PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Azmin Ali: ‘Kita gegarkan DUN Selangor’

Temuramah wakil Memo14, dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Kelang, AZMIN ALI, tentang dakwaan salahguna kuasa dan amalan rasuah Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo. Memo14 adalah akhbar tidak berkala, suntingan Ahmad Lutfi Othman, yang khusus diterbitkan untuk mendedahkan penyelewengan Khir.

MEMO: Mulanya, isu penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah yang didakwa dilakukan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo hanya heboh diperkatakan di laman-laman web. Justeru, ramai meraguinya. Tetapi kini sudah ada laporan rasmi dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) tentang hal itu. Sebagai seorang ADUN di Selangor, apa respons sdr.

AZMIN: Ya, saya tidak menafikan hal ini telah banyak diperkatakan menerusi internet kini akhbar. Lebih-lebih lagi selepas ada individu yang berani memberikan bukti tentang perkara-perkara yang dibangkitkan itu. Saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Kelang memang terkejut dengan kepimpinan Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo. Ini kerana dalam tempoh yang begtu singkat beliau telah didakwa telah terlibat dalam pemberian tanah-tanah milik rakyat kepada kroni-kroni dan individu tertentu dengan keluasan yang begitu luas.
Dalam masa yang sama, saya juga mengucapkan tahniah kepada pihak yang telah berani tampil ke depan untuk memastikan perkara ini tidak berulang dan untuk membawa mereka yang disyakki ke muka pengadilan.
Tanpa merujuk secara terperinci, saya bersama teman-teman wakil rakyat Barisan Alternatif sedang memantau secara dekat perkara ini. Insya-Allah, kita akan gemparkan isu salahguna kuasa MB ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri hujung bulan ini. Dan kita akan memikirkan langkah terbaik untuk mendedahkannya, sepertimana yang pernah dilakukan ketika zaman Menteri Besar terdahulu, Abu Hassan Omar.

Menurut aduan kepada BPR itu, antara yang ditekankan ialah kuasa mutlak seorang Menteri Besar, khususnya dalam meluluskan permohonan tanah dan projek di bawah kerajaan negeri. Maknanya, dengan sistem yang ada, kemungkinan seorang MB yang baik pun boleh terjebak dengan senang sekali dalam kancah rasuah. Jadi, perlu ada satu reformasi menyeluruh, yang menyemak kuasa-kuasa seorang MB dan bagaimana pemberian tanah dan projek diluluskan.

AZMIN: Saya tidak menafikan bahawa sistem ini, yang mudah berlakunya amalan korupsi, sudah menjadi amalan pimpinan Umno dan Barisan Nasional khususnya di peringkat negeri. Memandangkan bidang kuasa tanah ini adalah hak mutlak kerajaan negeri, justeru itu, saya ingin mencadangkan agar syarat kelulusannya lebih ketat lagi.
Dan keanggotaan jawatankuasa mengenai kelulusan tanah ini mesti diperluaskan. Misalnya, Badan Pencegah Rasuah, harus dilantik menjadi ahlinya untuk membuat pemantauan secara lebih professional agar tanah-tanah di negeri Selangor tidak mudah diberikan sewenang-wenangnya kepada orang-orang tertentu yang dekat dengan pemerintah.
Kedua, saya menyarankan semua tanah-tanah yang diberi kelulusan ini, khususnya yang mencetuskan kontroversi, harus dibekukan serta-merta dan diteliti semula siapa penerima-penerimanya, semenjak setahun di bawah pemerintahan Khir Toyo.
Kita menuntut penjelasan dari kerajaan negeri supaya menyiasat mengapa individu-individu berkenaan menerima tanah dalam keluasan yang begitu besar dan berulang kali. Apa kriteria yang ada pada mereka ini, sehingga diberi layanan yang cukup istimewa itu? Ataupun ia didaftarkan menerusi kenalan atau kroni, yang dibelakangnya ada dalang tertentu.
Menteri Besar harus menjawab semua persoalan ini dengan segera. Dan sementara siasatan oleh BPR berjalan, semua kelulusan permohonan tanah mesti dibekukan.

