Curve-C-4.jpg (764 bytes) ### Curve-C-1.jpg (767 bytes)
##

Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

 P-E-M-U-D-A      k-e-A-D-I-L-a-n    S-E-L-A-N-G-O-R

##

 

Curve-C-3.jpg (767 bytes)

Curve-C-2.jpg (814 bytes)
 

2004 Selangor Kita Tawan

Apabila Wartawan, Penerbit Melawan MB

Curve-C-1.jpg (767 bytes)


Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)

Oleh : AHMAD LUTFI OTHMAN


Apabila dimaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo mengadakan mesyuarat tergempar di kalangan ADUN Umno dan aktivis pemudanya bagi membincangkan langkah pro-aktif untuk menyekat saya dari mendedahkan apa yang saya sifatkan “amalan salahguna kuasa dan rasuah yang ketara”, saya sudah menjangka satu tindakan drastik akan diambil.

Dan pada petang 28 Oktober, jawapan kepada persoalan yang bermain dalam fikiran saya terjawab apabila sekumpulan anggota polis menyerbu sebuah kilang percetakan di Shah Alam dan merampas semua naskhah Memo14 yang belumpun sempat dipasarkan. Lebih malang lagi, saya yang kebetulan ada di sekitar Klang ketika itu, bersama isteri dan anak-anak, yang kemudiannya berkejar ke Seksyen 19, turut ditangkap.

Lima hari sebelum itu, saya telah membuat aduan rasmi ke Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya, membutirkan hampir sepuluh kes yang saya syak Dr Khir Toyo terbabit dengan amalan salah guna kuasa. Tiada akhbar yang melaporkannya, kecuali China Press, selain akhbar-akhbar dalam talian seperti Malaysiakini, Harakahdaily dan Detikdaily. Hinggalah Khir memberi respons untuk bekerjasama dengan BPR, barulah semua akhbar-akhbar utama menyiarkannya.

Saya menekankan isu mengapa Khir memilih Meram Holding, sebuah kontraktor bermasalah yang tidak dapat menyiapkan lima projek (dua di Negeri Sembilan, dua di Selangor, dan satu di Mersing) untuk menjalankan projek membina jalan membelah bendang di Sekinchan yang begitu tinggi kosnya, iaitu RM4.5 juta satu kilometer.

Selain itu, bagaimana pemohon berusia 20 tahun dan ada yang tidak mengetahui mereka pernah memohon tanah boleh mendapat tanah seluas 50 ekar setiap syarikat. Turut dibangkitkan bagaimana MB boleh menyelesaikan pinjaman perumahannya sebanyak RM150,000 dalam masa 15 hari.

Tangkapan saya oleh Ketua CID Shah Alam itu tentunya menguatkan lagi prasangka buruk masyarakat awam kepada polis: “Orang yang membuat laporan dan aduan ditangkap, manakala orang diadu bebas lepas semahunya.”

Ketika disoalsiasat saya menekankan lagi perkara ini kepada pegawai polis bertugas: “Jika polis mahu bertindak ke atas saya, jangan gunakan daleh yang sukar diterima umum. Kalau kandungan akhbar Memo 14 itu dikatakan boleh menggugat kedudukan Khir, cari peruntukan undang-undang yang sesuai yang mensabitkan kandungan akhbar, bukannya dicari kesalahan kecil seperti tidak mencetak nama dan alamat pencetak.”

Pada awalnya seorang pegawai polis berpangkat ASP yang menangkap saya memberikan alasan bahawa saya melakukan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Seksyen 5, yang mewajibkan penerbitan bersiri mempunyai permit penerbitan sebelum dicetak. (Bayangkan, bagaimana terburu-burunya mereka mencari alasan untuk menghalang penerbitan saya, sehingga terpaksa membuat pindaan dalam masa tidak sampai tiga jam selepas saya ditangkap).

Saya berhujah, sepanjang 15 tahun terbabit secara aktif dalam dunia penerbitan, saya arif benar bahawa hanya bahan-bahan bercetak yang dikeluarkan secara bersiri, yakni lebih dari sekali, memerlukan permit. Sedangkan apa yang saya terbitkan hanyalah dikeluarkan sekali saja.

