Curve-C-4.jpg (764 bytes) ### Curve-C-1.jpg (767 bytes)
##

Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

 P-E-M-U-D-A      k-e-A-D-I-L-a-n    S-E-L-A-N-G-O-R

##

 

Curve-C-3.jpg (767 bytes)

Curve-C-2.jpg (814 bytes)
 

2004 Selangor Kita Tawan

MB Selangor Masih Mengelak: Lutfi

Curve-C-1.jpg (767 bytes)


Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)



Oleh : Azlina Ngainon



Apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dalam wawancara khas yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia, Ahad lalu tidak menjawab persoalan asas dakwaan rasuah terhadapnya, kata aktivis media Ahmad Lutfi Othman.

"Beliau masih belum menjawab pertuduhan mengenai pemberian projek kepada kontraktor bermasalah, kelulusan permohonan tanah kepada syarikat yang mempunyai pengarah yang sama dan bagaimana pemohon muda (awal 20an) berjaya dapat tanah," kata Lutfi kepada malaysiakini, hari ini.

Menurutnya, jawapan-jawapan yang diberikan oleh Mohamad Khir adalah lebih kepada "meletakkan kesalahan kepada orang lain dan menteri besar terdahulu".

Menurutnya, dalam menjawab persoalan mengenai pemberian pinjaman kerajaan negeri sejumlah RM6 juta kepada Yang di-Pertuan Agong, Mohamad Khir seolah-olah cuba untuk turut membabitkan negeri dan sultan-sultan lain.

"Bagaimana boleh dikatakan kelulusan (pemberian pinjaman) dibuat dalam mesyuarat exco apabila pinjaman itu diluluskan dalam tempoh 24 jam," katanya.

Semalam, akhbar itu menyiarkan wawancara khas bersama menteri besar itu. Wawancara itu antara lain berkisar mengenai dakwaan dan fitnah terhadap beliau.

Keputusan bersendirian

Antara fitnah yang disebut dalam wawancara itu ialah mengenai kelulusan permohonan lebih 5,000 ekar tanah dalam tempoh setahun beliau menjadi menteri besar dan membuat keputusan bersendirian tanpa bermesyuarat dengan exco.

Beliau juga didakwa mendapat wang beratus ribu ringgit bagi membiayai sumbangan duit raya, ayam, telur dan beg sekolah kepada orang kampung, memperalatkan Istana Selangor dan meluluskan kontrak untuk syarikat kawan-kawan dan saudara-mara.

Mengulas jawapan menteri besar mengenai pemberian ayam dan telur ayam kepada orang kampung, Lutfi berkata: "Syarikat Lintang Bestari Sdn Bhd yang dikatakan menyumbang kepada bantuan Hari Raya berjumlah RM154,000 kepada penduduk Sungai Panjang sebenarnya tidak wujud."

Menurutnya, berdasarkan siasatan beliau syarikat tersebut langsung tidak memelihara ayam malah di tapak projek syarikat itu hanya ada papan tanda dan pagar saja.

Pada awal Januari lalu, Mohamad Khir dalam laporan akhbar Malay Mail menafikan tuduhan bahawa sumbangan yang diberikan oleh beliau kepada penduduk kampung itu adalah sumbangan peribadinya sebaliknya adalah milik Syarikat Lintang Bestari Sdn Bhd.

Lutfi juga menambah, tuduhan bahawa beliau membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana ‘‘diupah" adalah tidak benar.

"Tuduhan saya diupah itu lebih kepada cubaan pihak tertentu untuk menutup perbincangan isu sebenar," jelasnya.

Dalam wawancara semalam, Mohamad Khir dipetik berkata, fitnah terhadap beliau dilakukan oleh pihak pembangkang terhadap Barisan Nasional dan Umno.

Kerja upahan

Menurut Mohamad Khir, oleh kerana tiada isu hendak digunakan, pembangkang menaikan isu-isu fitnah dan "sanggup mengupah orang tertentu melaksanakan kerja-kerja memfitnah" termasuk membuat laporan terhadapnya di BPR.

Lutfi sebelum ini telah membuat dua laporan terhadap menteri besar itu di BPR. Pertama pada 23 Oktober dan yang kedua pada 8 November.

Menurut laporan itu, Mohd Khir didakwa menyerahkan pengendalian projek pembinaan jalanraya sepanjang 20.5km bernilai RM92.5 juta di Sekinchan kepada sebuah "syarikat bermasalah" dan meluluskan permohonan tanah di Shah Alam kepada empat syarikat yang mempunyai pengarah yang sama.

Laporan itu mendakwa, setiap syarikat berkenaan mendapat 100 ekar dan seorang individu yang sama menjadi pengarah dalam kesemua empat syarikat itu, manakala tiga individu lagi menjadi pengarah kepada dua syarikat terbabit.

Lutfi dalam laporannya juga mempertikaikan pemberian tanah negeri kepada empat syarikat, masing-masing memperolehi kira-kira 50 ekar, di mana pengarah setiap syarikat berkenaan, berumur 20 hingga 23 tahun.

(MalaysiaKini)


 

 

 

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]