PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor

 
Khir Cari Helah Menjelang Persidangan DUN Selangor 29 Okt

- Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo memanggil mesyuarat tergempar khususnya membabitkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, malam Rabu lalu, bagi membincangkan strategi menangkis serangan pembangkang ekoran satu laporan yang dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada hari Selasa, 23 Oktober.

Bekas Ketua Pengarang majalah yang diharamkan, Detik, Ahmad Lutfi Othman membuat aduan rasmi kepada BPR, yang antara lain mendakwa Khir telah menyalahgunakan kuasa dalam meluluskan projek jalan raya di Sekinchan dan permohonan tanah di Shah Alam dan Kuala Langat.

Menurut sumber, dalam mesyuarat yang diadakan hingga tengah malam itu, Khir menggesa setiap ADUN BN mengambil tindakan pro-aktif dalam menghadapi isu ini.

Beliau tidak mahu apa yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor sebelumnya, Abu Hassan Omar berulang kembali.

Abu Hassan terpaksa meletakkan jawatan hanya setelah beberapa hari, isu salahlakunya ditimbulkan dalam sebuah akhbar terbitan Ahmad Lutfi, Kritik, dan persidangan DUN Selangor menjadi panas selepas beberapa ADUN pembangkang membangkitkannya.

Dalam mesyuarat itu, Khir dikatakan menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan Lutfi dalam aduannya kepada BPR.

Antaranya mengenai bagaimana beliau melangsaikan semua pinjaman perumahannya, bernilai RM150,000 dengan sebuah bank di Kajang, hanya selepas beberapa bulan beliau menjadi Menteri Besar.

Lutfi mendakwa, antara 15 hingga 17 Mac 2001, Khir ada membayar RM100,000 kepada bank, diikuti RM50,000 lagi pada akhir bulan itu.

Menurut sumber, Khir berkata rumah semi-D itu sebenarnya telahpun dijual kepada iparnya, tetapi kata Menteri Besar itu, hingga kini beliau terlupa untuk menukar nama pemilik rumah berkenaan.

Khir turut memberikan respons terhadap laporan bahawa beliau meluluskan permohonan tanah kepada syarikat-syarikat yang mana pengarahnya baru berusia 20 tahun.

"Mana saya tahu mereka berumur 20 tahun," sumber itu memetik reaksi Khir dalam mesyuarat itu.

Selain itu, mesyuarat juga dikatakan membincangkan secara panjang lebar helah supaya sebarang usul untuk membincangkan perkembangan mutakhir mengenai tuduhan rasuah kepada Khir tidak dapat dibincangkan dalam persidangan DUN Selangor yang akan bermula selama tiga hari, bermula 29 Oktober ini.

Difahamkan wakil rakyat pembangkang, yang diketuai ADUN Sungai Burung, yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hassan Ali akan memberikan tumpuan kepada isu dakwaan rasuah ini dalam persidangan itu.

Banyak pihak menggesa agar satu usul tergempar undi tidak percaya kepada Khir sebagai Menteri Besar dibuat.

Ini kerana, menurut mereka, apa yang menimpa Khir bukan lagi terhad kepada peribadinya sahaja, tetapi juga membabitkan maruah kerajaan dan rakyat negeri Selangor.

"ADUN pembangkang harus bijaksana membaca rentak yang akan dibuat oleh wakil-wakil Umno nanti.

Menerusi Speaker Dewan, akan dipastikan bahawa sebarang perbincangan mengenai dakwaan rasuah Khir itu tidak dapat dilangsungkan," kata seorang aktivis politik yang sentiasa hadir dalam setiap kali persidangan DUN Selangor.

"Malah, ramai pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri di bangunan SUK tertunggu-tunggu isu rasuah ini dibahaskan di dalam Dewan," tambahnya lagi.

(Harakah Daily)



[ Webmaster ]