Dan saya maklumkan, syarikat saya telahpun dihadapkan ke mahkamah atas ‘kesalahan’ di bawah Seksyen 5 itu. Kes itu masih berjalan selepas hampir setahun naik turun mahkamah. “Selalunya peguambela tertuduh yang menarik diri, tetapi dalam kes saya, pendakwa bagi pihak kerajaan yang terpaksa ditukar kerana tidak mampu membawa kes ini,” kata saya kepada pegawai yang hanya dikenali sebagai ASP Chin.

Saya mengingatkannya, “janganlah pihak polis merasakan orang awam seperti kami tidak tahu undang-undang, malah dalam sesetengah kes, terutama menyentuh kerjaya kami, mungkin kami lebih arif daripada pihak polis.”

Ketika ditangkap saya bersama isteri dan empat anak, yang kebetulan baru menziarahi ibu mertua di Bandar Baru Klang. Saya kemudiannya dibawa ke Balai Polis Seksyen 11, yang juga Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Penangkapan saya dan operasi rampasan 43,000 naskhah Memo 14 menimbulkan beberapa persoalan, yang kemudiannya membuatkan saya merumuskan bahawa ia adalah berniat jahat, yakni tujuan operasi itu bukan semata-mata menurut peruntukan undang-undang yang ada, tetapi mempunyai motif yang tebal, untuk memastikan akhbar berkenaan, yang mendedahkan dakwaan salahguna kuasa Khir tidak dapat diedarkan kepada publik, esoknya, 29 Oktober.

Selalunya dalam operasi biasa, rampasan dibuat selepas akhbar dijual dan yang dirampas hanyalah akhbar yang dipamerkan kepada umum, bukannya semua akhbar yang ada. Kedua, operasi itu hanya membabitkan pegawai bawahan dan perlu mendapat waran geledah daripada majistret, tapi kali ini tiada waran dan pegawai atasan seperti pemangku OCPD dan ketua polis Cawangan Khas Shah Alam turut hadir.

Tapi hari itu, hari minggu, pasukan polis seperti diarahkan pihak berkepentingan, melakukan operasi segera, hinggakan tidak sempat menunggu akhbar Memo14 dibawa keluar dari kilang. Sebahagian anggota polis datang dalam keadaan tergesa-gesa, ada yang hanya memakai selipar!

Kebetulan esok adalah persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, yang agenda utamanya ialah perbahasan Belanjawan 2002. ADUN Bandar Klang, Teng Chang Khim, yang juga Ketua Pemuda DAP memberitahu saya melalui emel bahawa beliau akan mengemukakan usul tergempar berkaitan aduan saya kepada BPR.

Dan saya merasakan sememangnya persidangan DUN itu adalah wadah terbaik untuk dibincangkan isu berkenaan, dan Khir tentunya mempunyai peluang terbaik untuk menjawabnya. Malang sekali, Speaker Dewan memilih untuk bukan saja menolak usul tergempar itu, malah tidak membenarkan usul itu dibacakan.

Saya yang dibebaskan dengan ikat jamin pada jam 10.30 malam Isnin mengambil keputusan untuk mengadakan sidang akhbar di bangunan SUK, Shah Alam, berdekatan bangunan DUN Selangor. Saya mencabar Khir mengambil tindakan kepada saya dalam tempoh seminggu jika beliau mendakwa apa yang saya laporkan tentangnya adalah fitnah. Saya juga mohon agar beliau jangan memperalatkan pasukan polis dalam usahanya mempertahankan kedudukannya sebagai MB yang difahamkan semakin goyah.

Ini mengingatkan saya bagaimana akhbar Kritik yang terbitkan setahun lalu, juga diedarkan pada hari pertama persidangan DUN, dan tiga hari kemudiannya, Menteri Besar ketika itu, Abu Hassan Omar terpaksa meletakkan jawatan. Kritik mendedahkan perilaku tidak bermoral Abu Hassan.

Dan tragedi hitam Abu Hassan itu kini menganggu fikiran Khir. Beliau menegaskan kepada pimpinan Umno Selangor: “Jangan apa yang berlaku kepada Abu Hassan berulang kembali. Kita mesti proaktif, jangan hanya menunggu.” Dan tentunya Khir dapat mengesan apa langkah yang akan saya lakukan, dan saya sendiri pun tidaklah berhasrat untuk menyembunyikan hal itu.

