Curve-C-4.jpg (764 bytes) ### Curve-C-1.jpg (767 bytes)
##

Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

 P-E-M-U-D-A      k-e-A-D-I-L-a-n    S-E-L-A-N-G-O-R

##

 

Curve-C-3.jpg (767 bytes)

Curve-C-2.jpg (814 bytes)
 

2004 Selangor Kita Tawan

Lutfi Lawan Khir Toyo, BPR Yang Tewas
Curve-C-1.jpg (767 bytes)


Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)



Oleh : Aman Rais


10:30am, Fri: Kerusi Menteri Besar Selangor panas lagi. Kali ini penyandangnya, orang muda, Datuk Seri Mohd Khir Toyo disergah oleh aktivis media, Ahmad Lutfi Othman dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan.

Akan kecundangkah Khir Toyo yang didakwa terlibat dalam penyelewengan pemberian kontrak membina jalan kampung dan pemberian tanah kepada pihak-pihak tertentu, atau adakah beliau terus selamat sebagaimana bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaakob?

Khalil telah didakwa oleh Adun Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman melakukan penyelewengan kuasa dalam pemberian tanah balak kepada pihak tertentu di Pahang sewaktu menerajui negeri itu.

Bagaimanapun sehingga kini dakwaan dan laporan Fauzi itu disenyapkan begitu sahaja. Kini ia seolah-olah sudah dilupakan. Kita tidak tahu sejauh mana siasatan polis dan Badan Pencegah Rasuah dalam kes tersebut.

Pastinya kini Khalil terus selesa dan kekal sebagai Setiausaha Agung Umno dan Menteri Penerangan. Lapoaran Fauzi seolah-olah telah dibakulsampahkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Kini sekali kredibiliti BPR dicabar. Kali ini bukan oleh orang Umno tetapi oleh seorang wartawan kerdil yang berjiwa besar. Sedangkan laporan seorang pemimpin Umno merangkap Adun tidak diendahkan oleh BPR, apakah harapan Lutfi?

Tidak mungkinkah laporan beliau menerima nasib yang sama seperti laporan Fauzi? Telah ada tanda-tanda laporan aktivis media terhadap Khir Toyo itu akan disepikan begitu sahaja. Kini tersebar berita mengatakan Lutfi sebenarnya tidak membuat laporan rasmi tetapi sekadar menyampaikan maklumat sahaja.

Bimbang kemungkinan laporannya dibakulsampahkan begitu sahaja atas alasan teknikal, Lutfi mengambil keputusan membuat laporan baru semalam. Adakah ada jaminan laporan rasmi ini akan dilayan dan disiasat atau akan hanya diketepikan kerana ia melibatkan pemimpin kerajaan dan Umno?

Kedudukan genting

Amat pelik jika BPR tidak bertindak terhadap “maklumat yang disampaikan” kepadanya kerana sebelum ini, bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Zaki Husin pernah menegaskan, BPR bukan sahaja boleh bertindak berdasar apa sahaja maklumat yang diberikan kepadanya walaupun ia sekadar satu surat layang!

Tunggu dan lihat. Kemungkinan besar Khir Toyo akan mengalami nasib baik sebagaimana Khalil kerana kerajaan tidak mampu melihat seorang lagi pemimpinnya tumbang atas kes rasuah kerana ini akan menjejaskan nama baik kerajaan dan Umno.

Tambahan pula Khir Toyo menerajui negeri Selangor, negeri yang dianggap panas dan kritikal dari segi politik. Selangor menjadi sasaran utama pembangkang dalam kempen pilihanraya umum akan datang. Jika seorang lagi MB Selangor tumbang oleh kes rasuah atau moral, kedudukan Barisan Nasional khususnya Umno di negeri ini akan menjadi makin genting.

Pilihanraya umum 1999 menunjukkan majoriti orang Melayu di negeri ini menolak Umno. Selepas itu kes kontroversi Tan Sri Abu Hassan Omar makin mengikis pengaruh Umno di kalangan orang Melayu dan kini kes Khir Toyo, jika didapati benar, pastinya akan meruncingkan kedudukan Umno di negeri ini.

Oleh itu ramai pemerhati politik berpendapat Khir Toyo perlu diselamatkan. Kes ini tidak boleh diperbesar-besarkan (mungkin itu sebabnya media arus perdana keberatan mengulas kes ini) kerana ia perlu ditutup sebaik mungkin daripada pengetahuan umum.

Dewan Undangan Negeri Selangor telah menolak mentah-mentah usul tergempar untuk membincangkan isu ini. Alasan remeh diberikan - tidak menepati tempoh pembawaan usul yang ditetapkan sedangkan ia adalah usul yang berkaitan dengan kepentingan umum. Mengikut peraturan persidangan, kes berkaitan kepentingan umum boleh dibahaskan secara tergempar.

Berseorangan menyalak bukit

Lutfi berseorangan dalam “menyalak bukit” ini. Parti-parti pembangkang cuma sekadar bising di Dewan Undangan Negeri Selangor sedangkan sepatutnya isu dieksploitasi sepenuhnya manakala BPR pula sebagaimana biasanya akan melakukan kerja-kerja “standard” yang tidak lebih daripada melepaskan batuk di tangga.

Perjuangan Lutfi memerangi gejala rasuah di negeri Selangor ini akan menjadi “perjuangan yang belum selesai” selagi BPR tunduk kepada kepentingan politik dan peribadi pihak tertentu.

Seorang Osama bin Laden mampu menggugat Amerika dan dunia tetapi 100 orang Lutfi tidak mungkin menggugat Khir Toyo dan Umno selagi rakyat sekadar suka terlopong mendengar cerita-cerita sensasi.

(Malaysiakini)



 

 

 

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]