PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Bagaimana Osama Selamatkan Khir Toyo?

Oleh : Wartawan DetikDaily

KUALA LUMPUR: Jika tidak disebabkan isu serangan Amerika ke atas Afghanistan, mungkin kontroversi dakwaan rasuah terhadap Dr Khir Toyo menjadi perbahasan utama rakyat. Tetapi, dari satu segi, Khir beruntung kerana tumpuan publik tidak kepada isu-isu dalam negeri kerana fokus lebih tertumpu kepada isu global.

Dalam kata lain, Osama telah menyelamatkan Khir, sekurang-kurangnya dalam masa singkat ini. Akhbar-akhbar harian pula menyiarkan saban hari berita dan gambar-gambar menarik tentang Taliban, bantahan umat Islam sedunia dan konflik di Asia Tengah itu hampir menutup persoalan dalam negeri.

Ramai tidak percaya bagaimana seorang Menteri Besar yang dilantik di zaman reformasi hebat memuncak, ketika mana keyakinan rakyat terutamanya golongan muda kepada Umno terjejas teruk, Khir tidak mengambil peringatan daripada teladan bekas MB terdahulu.

Anak-anak muda mahukan Khir mencipta sejarah baru, yang menolak habis-habisan amalan rasuah, kronisme, pilih kasih, penyalahgunaan kuasa, sebaliknya tegas memikul amanah rakyat. Khir diharap menjadi MB era baru, yang tidak mudah tergoda dengan panggilan kemewahan daripada segala projek pembangunan dan pemberian tanah.

Apatah lagi, mengenangkan lidah MB termuda ini fasih menuturkan ayat-ayat suci al-Quran. "Kadang-kadang ucapan Khir mengalahkan ulamak dan para mufti, walaupun di audien di depannya ramai yang bukan Islam," kata seorang aktivis Umno Selangor.

Justeru, apabila internet mula menyiarkan dakwaan rasuah terhadap Khir, dalam keadaan semua perhatian tertumpu ke New York dan Kabul, tidak ramai yang ambil peduli tentangnya. Meskipun, banyak dari tuduhan itu dikemukakan bukti sokongan, orang ramai lebih ghairah bercakap soal serangan berani mati dan kezaliman Amerika.

Soalnya, selepas laporan terhadap polis dan BPR dibuat, apakah kini perhatian rakyat masih belum dapat dialihkan daripada membincangkan isu salahguna kuasa ini secara lebih khusus?

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]