Saya bukannya mahu menjatuhkan pemerintah melalui jalan kekerasan. Saya bukan ahli politik, saya hanya wartawan kerdil, yang bergelut dalam dunia kewartawanan bagaikan seorang gerila. Apa tidaknya, penerbitan yang saya usahakan tidak pernah dilanjutkan permitnya. Lihat saja Detik dan Wasilah. Dan akhbar tidak berkala, yang hingga kini sudah melebihi bilangan yang ke-30, diterbitkan secara ‘sembunyi’. Ramai pengedar takut menjualnya. Dan lebih ramai pengedar yang meninggalkan beban hutang yang hampir melemaskan.

Ramai teman-teman bertanya apa salahnya Khir sehingga mendorong saya, bukan saja menerbitkan akhbar khusus buatnya, tetapi juga bertindak nekad membuat aduan kepada BPR.

“Memang Khir tidak bersalah apa-apa kepada saya. Tapi Khir cukup mengecewakan saya. Sebagai MB yang dilantik di zaman reformasi, mewarisi takhta kuasa dari MB terdahulu yang dilanda skandal, tapi Khir seperti tidak mengambil apa-apa iktibar daripadanya,” kata saya kepada sebuah kawan lama, bekas wartawan politik, tapi masih aktif mengikuti pergolakan Umno.

“Ramai mengharapkan Khir membawa imej baru MB yang bersih, telus, menolak amalan rasuah dan salahguna kuasa, menerajui sebuah kerajaan negeri yang baik. Tapi malang sekali, Khir terlingkup dalam pujukan kemewahan,” tambah saya.

“Apakah MB lain bersih?” Tanya kawan saya itu secara selamba.

“Mungkin yang lain lebih teruk lagi. Tapi, saya hanya ada maklumat terperinci tentang Khir. Cukuplah dulu. Dan bila saya dedahkan kes Khir, banyak maklumat yang sampai tentang pemimpin Umno yang lain. Bagaimanapun, saya berhati-hati. Takut terperangkap pula nanti.

“Lihat saja kes jalan di Sekinchan. Begitu juga isu kelulusan tanah kepada kroni. Orang sekarang sudah muak dengan cerita rasuah MB Selangor, tapi mengapa Khir mahu ulangi episod hitam itu. Mengapa?” Agak emosional saya hari itu. Kawan lama saya itu hanya terangguk-angguk walaupun saya rasa dia tidaklah bersetuju sepenuhnya dengan saya. Saya tahu dia baik dengan beberapa pembantu kanan Khir.

“Saya bukan marah kerana 43,000 naskhah akhbar saya dirampas, yang kerugiannya hampir RM100,000. Sebagai peniaga, duit boleh pergi dan datang semula. Tapi saya memang marah apabila ada usaha untuk menghalang berita pendedahan isu ini dari disebarkan kepada publik,” tekan saya lagi.

Memang ruang untuk kita bersuara makin disempitkan. Justeru, apabila saya mendapat maklumat tentang salahguna kuasa, ramai terperanjat dan tertanya-tanya, siapa sumber saya. Saya diberitahu, orang Umno sibuk mengesan siapa orang kenamaan parti itu yang menyerahkan maklumat sulit kepada saya.

Bagi saya, apa sulitnya maklumat itu. Seharusnya semua urusan kerajaan berkaitan kepentingan orang ramai dilakukan secara telus. Mengapa mahu sembunyi-sembunyi? Soal permohonan tanah, mengapa nama-nama syarikat yang berjaya mahu dirahsiakan sedangkan ia langsung tiada kaitan dengan keselamatan.?

Memang patut ia disembunyikan jika ada pihak yang dengan dengan MB melakukan sesuatu yang tidak kena dalam proses permohonan tanah itu. Ya, apa tidaknya, jika ada pemohon yang langsung tidak tahu menahu tentang tanah tiba-tiba diberitahu (itu pun oleh wartawan saya sendiri) bahawa mereka sepatutnya sudah boleh digelar jutawan muda.

Cuba bayangkan, seorang anak gadis 20 tahun, mendapat tanah 50 ekar, dan beliau menyewa di flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Khir menjawab di Dewan bahawa sememangnya mereka menganugerahkan tanah kepada gadis berkenaan sebagai galakan kepada remaja lain dalam bidang berkenaan.

“Sedapnya cakap,” kata seorang aktivis Pemuda Umno. “Jangan Khir anggap orang lain tak ada mata, tak ada telinga, maka hujah seperti itu boleh diterima umum. Berapa ramai yang bersusah-payah mengisi borang dan memenuhi kelayakan yang diperlukan untuk memohon rumah kos murah, tetapi hasilnya tetap mengecewakan.”

