Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

Pemuda Pejuang Reformasi                    http://pemuda-keadilan-selangor.net
Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Berkorban Apa Saja Demi Satu Perjuangan
 

Oleh Aliza Jaffar


"Pergi ke Kamunting lagi?" tanya seorang pekerja di surau R&R Tapah Arah Utara. "Ya, kalaulah tiap-tiap hari saya dibenarkan melawat suami saya, saya akan pergi berjumpa beliau." Dalam hati kecil saya, malah saya sanggup dipenjarakan atau apa saja agar dapat bersama suami saya. Benarlah bak kata pepatah, cinta itu buta! Tak mungkin dapat saya ungkapkan perasaan perpisahan yang dipaksakan oleh kezaliman ISA ini. 2 Disember ini genaplah 6 bulan suami saya dan tahanan politik ISA disumbatkan di Kem Tahanan Kamunting. Kami terus berdo'a semoga mereka dapat bersama kami Ramadhan ini.

Oleh kerana selalu singgah di situ, saya berkenalan dengan seorang pekerja di situ bernama Kamisah yang amat bersimpati dengan kami. Sambil saya memandikan Wasilah dan Kamisah mengemas surau R&R Tapah itu sempat kami berbual-bual. Beliau amat berbesar hati apabila saya mengambil alamatnya untuk saya kirimkan kad hari raya nanti. Beliau mengaku bahawa beliau tidak ketinggalan mengikuti perbicaraan Dato'Seri Anwar Ibrahim dahulu. Jelaslah beliau amat sedih akan fitnah yang dibuat terhadap Dato' Seri Anwar.

Walaupun Ramadhan, saya dan anak-anak tetap menziarahi suami saya di Kem Tahanan Kamunting. Hari ini adalah lawatan ke 26 dan kali kedua dalam bulan Ramadhan. Kami tidak dapat datang pada hari Ahad kerana pada hujung minggu lepas anak-anak remaja saya menghadiri Kem Ramadhan anjuran Kelab Remaja JIM di Masjid UIA Gombak.Turut menyertai program tersebut adalah anak-anak remaja Ustaz Badrulamin. Anak-anak kami kini bukan sahaja bersahabat tetapi bagaikan adik beradik. Hanya mereka dapat menjiwai perasaan apabila ayah mereka dipenjarakan tanpa perbicaraan yang adil.Walaupun ayah mereka tiada di sisi, mereka tetap bersemangat untuk menghadiri apa-apa program yang berfaedah untuk meningkatkan kefahaman dan amalan peningkatan diri. Sudah menjadi kebiasaan mereka setiap cuti sekolah mengambil peluang mengikuti program-program motivasi.

Saari memberitahu bahawa sejak beberapa hari yang lalu mereka dibenarkan membeli murtabak untuk berbuka puasa. Keluarga pula dibenarkan membawa sekotak buah korma pada setiap lawatan. Walau bagaimanapun sejak dua hari yang lepas Lokman dan Ezam juga turut tidak makan makanan kem sebagai bantahan kepada tuntutan mereka yang masih tidak dilayan oleh Menteri Dalam Negeri. Tian Chua juga turut tidak makan dan minum sepanjang hari sejak Ramadhan ini kerana meraikan rakan-rakan yang berpuasa. Beliau makan sahur bersama Isham pada pukul 5 pagi dan makan malam semasa yang lain berbuka. Tetapi sejak beberapa hari yang lalu pihak kem tetap menghantar makanan tengahari untuk Tian.

Walaupun dalam penjara, semangat mereka tidak pudar. Baru-baru ini Lokman yang sedang menjalani kursus Diploma Pengajian Islam di IPI telah mengambil peperiksaan dari dalam Kem Tahanan. Saari telah dibenarkan mengajar beliau untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Alhamdulillah keputusan cemerlang telah diperolehi oleh Lokaman Beliau mendapat A- dalam kertas Asas-asas Politik dalam Islam dan mendapat A+ dalam kertas Tasawur Islam. Hari ini hari kesepuluh Ramadhan, Lokman sudah membaca al-Qur'an sebanyak 10 juzuk. Alhamdulillah, inilah antara sebaik-baik amalan dan zikir di bulan Ramadhan. Semoga Allah lipat gandakan ganjarannya.

Ramadhan juga memberi kami keluarga tahanan politik ISA kekuatan untuk terus berjuang menuntut pembebasan suami dan keluarga kami tersayang. Tiga hari sebelum bermulanya Ramadhan kami sempat melancarkan Pameran X-Files ISA. Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada yang hadir terutama pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Nasional yang meluangkan masa melihat pameran kami. Antara kata-kata semangat yang dicoretkan di buku Pelawat Pameran X-Files ISA ini adalah:
"Lawan Tetap Lawan. Lawan Sampai Menang Lawan hingga Mahathir jatuh tersungkur"
"Jangan lumpuhkan nadi generasi kita, Bebaskan Tahanan ISA"
"Rakyat akan terus menuntut keadilan, tidak gentar untuk menghadapi pemerintah yang zalim."
"Bangkit! Bangkit! Keadilan untuk dunia sejagat"
"Undur Mahathir Negara OK"
"Sebuah perjalanan takkan lengkap tanpa berbekalkan secubit perjuangan"
"Bersatulah Tahanan ISA, bangkit dan lawan musuh negara nombor 1 sampai ke lubang cacing."
"Merangsang semangat perjuangan. Sangat baik untuk dihayati oleh pejuang dan bakal pejuang serta anak dan isteri"
Pusat Sokongan Keluarga ISA masih mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mempamerkan bahan-bahan ini di tempat mereka agar matlamat menyedarkan rakyat akan kezaliman terus kita semarakkan..

Sebagai meneruskan kempen Mansuhkan ISA ini, kami menyediakan kad hari raya kalendar khas dan sampul angpau yang bertemakan ke enam-enam orang tahanan politik ISA ini. Kad dan sampul angpau ini diharap dapat mengingatkan rakyat bahawa di sebalik mereka bergembira menyambut hari lebaran, tahanan politik ISA masih diragut kebebasan mereka oleh pemerintah yang zalim. Keluarga mereka terus dipisahkan dengan kejam dari mereka yang dikasihi. Sebarkanlah seluas mungkin kad-kad ini sebagai sokongan rakyat kepada perjuangan menegakkan keadilan dan pembebasan dari penindasan kerajaan Barisan Nasional.

Kami tekad untuk terus menuntut hak kami dan sehingga keadilan tertegak. Tidak ada sesiapa pun di bumi Malaysia ini boleh mengatasi undang-undang. Kami dan anak-anak kami akan terus memperjuangkan pembebasan tahanan ISA dan pihak yang menahan dan menyiksa mereka dihukum setimpalnya. Semoga Allah berkati usaha kami.

Aliza Jaffar
27 November 2001



 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]