PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Tinjauan Pendapat Anak Selangor Tentang Dakwaan Rasuah Terhadap Dr Khir Toyo

Oleh : Wartawan DetikDaily

"MENTERI Besar Selangor, mesti menjawab semua tuduhan rasuah kepadanya," kata Safrudin Ishak, 31, berasal dari Tanjung Karang, kini bekerja di Kuala Lumpur.

Beliau mengulas beberapa dakwaan yang ditujukan kepada Dr Mohd Khir Toyo, khususnya tentang kelulusan tanah secara berleluasa kepada kroni dan projek membina jalan di Sekinchan.

Tambahnya, pemerintahan di bawah Khir nampaknya lebih rakus dan tamak. "Jangan fikir dirinya muda boleh melakukan sesuka hati. Dari zaman Mat Taib, Abu Hassan kini Khir, sudah lumrah kerusi MB Selangor tidah habis-habis dengan pelbagai skandal."

"Rakyat tak percaya lagi dengan Khir Toyo," kata Anwar, 46, dari Sg Penchala. "Mereka muak dengan cerita skandal demi skandal, sama ada membabitkan seks mahupun politik wang," tegasnya.

"Setiap MB mempunyai sejarah hitam yang memalukan. Dan Khir akan mengulanginya lagi," kata Anwar. "Apa yang dicakapnya, misalnya tentang masyarakat madani adalah omong kosong saja."

Bagi Haji Abdul Rahman, 65, seorang pesara, dari Taman Ibu Kota, KL, memberitahu, sebelum ini Khir mengaku datang dari keluarga miskin dan hendak membantu golongan bawahan. "Tapi terbukti, beliau lebih suka membantu kroni dan korporat dengan menyerah projek dan tanah, yang mendatangkan keuntungan lumayan."

"Sekarang dia sudah kelihatan hidup mewah dengan begitu cepat selepas baru setahun jadi MB. Orang kampungnya pun terperanjat melihat rumah dan gaya hidup saudara maranya. Masakan semua dari wang gajinya," kata Rahman tidak puas hati.

Nasihat beliau, Khir baru setahun jagung memerintah Selangor, jadi, beliau jangan rasa besar diri. Sebelum ini, beliau bukannya ahli politik ternama, hanya doktor gigi sahaja.

Beliau mengumpamakan Khir seperti kalkatu yang ghairah bila nampak cahaya terang, tetapi kemudiannya jatuh menyembah bumi kerana asyik dengan keseronokan.

Anak kelahiran Gombak, Abdul Razak, 35, melahirkan rasa kecewa kerana Khir telah menghampakan harapan dan amanah rakyat Selangor. "Jangan asyik mengaut kekayaan, tetapi kebajikan golongan bawahan dilupakan. Lihat saja projek perumahan di Selangor, ia di luar kemampuan rakyat untuk memilikinya. Harga terlalu mahal."

Razak turut kesal dengan sikap pembantu-pembantu Khir yang angkuh dan sombong, serta sentiasa mencari peluang untuk menimbunkan lagi kekayaan. "Tunggulah nasib mereka semua dalam pilihan raya 2004 nanti," tegasnya.

"Sebenarnya Khir adalah senior saya di Fakulti Pergigian Universiti Malaya," jelas Osman Wali Mohd. Ketika mengenalinya dulu, kata Osman, Khir bukan seorang yang mempunyai ego tinggi, tetapi selepas menjadi MB, egonya terserlah.

"Mula-mula beliau ulamak dengan tidak membenarkan Tok Guru Nik Aziz berceramah di Selangor. Kini, beliau mengumpul kekayaaan sebanyak mungkin," tegasnya. "Mengapa mesti memberi tanah kepada individu yang sama, sedangkan ramai lagi yang kelaparan tanah, hatta untuk membina rumah sendiri? Berapa banyak kampung-kampung setinggan di Selangor yang memerlukan pembelaan, misalnya Kampung Medan," ujar Osman lagi.

Beliau berharap pembangkang dalam sidang DUN Selangor, yang diketuai Dr Hassan Ali kali ini akan lebih bertegas lagi membongkar dakwaan rasuah Khir. "Apa pun sekatan dari Speaker dan wakil rakyat BN lainnya, Dr Hassan mesti mencari peluang untuk mendedahkan isu yang membabitkan kepentingan rakyat ini."

Rohaya Ismail, seorang surirumah, dari Cheras, berkata segala penyelewengan MB dan kroninya mesti disiasat segera oleh BPR. "Jangan kerana ia membabitkan orang besar maka BPR tutup mata pula."

"Untuk mengharapkan pimpinan tertinggi Umno mengambil tindakan, usah mimpilah. Mereka pasti akan menutup kes ini kerana masing-masing ada kes rasuah tersendiri," tambahnya.

Turut berkongsi pendapat ialah Nafisah Ibrahim, seorang warga Selangor, yang, katanya, sudah bosan melihat karenah MB Selangor dari dulu hingga sekarang.

"Kepimpinan BN Selangor sudah tidak boleh diharap sama sekali," ujarnya tegas. Beliau juga hairan mengapa Khir tidak membuat sebarang laporan polis memandangkan dakwaan rasuah terhadapnya sudah disebar sejak dua bulan lalu.

Abdul Wahab, dari Gombak berkata MB Selangor mesti membersihkan dirinya dari tuduhan rasuah itu. "Yang malu, bukan hanya diri dan keluarganya, tetapi juga seluruh rakyat Selangor. Dan gunakanlah sidangkan DUN ini untuk menjelaskan segala tohmahan itu."

Bagaimanapun, kata Wahab, sistem yang dipakai kerajaan BN sekarang sememangnya tidak telus dan menyuburkan amalan rasuah.

"Inilah akibat memberikan kuasa mutlak kepada MB, terutama mengenai penganugerahan projek dan menentukan kosnya, serta mengagihkan tanah. Sistem pentadbiran kolot ini perlu direformasikan," tegasnya.

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]