Seorang lagi rakan, bekas peguam berkata: “Penjelasan Khir tentang pinjaman perumahannya tidak memuaskan. Khir boleh mendakwa apa saja, mengatakan dia menjual perniagaannya sekian ratus ribu, tetapi mana buktinya. Beliau harus mengemukakan bukti transaksi perniagaannya itu. Setakat bercakap siapa pun boleh bercakap.”

Dan yang paling membuatkan seorang pembaca Detikdaily marah dengan penjelasan Khir ialah kenyataannya bahawa “kalau Meram tak mampu jalankan projek, kita beri pada orang lain”, “kalau budak umur 20 tahun itu tak mampu bayar premium, kita boleh serah tanah itu kepada syarikat lain”.

“Kerajaan negeri sepatutnya membuat perancangan rapi, menghampiri tahap kecacatan sifar, bukannya main agak-agak, trial and error. Setiap keputusan harus melihat semua aspek dan menjangka semua kemungkinan. Setiap kelewatan bermakna memakan kos dan ini merugikan wang rakyat,” tambahnya.

“Dan lebih buruk lagi,” katanya, “apabila Meram terus diberikan projek hanya kerana kerajaan negeri telah menyatakan persetujuan awal dua tahun lalu. Apakah hanya kerana kita pernah bersetuju dua tahun dulu, maka sepanjang tarikh itu prestasi Meram langsung tidak diperhatikan?”

“Amboii … baik hatinya Khir Toyo untuk menepati janji sampai syarikat yang hampir lingkup pun dilayan bagai anak emas,” tegas pembaca Detikdaily yang tidak menyebut namanya itu. “Walhal surat setuju terima tender yang ditandatangani oleh Khir hanya dikeluarkan awal Mei lalu, sedangkan prestasi buruk Meram sudahpun dapat dikesan penghujung tahun lalu lagi. Saya hairan mengapa Khir terlalu baik hati untuk menimbangkan semula persetujuan awal memberikan tender itu kepada Meram.

“Lagipun,” tambahnya, “mengapa projek itu perlu diserahkan secara rundingan terus, dan bukannya tender terbuka. Dan bagaimana pula sub-kontraktor Cabaran Wangsa, yang mana pengarahnya adalah bekas tuan rumah Khir, dipilih menjalankan semua projek tersebut.”

Cerita tentang wang panas mengalir melalui projek mewah ini heboh diperkatakan di Sekinchan. Masing-masing bercerita tentang taukeh Cabaran Wangsa yang perniagaannya meningkat hebat selepas Khir menjadi MB.

Bagi saya, isu ini baru di peringkat permulaan. Yang mahu saya dedahkan ialah bagaimana satu sistem yang korup mampu menjahanamkan seseorang yang baik sekalipun. Yang perlu diberikan perhatian ialah untuk merombak sistem kuasa yang memberikan kuasa mutlak MB dalam menganugerahkan sesuatu projek atau tanah berharga. Sila rujuk interviu saya dengan Rais Yatim, empat tahun lalu.

Saya tidak mendakwa Khir MB terburuk, tapi nasibnya malang kerana maklumat tentangnya dihantar kepada saya. Khir dan orang-orangnya tidak perlu bersusah-payah mencari siapa sumber saya, sebaliknya cuba meneliti kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya. Jangan biarkan nafsu menggila menguasai kita.

Saya tidak terkilan dengan kenyataan sumber BPR yang dipetik Mingguan Malaysia, 4 November lalu, bahawa apa yang BPR terima pada 23 Okt hanyalah maklumat: “Orang ramai jangan terkeliru mengenai perkara ini kerana yang diterima adalah maklumat dan bukannya aduan rasmi. Ahmad Lutfi hanya menyampaikan maklumat kepada BPR.”

Pada pagi Isnin esoknya, saya terus menghubungi Penolong Penguasa Kamaruddin Baharom yang menerima aduan saya dahulu. Beliau menjelaskan, sumber BPR yang dipetik itu kemungkinan besar bukannya pegawai BPR. “Kami boleh bertindak walaupun hanya berbekalkan maklumat.”

Bagaimanapun saya tidak berpuas hati kerana dibimbangi sebarang kesilapan teknikal, walaupun kecil, boleh menyebabkan langkah untuk memulakan siasatan tergendala. Dan saya tidak mahu dianggap main-main dalam isu ini.

