PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Polis Tahan Ahmad Lutfi Dan Naskah Akhbar Memo11nya Dirampas

- Pengarang, Ahmad Lutfi Othman ditahan oleh polis dan dibawa ke IPD Seksyen 11 Shah Alam kira-kira jam 4.30 petang tadi selepas kira-kira 50,000 naskah akhbar Memo11nya dirampas.

Lutfi yang menghubungi Harakah dalam perjalanan ke Shah Alam berkata, sekumpulan polis telah datang ke tempat percetakannya di Shah Alam dan bertindak merampas semua terbitan tersebut.

Selepas itu, beliau dibawa ke rumahnya di Ampang sebelum di bawa ke IPD Seksyen 11, Shah Alah.

Memo11 adalah akhbar yang diterbitkan khas oleh Lutfi untuk mendedahkan amalan yang dikatakan rasuah oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo.

Beliau bertindak menerbitkan akhbar berkenaan selepas membuat aduan kepada Ibu Pejabat BPR, Putrajaya baru-baru ini tentang amalan yang dikatakannya rasuah tersebut.

Menurut Lutfi, beliau ke kilang tempat mencetak akhbar berkenaan apabila berlaku sedikit masalah teknikal tentang penerbitan tersebut.

Selepas kejadian itulah, sekumpulan polis telah datang ke kilang itu dan merampas semua naskah yang telah siap dicetak.

"Mereka kata, ia salah. Saya kata belum ditentukan lagi kerana masih dalam perbicaraan. Lagipun ia bukan penerbitan berkala sebagaimana yang dilarang melalui Akta Mesin Cetak.

"Selepas itu, polis itu berkata, Encik boleh beri keterangan di balai (polis)," kata Lutfi.

Lutfi juga memberitahu, serentak dengan penggeledahan di kilang cetak itu, polis juga ramai kelihatan di perkarangan pejabatnya di Medan Idaman, Gombak.

Semalam, dua wartawan dan seorang jurugambar ditahan oleh polis bersama dengan 45 orang lagi yang berhimpun di Kemunting bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

(Harakah Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]