PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Lutfi Jadi Sasaran Fitnah Khir Toyo Pula

Oleh : Wartawan DetikDaily

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang kini tertekan kerana dakwaan terhadapnya, menggunakan perhimpunan di Dewan Jubli Perak, yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Umno Selangor bagi menyerang balas Ahmad Lutfi Othman.

Lutfi merupakan pengadu yang melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah, 23 Oktober lalu, yang mensyakki Khir terbabit dengan beberapa amalan salah guna kuasa dan rasuah, antaranya menganugerahkan projek RM92.5 juta jalan di Sekinchan kepada sebuah syarikat bermasalah, meluluskan permohonan 400 ekar tanah di Shah Alam kepada empat syarikat yang mana pengarahnya sama, juga meluluskan tanah kepada empat syarikat yang mana pengarahnya berumur awal 20 tahun.

Dalam perhimpunan yang diadakan semasa sidang DUN berhenti rehat, 30 Oktober lalu, Khir mendakwa Ahmad Lutfi adalah penulis upahan yang dibiayai oleh PAS dan kini terdesak untuk melakukan fitnah kepadanya ekoran masalah kewangan yang dihadapinya, terutama berkaitan rumah dan kenderaannya.

Khir dalam ucapan penuh emosi itu menyifatkan tuduhan yang dibuat kepadanya adalah dating dari orang yang tidak mahu melihat orang Melayu dibela dan kehidupan mereka ditingkatkan.

"Apa salahnya kita menaikkan taraf jalan di kampung-kampung sedangkan dengan itu penduduk kampung dalam menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik berbanding sekarang, yang terpaksa melalui jalan berlumpur," tegasnya merujuk dakwaan rasuah membabitkan pembinaan jalan raya sejauh 20 km berharga RM92.5 juta, oleh sebuah syarikat yang bermasalah dan telah disenaraihitamkan kerana gagal menyiapkan tiga projek baru-baru ini.

"Syarikat yang kita anugerahkan projek itu juga sebuah kontraktor Melayu," tegasnya.

Diminta mengulas kenyataan Khir itu, Ahmad Lutfi berkata: "Saya tidak pernah menentang sebarang usaha membangunkan infrastruktur terutamanya di kawasan luar Bandar. Dan saya ingatkan Khir jangan cuba bermain dengan sentimen perkauman. Inilah daleh pemimpin Umno, bila mereka tersepit, mereka akan memperalatkan sentiman perkauman Melayu.

"Apa yang saya saksikan ialah projek pembangunan digunakan sebagai helah untuk merompak wang rakyat secara sah. Apa tidaknya? Kalau projek jalan itu hanya memakan kos sekitar RM30-40 juta saja, mengapa pula mesti ditingkatkan kepada hampir RM100 juta?" tegas Lutfi.

Beliau berkata, menurut taksiran JKR, kos projek itu tidak sampai pun separuh daripada harga yang ditawarkan kepada syarikat bermasalah itu.

"Saya tuduh Khir terbabit secara langsung dalam menganugerahkan projek mewah ini kepada Meram Holding, dan seterusnya beliau sendiri memilih untuk mencari sub-kontraktor, Cabaran Wangsa Sdn Bhd, yang mana salah seorang pengarahnya merupakan bekas tuan rumah yang pernah disewa oleh Khir dulu," tambah Lutfi.

Bekas Ketua Pengarang Detik, sebuah majalah politik semasa yang diharamkan, itu menambah: "Banyak pihak tahu, selain mendapat wang panas dari kelulusan tanah, Menteri Besar boleh mengaut keuntungan dengan menaikkan kos sesuatu projek, berlipat kali ganda berbanding harga sebenar."

"Kalau Khir mendakwa," tambah Lutfi, "projek itu diberikan untuk menolong kontraktor Melayu, bagi saya, banyak lagi syarikat Melayu yang perlu ditolong, terutamanya syarikat yang benar-benar membuktikan kemampuannya untuk menyiapkan kerja, bukan seperti Meram Holding yang bermasalah itu. Bukankah kini banyak kontraktor yang tidak mendapat kontrak menjelang kemelesetan, jadi mengapa harus dipilih secara rundingan terus syarikat yang sememangnya mempunyai nama buruk?"

"Saya mendakwa Khir mempunyai banyak kepentingan ketika meluluskan kontrak itu, dan ini boleh disabitkan dengan kesalahan rasuah," tambah Lutfi

Mengulas cakap-cakap bahawa beliau diancam oleh beberapa pihak tertentu selepas mendedahkan amalan rasuah Khir, Lutfi berkata: "Saya anggap sebahagian panggilan telefon dan email yang mencaci-maki saya itu hanyalah gurauan ataupun tempat untug golongan tertentu melepas perasaan yang buntu itu."

"Cuma," tegasnya lagi, "saya mengingatkan penyokong Khir supaya tidak terlalu mengikut perasaan mempertahankan MB Selangor itu.

"Banyak lagi maklumat dan dokumen berkaitan yang akan saya dedahkan nanti. Apa pun saya tidak berhasrat mendedahkannya dalam masa terdekat. Yang penting, peluru jangn ditembak habis," kata Lutfi.

"Dan, jangan paksa saya untuk membuat satu lagi pendedahan dalam waktu terdekat ini, ketanya.

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]