PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
'Jika Fenomena Buruk Menteri Besar Selangor Berterusan, Negeri Ini Akan Menjadi Bankrap' - Dr Hassan Ali

Oleh : Wartawan DetikDaily

SHAH ALAM: Meskipun usul tergempar mengenai aduan rasuah Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, gagal disebut dan dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, semalam dan hari ini, tetapi Ketua Pembangkang, Dato' Dr Hassan Ali, yang juga Naib Presiden PAS berjaya memanfaatkan ucapan membahas Belanjawan Negeri Selangor 2002 dengan jayanya.

Dr Hassan, yang juga ADUN Sungai Burung, mengemukakan beberapa persoalan pokok mengenai dakwaan rasuah Khir, dengan bahasa dan pendekatan yang cukup lancar, meskipun cuba diganggu oleh beberapa anggota ADUN Umno.

Antara lain beliau membangkitkan bagaimana Menteri Besar boleh meluluskan projek RM92.5 juta, membina jalan raya sepanjang 20 km di Sekinchan, kepada Meram Holding, sebuah syarikat bermasalah, yang tidak dapat menyelesaikan projek berharga lebihkurang RM7 juta setiap satu, bagi projek klinik kesihatan di Gemas dan Port Dickson Negeri Sembilan.

Dr Hassan juga menimbulkan pertanyaan, apakah jasa besar pengarah-pengarah empat syarikat tertentu yang berjaya mendapat 50 ekar tanah di Shah Alam, di mana seorang darinya, Samsuri Rahmat, merupakan pengarah bagi keempat-empat syarikat itu.

Isu bagaimana mesyuarat Exco yang dipengerusikan Khir meluluskan 50 ekar tanah kepada empat pemohon yang hanya berusia awal 20-an turut ditimbulkannya. Begitu juga dengan kes-kes yang mana pemohon berjaya mendapat tanah lebih daripada sekali.

Dalam perbahasan itu, Dr Hassan kerap diganggu khususnya apabila menyebut tuduhan terperinci kes rasuah Khir. Bagaimanapun, dengan nada tegas, Dr Hassan berjaya menarik perhatian Dewan dengan isu yang dibangkitkannya itu.

Beliau bimbang, jika hal yang sama berterusan, kemungkinan negeri Selangor yang dikatakan akan menjadi negeri maju pertama di negeri ini akan diwariskan kepada generasi akan datang sebagai negeri yang bankrap.

Di awal ucapannya, beliau mencadangkan agar gelaran "Dr" Menteri Besar ditukar kepada gelaran "Ir", yang bermaksud Insan Rabbani, selari dengan konsep 6M yang ingin diterapkan Khir dalam pentadbirannya.

"Tentulah gelaran Insan Rabbani, Ir, lebih besar dan mulia berbanding gelaran "Dr" gigi saja," tambahnya lagi.

Beliau mengesa agar Badan Pencegah Rasuah yang menerima laporan tentang aduan kes penyelewengan dan salahguna Khir daripada Ahmad Lutfi Othman agar bertindak secara professional dengan menyiasat sehingga ke akar umbi.

"Tidak kira sama ia membabitkan ikan kecil, ikan sepat, ikan jerung; BPR mesti menyiasat secara adil," tegas Dr Hassan lagi.

Ditanya pandangan tentang ucapan Dr Hassan itu, seorang pemerhati yang mengikuti persidangan mengucapkan syabas kepadanya. "Terbukti Dr Hassan berjaya menimbulkan isu ini secara berkesan dan diharap dengan itu, Dr Khir Toyo dapat menjawab semua keraguan rakyat terhadapnya. Kita mahu kes ini dapat diselesaikan dengan baik dan cepat."

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]