Justeru, saya sekali lagi, pada jam 2.30 petang, 8 November, bergegas ke Ibu Pejabat BPR di Putrajaya. Kali ini hanya dua wartawan wanita daripada The Star dan The China Press menunggu. Soalan pertama yang ditanyakan kepada saya: “Kami mendapat khabar bahawa sdr telah dijanjikan sebanyak RM3 juta jika dapat menumbangkan Khir Toyo sebelum hari raya akan datang.”

Sambil tersenyum saya memandang rakan-rakan yang mengiringi saya hari itu dan berkata: “Saya mengharapkan apa yang sdri katakan itu betul, bolehlah saya bayar bonus setahun gaji kepada kawan-kawan saya.”

“Sdr serius?” Tanya wartawan itu lagi.

“Ya, saya juga harapkan begitu. Ini lebih dari duit raya yang saya perlukan. Bayangkan, saya mendedahkan keburukan pemimpin Umno dan saya mendapat upah lumayan darinya, yang nantinya boleh digunakan balik untuk menjatuhkan Umno,” jawab saya sambil ketawa kecil.

Perbincangan dengan pegawai bertugas hari itu berjalan lancar. Mereka memberikan penjelasan dan risiko yang mungkin saya tanggung jika saya membuat aduan rasmi. Cuma, bila diminta saya menulis semula aduan, saya agak terkilan.

Masakan tidak, sudah agak lama saya tidak menulis tangan, apatah lagi di atas helaian kertas yang tidak mempunyai garis. Apabila idea lebih cepat bergerak dari lorekan mata pena, fikiran kita boleh bercelaru.

Dengan itu, secara tidak sedar, saya terpaksa meringkaskan maklumat terdahulu bagi memastikan saya dapat menulis dengan baik. Itupun ia hanya tamat beberapa minit sebelum jam 6.00 petang. Badan saya hampir menggigil kerana sejak tengahari saya belum makan. Bagi seorang penghidap kencing manis yang agak teruk, ia cukup menganggu saya.

Setengah jam sebelum saya menamatkan tulisan tangan yang cukup menyiksakan itu, saya mendapat panggilan daripada pegawai BPR di Shah Alam. Beliau meminta saya hadir ke Kompleks PKNS untuk diambil kenyataan.

Selepas solat Jumaat, esoknya, 9 Nov. saya berkejar pula ke Shah Alam. Segala urusan mengenai penerbitan saya terbengkalai begitu saja. Saya boleh menggunakan alasan itu untuk menangguhkannya tetapi saya bimbang takut dikatakan tidak memberi kerjasama penuh kepada BPR.

Sebelum kenyataan saya dibuat, pegawai berkenaan, Penguasa Azni Yahaya mengingatkan tentang kerahsiaan segala aduan yang telah saya buat. Mungkin beliau merujuk kepada Seksyen 21(4) Akta Pencegahan Rasuah 1997: “Sesuatu aduan yang dibuat … hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana orang selain pegawai-pegawai Badan atau Pendakwa Raya sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu.”

Saya cuba memberikan kerjasama apa termampu kepada BPR, tetapi jika ada antara pegawai BPR lebih berminat mengetahui siapa sumber yang memberi maklumat kepada saya, ia benar-benar mengecewakan, malah memenatkan, saya. Sepatutnya mereka sendiri faham, termasuk Pengarah Siasatan BPR, bahawa menjadi tanggungjawab badan itu menjaga kerahsiaan sumber.

Saya tahu, saya sudah menjolok sarang tebuan dan pasti menerima bahananya. Tapi menurut seorang pemerhati politik: “Segalanya terpulang kepada Mahathir. Kalau PM masih sayangkan Khir, kemungkinan besar isu ini hilang begitu saja seperti kes-kes membabitkan orang besar lain.

“Tapi, kes ini lain sedikit. Pengadu bukan saja wartawan, tetapi seorang penerbit, yang boleh terus saja melobi isu ini sampai bila-bila. Khir mungkin bebas dari tindakan undang-undang tetapi dari segi politik, imej bersihnya sudah tercalar teruk.

“Masa depan politiknya tidak menentu tetapi yang pastinya tidak secerah dulu,” tambah pemerhati politik itu. “Sukar dibayangkan Khir dapat melepasi dakwaan ini tanpa sedikitpun mengalami kecederaan.”


(Detik Daily)

 

 

 

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]