PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Lutfi Beri Masa Seminggu Untuk Khir Toyo Mengambil Tindakan Undang-Undang

- Tindakan pihak polis menahan dan merampas semua naskah akhbar Memo yang diterbitkannya petang Ahad lalu, tidak mematahkan semangat Ahmad Lutfi Othman untuk terus membongkar penyelewengan dan salah guna kuasa Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Kalau Khir mengharapkan penangkapan itu dan rampasan yang membawa kerugian lebih RM100,000 itu boleh menyebabkan saya mengalah, saya rasa Khir silap pertimbangan.

"Sebaliknya ia menyebabkan rakyat semakin tertanya-tanya mengapa Menteri Besar Selangor itu takut sangat untuk menjawab segala persoalan yang saya bangkitkan dengan Badan Pencegah Rasuah, 23 Oktober lalu itu," kata Lutfi ketika ditemui selepas mengadakan sidang akhbar bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari pembangkang, tengah hari ini di luar Dewan Undangan Negeri Selangor.

Ketika Lutfi dan semua ADUN pembangkang membuat persidangan akhbar, Dr Khir Toyo sedang membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2002.

Sepasukan anggota polis dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam membuat serbuan dan merampas semua naskhah akhbar Memo, yang antara lain membuat liputan khusus tentang dakwaan rasuah Khir.

Turut serta dalam operasi itu ialah pemangku Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Cawangan Khas, dan ASP Chin Khiam Kong, Ketua CID Shah Alam.

Lutfi kemudiannya ditangkap kerana disyakki melakukan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang mensyaratkan semua bahan penerbitan bersiri perlu mendapat permit peneritan (PP) daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Sebelum ditangkap, saya memaklumkan kepada ASP Chin bahawa akhbar yang saya terbitkan tidak memerlukan permit kerana ia hanya diterbitkan sekali saja," kata Lutfi.

"Dan seorang kakitangan saya sekarang sedang menghadapi kes mahkamah atas dakwaan menjual akhbar tanpa permit. Tapi nampaknya hingga kini, selepas setahun kes itu berjalan, tiada tanda-tanda menampakkan KDN akan menang kes tersebut," tambahnya.

Bagaimanapun pegawai kanan tidak menghiraukannya, sebaliknya mengarahkan anggotanya merampas semua naskhah Memo.

"Banyak perkara pelik dalam kes rampasan ini," tambah Lutfi.

Pertama, operasi dilakukan pada hari minggu, dan membabitkan pegawai tinggi polis.

Kedua, rampasan dibuat di kilang percetakan dan tiada sebarang naskhah Memo yang sempat beredar.

Selalunya rampasan hanya dibuat kepada naskhah akhbar yang disyakki melakukan kesalahan selepas ia dipamerkan untuk dijual.

Ketiga, tambah Lutfi, polis merampas semua naskah yang telah disiap dicetak sedangkan selalunya mereka yang merampas beberapa ratus untuk dijadikan bahan kes.

"Justeru, saya menuduh Dr Khir Toyo terbabit secara langsung dalam mengarahkan operasi rampasan dan penangkapan ke atas saya kerana beliau cukup bimbang sekiranya akhbar saya itu diedarkan bermula hari, Isnin, 29 Oktober di mana sidang DUN bermula," tambah Lutfi.

Sebelum itu, dalam sidang akhbar bersama ADUN Pembangkang, Lutfi menawarkan dua pilihan kepada Dr Khir Toyo:

Pertama, beliau sepatutnya menggunakan kesempatan terbaik di persidangan DUN untuk menjawab segala isu berbangkit dengan dakwaan rasuah kepadanya.

Kedua, Lutfi memberi masa seminggu untuk Khir mengambil tindakan undang-undang kepadanya jika laporan Lutfi kepada BPR mengandungi fitnah dan boleh menjatuhkan reputasinya.

"Jika beliau gagal berbuat demikian, maka orang ramai akan lebih syak lagi bahawa beliau terbabit dengan amalan salahguna kuasa itu. Ini mencetuskan krisis keyakinan rakyat Selangor terhadapnya," tegas Lutfi.

Bila ditanya kes penangkapannya semalam, Lutfi berkata, beliau sangsi bagaimana pertuduhan kepadanya boleh diubah-ubah dalam masa singkat.

"Jam 5 petang, ketika saya ditangkap, saya dituduh menerbitkan akhbar tanpa permit, tetapi apabila disoal-siasat oleh Cif Inspektor Ang Hock Ling di Balai Polis Seksyen 11 pada jam 10 malam, saya dimaklumkan kesalahan saya kerana menerbitkan akhbar yang tidak mempunyai nama dan alamat penerbit/ pencetak," kata Lutfi.

"Ini bermakna tindakan pihak polis dilakukan secara tergopoh-gapah dan menguatkan lagi syak saya bahawa ada dalang-dalang politik di sebaliknya.

"Saya nasihatkan Khir, berdepanlah isu ini sebagai anak jantan, bukannya menggunakan pasukan keselamatan untuk menakut-nakutkan saya. Beliau bukan saja patut menjawab dengan BPR tetapi juga dengan rakyat," tambahnya lagi.

(Harakah Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]