PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Khir Diingatkan, Jangan Peralatkan Pihak Polis Untuk Pertahankan Kedudukannya Sebagai MB

Oleh : WARTAWAN DETIKDAILY

KUALA LUMPUR: Ahmad Lutfi Othman, pengadu kepada BPR ekoran dakwaan rasuah Menteri Besar Selangor, sekali lagi mencabar Dr Khir Toyo supaya jangan menggunakan pasukan keselamatan untuk mempertahankan kedudukannya yang makin goyah.

"Saya mempunyai bukti kukuh bahawa beliau adalah dalang sebenar di atas penangkapan saya dan operasi rampasan lebih 50,000 naskhah akhbar Memo14. Khir sepatutnya menggunakan sidang DUN untuk menjawab semua pertuduhan ke atasnya bukannya mengelak diri daripada berdepan dengan rakyat," kata Lutfi.

"Dan saya dimaklumkan," tambahnya lagi, "bahawa pihak polis kian kerap melakukan rondaan di sekitar kilang percetakan, yang saya percaya bertujuan menakutkan pencetak dari terus mencetak akhbar-akhbar terbitan saya."

Ditanya kerugian yang ditanggung pihaknya, Lutfi berkata: "Kami rugi besar, melebihi RM100,000. Ini belum dikira kos penyiasatan yang saya lakukan selama lebih dua bulan."

"Apa pun," kata Lutfi, "saya akan terus membongkar salahguna kuasa beliau meskipun berdepan pelbagai risiko."

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]