|
Oleh : Harakah Daily
KUALA LUMPUR, - Aktivis media, Ahmad Lutfi Othman, menyifatkan penjelasan Menteri Besar
Selangor, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo tentang dakwaan rasuah terhadapnya, dalam
Mingguan Malaysia, 18 November lalu, sebagai percubaan untuk mengalih perhatian umum
daripada isu yang sebenarnya.
Khir, dalam akhbar mingguan itu, diberi satu setengah muka surat untuk menjawab apa yang
disifatkan sebagai "fitnah-fitnah" terhadapnya.
Menurut Lutfi, semua pertuduhan asas yang dikemukakan dalam aduannya kepada Badan Pencegah
Rasuah 23 Oktober dan 8 November lalu langsung tidak disentuh oleh Khir.
Sebaliknya, beberapa isu yang hanya ditimbulkan dalam internet, seperti Khir mengumpul
kekayaan RM100 juta tunai, kononnya melalui komisyen penjualan tanah, sengaja
dibesar-besarkan.
Ahmad Lutfi dalam aduan rasminya kepada Ibu Pejabat BPR di Putrajaya, pada 8 November dan
esoknya ketika dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat BPR Selangor, di Shah Alam,
membutirkan beberapa isu asas yang mana Khir disyakki terbabit dalam amalan salah guna
kuasa dan korupsi.
Antaranya, meluluskan tender membina jalan raya di Sekinchan sepanjang 20.5 kilometer,
bernilai RM92.5 juta kepada sebuah kontraktor bermasalah, Meram Holding Sdn Bhd.
Dua persoalan ditimbulkan dari projek ini, iaitu memberikan kontrak kepada syarikat yang
hampir disenarai-hitamkan dan kedua, nilai projek yang terlalu tinggi berbanding taksiran
JKR.
Khir juga didakwa menyalahgunakan kuasanya ketika mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan
Negeri Selangor, sekurang-kurangnya untuk tiga kali mesyuarat, apabila meluluskan
permohonan tanah kepada syarikat-syarikat yang diragui kewibawaannya.
Dalam satu kes, tanah seluas 400 ekar di Shah Alam, diberikan kepada empat syarikat
berbeza tetapi mempunyai seorang pengarah yang sama.
Selain itu, empat pemohon muda, berumur 20 tahun, diberikan tanah seluas 50 ekar setiap
syarikat, sedangkan mereka hanya baru menjadi pengarah syarikat, tidak sampai 40 hari
sebelum tanah diluluskan kepada mereka.
"Saya pelik apabila Khir membangkitkan keputusan kerajaan negeri meluluskan
permohonan tanah rakyat yang katanya telah hampir 30 tahun memohon tanah. Isu ini langsung
tidak pernah saya timbulkan, malah saya menyokong penuh tindakan memberi tanah kepada
mereka yang layak," kata Lutfi.
Sebaliknya, beliau mempersoalkan bagaimana anak muda yang langsung tidak tahu menahu
tentang proses memohon tanah boleh diberikan tanah yang begitu luas dalam waktu yang cukup
singkat.
"Bukan soal muda atau tua yang dihitungkan, tetapi di belakang tabir sebenarnya ada
pihak lain yang cukup rapat dengan Menteri Besar mendalangi semua permohonan itu. Khir
langsung tidak menjawab persoalan penting itu.
"Beliau juga tidak menjawab bagaimana seorang anak Pegawai Daerah yang baru berumur
20 tahun dianugerahkan tanah di kawasan DO itu sendiri. Khir juga tidak menjawab bagaimana
seorang pemohon boleh mendapat berulang kali tanah seluas 100 ekar dalam masa singkat
sedangkan umum mengetahui tanah di Selangor ini semakin kecil keluasannya dan bernilai
cukup tinggi," tambah Lutfi.
Beliau turut mengulas kenyataan Khir yang mendakwa beliau meluluskan tanah kepada
individu, khususnya yang membangunkan tanah tersebut sejak 35 tahun lalu dan bukannya
kepada syarikat-syarikat yang minta tanah berkenaan.
"Ini lagi satu isu yang disongsangkan," kata Lutfi. "Saya pertikai
bagaimana MB boleh luluskan tanah seluas 400 ekar kepada empat syarikat berbeza tetapi
mempunyai pengarah yang sama. Dalam kata lain, tanah di Bukit Cherakah itu diluluskan
kepada sebuah syarikat, yang semua maklum syarikat berkenaan telahpun menguasai berbelas
ribu ekar tanah di kawasan berkenaan."
"Saya cukup alu-alukan jika kerajaan negeri menganugerahkan tanah kepada mereka yang
sedang mengusahakan tanah itu sejak puluhan tahun, jika semua syarat dipenuhi. Kita tidak
pernah bangkitkan hal ini. Jadi saya harap Khir jangan cuba putar-belitkan fakta,"
tambahnya.
Lutfi juga kesal dengan sikap akhbar yang cuba memalingkan perhatian umum kepada isu lain
yang tidak ada kena mengena dengan dakwaan rasuah Khir Toyo. "Akhbar berkenaan,
selain menggambarkan Khir sebagai mewakili imej pemimpin Umno yang bersih, warak dan
telus, sedaya upaya berusaha memburuk-burukkan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri
Selangor, Dr Hassan Ali, yang menimbulkan isu rasuah ini di persidangan Dewan 30 Oktober
lalu."
Beliau mengharapkan masyarakat tidak terkeliru dengan isu sebenar dan menuntut Khir
menjawab persoalan yang dipertikaikan, bukannya sengaja berdolak-dalik dengan isu yang
langsung tidak ada kaitan.
Sebuah akhbar harian berbahasa Melayu, dua hari berturut-turut, dalam laporan muka depan,
menimbulkan isu kem motivasi yang dimiliki Dr Hassan Ali, yang dikatakan beroperasi tanpa
permit di Hutan Simpan Sungai Lui, Hulu Langat.
Khir Toyo dalam wawancaranya Ahad lalu mendakwa Dr Hassan meneroka hutam simpan kerajaan
secara haram untuk membina kem motivasi.
(Harakah Daily)
|
|
|
|