PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Menjejaki Kes Rasuah MB Selangor

Oleh : WARTAWAN MEMO14

Tidak mudah menjejak seorang Menteri Besar yang dituduh rasuah, sedangkan rekodnya dikatakan baik, walaupun tidak bersih. Itulah yang kami lalui sepanjang menjalankan siasatan apabila memperolehi dokumen penting tentang beberapa keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor mengenai kelulusan tanah dan isu projek jalanraya membelah kawasan sawah di Sungai Panjang, Tanjong Karang.

Kami terpaksa meredah tapak projek di Sekinchan, walaupun itulah pertama kali sebahagian kami mengenali daerah permah itu. Pelbagai cerita dari penduduk setempat yang kami dengar, daripada khabar angin tentang bekas tuan rumah Khir Toyo, bagaimana wang panas beredar dan mengapa nilai projek jalan begitu tinggi, hingga mencecah RM4.5 satu kilometer.

Kami mengambil masa agak lama menyiasat prestasi Meram Holding yang diberi kontrak, juga menganalisis siapa di sebalik sub-kontraktor yang menjalankan kerja, iaitu Cabaran Wangsa. Turut ditemui beberapa sub-kontraktor yang berpengalaman berurusan dengan Meram, juga syarikat yang membuat kerja-kerja awal di tapak.

Lebih menarik apabila kami meninjau keadaan rumah pemohon tanah yang berjaya. Itu pun, kami hanya dibekalkan maklumat daripada tiga mesyuarat Exco, yang dicabut secara rawak. Bayangkan, Khir sudah mempengerusikan lebih 50 mesyuarat Exco dan entah berapa banyak tanah yang diluluskan.

"Ai, banyak lagi tanah di Selangor ni," kata Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Dr Hassan Ali, yang juga Naib Presiden PAS. "Betul-betul macam lanun mereka merompak harta rakyat," tambahnya.

Tambah mengejutkan ialah keadaan dua rumah 'jutawan segera' yang mendapat tanah begitu luas di Kuala Langat dan Shah Alam. Rumah pertama, yang mana 'jutawan' itu berumur 20 tahun, seorang anak gadis, menyewa di rumah pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di Cheras.

Rumah kedua, tersergam indah di lereng bukit, juga alamat 'jutawan' berumur 20 tahun. Tapi kami diberitahu itu rumah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang. Anak muda yang tertera dalam profil syarikat yang berjaya itu, katanya anak seorang Pegawai Daerah.

Ya, macam-macam cerita menarik yang kami dapat dan temui dalam penyiasatan mini ini. Semuanya mendatangkan syak yang kuat bahawa amalan rasuah dan salahguna kuasa begitu meluas sekali. Apakah Khir mahu lepas tangan dengan mengatakan segala-galanya diputuskan bersama oleh anggota Exco yang lain?

Exco-exco lain rasanya boleh memberi keterangan kepada BPR bagaimana caranya Khir mempengerusikan mesyuarat Exco dan meluluskan tanah serta projek. Ini satu lagi cerita menarik.

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]