Selangor mencatatkan sejarah hitam apabila secara berturut-turut Menteri Besarnya terbabit dalam pelbagai salahguna kuasa dan salahlaku. Di samping sistem kuasa yang memudahkan amalan rasuah ini berlaku, mungkin ada faktor lain yang menyebabkan berbagai-bagai skandal dilakukan pemimpin BN.
AZMIN: Memang kita akui masalah ini dan ia benar-benar isu yang real. Inilah yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri yang dikuasai mutlak oleh BN. Wakil rakyat BN tentunya langsung tidak mempunyai kekuatan untuk menegur kepimpinan mereka. Fenomena ini juga berlaku di peringkat pusat.
Maka apabila amalan rasuah berleluasa di kalangan pemimpin-pemimpin Umno yang menerajui kerajaan, tidak ramai yang berani menegur. Justeru, salah satu cara menjaga dan mengangkat martabat bangsa kita, di samping memastikan segala amalan buruk dalam pemerintahan dapat dihapuskan ialah dengan menghantar lebih ramai wakil rakyat di kalangan BA untuk masuk ke dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
Sememangnya wakil-wakil rakyat BA, yang tiada kepentingan peribadi selain menyuarakan hak dan kepentingan rakyat, akan benar-benar menunaikan amanah rakyat. Malahan kami sentiasa bersiap sedia untuk memerangi sebarang bentuk amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Dan kehadiran kami dalam kedua-dua dewan tersebut bertujuan membongkar gejala buruk yang akan merugikan rakyat dan negara ini.
Dan akhirnya yang untung adalah rakyat dan negeri juga, bukannya wakil rakyat BA. Tanggungjawab kami adalah untuk menegur kerajaan BN. Saya kira sentiasa memberi perhatian besar tentang perlunya pembangkang yang berkesan, apatah lagi untuk menukar kerajaan BN yang korup ini. Sekurang-kurangnya dengan lebih ramai wakil BA, pemerintah akan lebih berhati-hati lagi untuk melakukan penindasan, kezaliman dan mengaut segala khazanah kekayaan negara untuk kelompok mereka sahaja.

Seluruh rakyat mengharapkan aduan kepada BPR itu akan disiasat secara professional dan telus, tanpa mengira ia membabitkan orang kenamaan yang dipilih oleh Perdana Menteri sendiri. Selain aduan yang dibuat Lutfi, sebelum itu juga ada laporan polis dibuat di Sabak Bernam, juga mengenai projek jalanraya di Sekinchan yang disyakki mengandungi unsure rasuah. Berdasarkan pengalaman sdr, apakah segala aduan ini akan disiasat secara menyeluruh dan adil.
AZMIN: Saya tidak akan mengulas sesuatu perkara yang masih berjalan dan belum selesai.Cuma, saya berharap, pihak yang bertanggungjawab perlu melakukan siasatan secara bebas dan tidak tunduk dengan tekanan-tekanan politik.
Jangan hampakan harapan rakyat yang memberi mandat kepada mereka untuk memerintah negeri Selangor. Jika terbukti ada penyelewengan, ambil tindakan segera tanpa memilih bulu.
Satu perkara yang amat mendukacitakan ialah sikap sebahagian pegawai BPR dan polis, yang seperti tidak menunjukkan kesediaan untuk melakukan siasatan secara menyeluruh. Berdasarkan pengalaman lalu, setelah begitu banyak laporan polis dibuat, sehingga sekarang, kita belum melihat sebarang keputusan yang memuaskan.
Malah kita bagaikan disepak seperti bola. Misalnya dalam kes Menteri Penerangan yang juga Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob, apabila Ketua Umno Kuantan, Dato’ Fauzi Rahman membuat laporan polis mengenai salahguna kuasa bekas Menteri Besar Pahang itu.
Kesnya ditendang ke BPR, dan kemudian kepada polis, selepas itu tendang kembali ke BPR. Hal ini tidak harus berlaku. Saya berharap dalam kes ini, pihak yang bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan dengan terperinci dan telus, tanpa menyebelahi mana-mana pihak berkepentingan.
Inilah cabaran terbesar kepada negara ini, bagi membuktikan kepada dua institusi terpenting dalam institusi keadilan, supaya bebas dan dapat dipertanggungjawabkan. Dan inilah kesempatan terbaik untuk BPR dan polis membersih dan memulihkan imej kedua-dua institusi berkenaan setelah terpalit teruk akibat tekanan-tekanan politik sebelum ini.

Adakah sdr yakin BPR dan pihak polis akan bersikap telus dalam sebarang laporan dan aduan yang dibuat kepada mereka?
AZMIN: Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Yang penting, saya menuntut pihak yang bertugas melaksanakan dengan cemerlang dan bertanggungjawab.
Lagi sekali, saya menyeru dan mengingatkan, inilah peluang terbaik BPR dan polis memulihkan imej sebagai institusi yang bebas dan bersungguh-sungguh memerangi rasuah. Kita tidak mahu tanggapan-tanggapan negatif ini terus menghambat kedua-dua institusi penting itu. Di sinilah kesempatan terbaik untuk mereka.

Kalau sdr boleh mencadangkan kepada Dr Khir Toyo, apa yang sepatutnya dilakukanya sekarang selepas laporan dibuat kepada BPR?
AZMIN: Saya mencabar Menteri Besar Selangor supaya membuat kenyataan terbuka dan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan, bagi membersihkan namanya jika benar-benar beliau tidak terlibat. Bagaimanapun, jika beliau mengambil sikap berdiam diri dan cuba menggelak dari isu ini, maka kita tiada pilihan lain melainkan akan meneruskan melalui saluran-saluran tertentu.
Dan saya memberi jaminan, bersama-sama teman dari BA, kami akan terus menggunakan persidangan Dewan Undangan Negeri untuk terus membongkar sebarang penyelewengan membabitkan kerajaan negeri dan rakyat Selangor.



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]