buku itu menceriakan beliau buat seketika.

Seorang anak saya yang akan mengambil SPM tahun ini tidak dapat ikut kerana ada satu program yang terpaksa dia ikuti di sekolah. Tahun ini tiga anak saya akan mengambil peperiksaan besar. Betapa beratnya kini saya terpaksa menjadi ibu dan bapa sekaligus. Apakan daya saya sebagai seorang wanita yang lemah terpaksa menanggung perpisahan dengan suami yang amat dikasihi. Bagaimana saya dapat membantu anak-anak remaja saya yang amat memerlukan bimbingan ayah mereka? Ya! Undang-undang ISA bukan sahaja menzalimi para tahanan tetapi yang begitu parah sekali ialah anak-anak yang tidak berdosa. Hasrat Malaysia yang mahu membina keluarga yang bahagia hanyalah palsu semata-mata kerana dalam masa yang sama kerajaan Barisan Nasional mendukung undang-undang ISA yang zalim.

Pertemuan hari ini adalah pengubat rindu. Ya, rindu isteri kepada suami tercinta, rindu anak-anak kepada bapa tersayang, rindu ibu kepada anak, rindu bapa kepada anak dan yang begitu syahdu ialah rindu kepada teman seperjuangan. Dr.Badrulamin sempat meluahkan rasa bahawa rindu beliau terhadap teman-teman seperjuangan yang terpaksa beliau tinggalkan di Kamunting pada 3 November yang lalu kini terubat. Beliau kini ditempatkan di dormitori bersama Tian Chua dan Hisham.

Walaupun begitu, saya dapat bayangkan betapa remuknya hati Zumrah, isteri beliau dan anak-anaknya. Di kelopak mata mereka tergenang air jernih yang tidak berdaya dititiskan lagi. Oh! Betapa kejam dan zalimnya ISA. Kuasa di tangan Menteri Dalam Negeri yang boleh digunakan sesuka hati. Memisahkan kasih sayang, cinta dan kebahagiaan rakyat yang lemah tanpa ada langsung peri kemanusiaan. Manusia yang tiada hati dan perasaan ini adalah sama seperti haiwan. Manusia yang tiada perasaan ini tidak layak dipanggil manusia.

Penahanan mereka dengan alasan "mengancam keselamatan negara" adalah tidak berasas sama sekali. Oleh kerana tiada bukti maka undang-undang ISA digunakan. Kenyataan bersama mereka hari ini bahawa penahanan mereka adalah berniat jahat dan bermotifkan politik dan menuntut dibebaskan segera. Mogok lapar yang akan dimulakan pada 4 Februari 2002 adalah perjuangan menuntut keadilan. Kami sebagai keluarga akan berdiri teguh bersama mereka. Kami memohon sokongan padu dari rakyat agar tidak terus ditipu oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Di akhir pertemuan begitu syahdu sekali. Anak-anak mengalirkan air mata mengenangkan ayah terpaksa makan biskut sahaja demi menuntut kebebasan. Kami berpelukan erat seolah-olah meniupkan semangat antara satu sama lain agar terus berjuang menuntut keadilan.

Begitulah setiap penghujung perpisahan kerana walaupun pertemuan hanya 45 minit dan masih di dalam bilik yang berjaring, kami akan terus ke Kamunting saban minggu bertemu mereka yang dikasihi. Hanya Tuhan sahaja pemberi kekuatan kepada kami. Kami akan terus berjuang dan berdoa agar keadilan ditegakkan.

Kembalikanlah suami ke sisi isteri dan anak-anak ke pangkuan ayah.

ISA Zalim!
Ayuh Bersama Berjuang Mansuhkan ISA!


Aliza Jaffar
(Isteri Saari Sungib)
4 Februari 2002


(WebReformis)

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]