PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Ramadan Dibalut Kamunting- Aliza Jaafar

Seorang rakan menelefon dan bertanya, "Apa persiapan untuk Ramadan kali ini?" Jawab saya, "Ada beberapa kotak korma." Hati saya rasa sebak mengenangkan nasib kami keluarga tahanan ISA yang akan melalui Ramadhan kali ini dengan ketiadaan suami dan bapa tersayang.

Ramadhan adalah bulan yang amat diberkati Allah untuk umatnya memenuhi setiap detik yang berlalu di bulan ini memperbanyakkan amal. Lebih-lebihkan bersedekah dan memohon keredhaan Allah selalu. Inilah antara pesanan suami saya dalam surat terkininya bertarikh 11 November kepada kami minggu ini. Beliau menyingkap Ramadhan tahun lalu kerana Ramadhan yang lalu juga penuh cabaran buat kami sekeluarga. Selama dua puluh hari kami sekeluarga diserang sakit mata dan pada tiga hari terakhir saya dan beliau mengharungi Ramadhan di perantauan; di Tokyo, di Chicago dan di Pittsburgh , Amerika Syarikat kerana memenuhi jemputan Muktamar Senawi Malaysia Islamic Study Group (MISG) dan Indonesia Muslim Students Association (IMSA) iaitu persatuan pelajar di sana yang biasanya mengadakan program besar-besaran semasa cuti Krismas. Kami terpaksa meninggalkan semua anak-anak kami sesama mereka demi memenuhi undangan pelajar-pelajar yang telah tertangguh sejak tiga tahun yang lalu semasa suami saya masih menjadi Presiden JIM. Tahun ini pula bakal beliau tempuhi Ramadhan sebagai seorang tahanan politik di Kamunting terpisah dari keluarga.

Kami sekeluarga menziarahi beliau pada 11 November semasa mesyuarat agung Parti Keadilan Nasional sedang berjalan. Kami sempat membawa berita terkini keputusan pemilihan pada hari tersebut. Rupa-rupanya mereka sedang ternanti-nanti berita keputusan pemilihan di mesyuarat tersebut. Apapun, yang paling gembira dengan berita yang kami bawa adalah Ezam dan Tian yang membuatkan mereka ceria sepanjang hari tersebut. Semoga semua ini berlaku demi kebenaran dan keadilan.

Keadaan tahanan politik ini sudah bertukar sedikit di mana Lokman telah dipindahkan ke dormitory suami saya dan Ezam. Sejak dari itu suami saya membimbing Lokman membaca Al-Qur'an setiap pagi dan malam selama 30-45 minit. Semoga Allah berkati hasrat, doa dan usaha Lokman menguasai ilmu untuk membolehkan beliau membaca Al-Qur'an dengan baik. Selain itu mereka masih meneruskan boikot mereka. Suami saya kini semakin susut dan berat badannya telah mencecah 69 kg berbanding 78 kg sebelum ditahan ISA. Ezam pula yang mempunyai asid urik yang tinggi telah memohon ikan goreng tetapi tidak dilayan. Isteri beliau cuba memohon untuk membawa serunding ikan tetapi agak sukar untuk diluluskan.

Kami keluarga tahanan ISA walau bagaimanapun akan terus memperjuangkan hak asasi manusia menuntut keadilan dan menyedarkan rakyat akan kezaliman ISA. Pameran X Files ISA hanyalah segelintir daripada apa yang tersirat di sebalik ISA. Pameran yang berjalan selama tiga hari ini anjuran bersama Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA dan Parti Keadilan Nasional Bahagian Gombak di Desa Melawati berjalan lancar sempena hari Deepavali pada 14, 15 dan 16 Oktober 2001. Semasa pelancarannya Ustaz Dr. Badrul Amin juga turut meraikan program ini dengan bacaan doa yang sungguh memberangsangkan kami.

Pameran hasil kerja berbentuk lukisan, coretan, sajak, surat dan kad ucapan Saari, Ezam, Tian, Hishamuddin, Ustaz Dr. Badrul Amin dan Lokman serta Dato' Seri Anwar Ibrahim sempat kami kumpulkan untuk meningkatkan kesedaran rakyat akan keadaan yang dilalui oleh tahanan dan keluarga mereka. Luahan hati yang dicernakan di atas kertas ini hanyalah satu cara mereka berkomunikasi antara mereka yang dipenjarakan. Dari paparan-paparan ini, diharap dapat memberikan gambaran bahawa dawai pemisah dan tembok berduri tidak sedikitpun melunturkan perasaan kasih, sayang, rindu dan cinta antara suami terhadap isteri, antara isteri terhadap suami dan antara anak-anak dan ayah mereka dan antara ayah terhadap anak-anak. Malah dengan perpisahan inilah maka kasih sayang semakin terjalin, cinta dan hormat menghormati semakin bertaut dan inilah yang menjadi pemangkin untuk terus bersemangat dan gigih memperjuangkan keadilan dan menghapuskan kezaliman pemerintahan negara ini.

Ustaz Dr. Badrul Amin walaupun dalam keadaan kebebasannya begitu terhad merasa rindu dengan rakan-rakan yang telah beliau harungi bersama dalam kehidupan di Kamunting. Secara senyap-senyap beliau telah dipindahkan dari Kamunting ke tahanan di rumah tempoh hari kerana begitulah tradisinya ISA membebaskan tahanan kerana sejak ia wujud, tahanan ISA adalah hanya tahanan untuk kominis. Kini, walaupun tahanan ISA bukan lagi untuk kominis, dan telah diperluaskan untuk apa sahaja yang dipercayai kononnya boleh mengancam keselamatan negara dan tanpa sedikit buktipun ia terus digunakan. Dengan ini maka pihak polis boleh mengambil jalan mudah dengan menggunakan ISA walaupun mereka tidak punyai bukti apa-apa. Ini jelas berlaku terhadap tahanan politik Reformasi yang ditangkap pada bulan April yang lalu.

Buku kami, sepuluh tahanan Reformasi dan keluarga, "All in the Games" dan "Bidak di Papan Catur" diharap dapat menyampaikan hasrat ini bahawa tahanan ISA adalah tahanan yang dianiayai dan dizalimi. Marilah sama-sama kita menuntut keadilan agar kita dan generasi akan datang mendapat hak yang sewajarnya di bumi Malaysia tercinta ini.

Saya mengambil kesempatan ini menyampaikan ucapan Ramadhan Al-Mubarak daripada Saari, Ezam, Hishamuddin, Lokman dan Ustaz Dr. Badrul Amin kepada semua pencinta keadilan dan pejuang Reformasi. Teruskan doa agar mereka dibebaskan dari cengkaman kezaliman diktator Mahathir.

Aliza Jaffar
16 November 2001



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]