PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor


Khir Atur Pertemuan Di Langkawi Bincang Isu Dakwaan Rasuah Terhadapnya

Oleh : WARTAWAN DETIKDAILY

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor yang kini hebat menerima tekanan ekoran dakwaan rasuah mula mengambil tindakan pro-aktif sekurang-kurangnya untuk mengekalkan keyakinan pegawai kanan kerajaan negeri dan anggota exco kepadanya.

Yang terbaru, Dr Khir Toyo dan pembantu-pembantu kanannya (yang juga perancang utama dalam merompak hasil kekayaan negeri Selangor, terutama tanah) menganjurkan satu majlis keluarga daripada 8 hingga 12 November ini di Pulau Langkawi.

Majlis itu membabitkan semua anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan negeri yang lain.

Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka khususnya tentang apa saja yang mereka tak puas hati dengan kepimpinan Khir Toyo.

Dipercayai majlis itu diadakan ekoran ketegangan yang berlaku selepas laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibuat 23 Oktober lalu, dan kemudiannya perbahasan mengenainya di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 30 dan 31 Oktober.

Dalam sidang DUN itu, Speaker Onn Ismail telah menghalau keluar ADUN Bandar Klang, yang juga Ketua Pemuda DAP, Teng Chang Khim apabila Teng cuba membawa usul tergempar mengenai laporan Lutfi kepada BPR. Speaker bukan saja menolak usul itu untuk dibahaskan tetapi tidak membenarkan Teng membacakan usul berkenaan.

Sehubungan itu, negeri Selangor dikejutkan dengan dakwaan yang selama ini tidak terfikir akan berlaku kepada seorang Menteri Besar termuda, yang dikatakan mempunyai rekod bersih.

Khir dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai MB dalam menganugerahkan projek membina jalan di Sekinchan kepada sebuah syarikat bermasalah, yang mana kerja sebenar dibuat oleh sub-kontraktor yang rapat dengannya.

Khir juga didakwa melakukan rasuah apabila mempengerusikan mesyuarat Exco dengan meluluskan tanah sebanyak 50 ekar setiap satu syarikat kepada pengarah-pengarah yang begitu muda, hanya berumur 20 tahun. Terdapat pemohon-pemohon yang mendapat berulang kali tanah, meskipun umum mengetahui tanah di Selangor begitu mahal dan tidak seberapa lagi bakinya.

Melalui pertemuan keluarga di Langkawi itu Khir mengharapkan sesiapa saja yang tak berpuas hati boleh bersemuka menegurnya.

"Siapa yang berani menentangnya kalau mereka tahu dengan berbuat demikian, mereka hanya mendapat padah. Tentu semuanya mengangguk dan berikrar akan menyokongnya sepenuh hati," kata sumber Umno Selangor.

"Tapi," tambah sumber itu lagi, "saya yakin Khir akan mempergunakan majlis di Langkawi itu untuk merasuahkan para anggota Exconya dan juga ketua-ketua jabatan kerajaan negeri."

"Khir mahu menyeret semua anggota Exco supaya bersamanya sebab beliau seringkali berhujah bahawa apa saja keputusannya dalam meluluskan tanah dan projek, ia adalah keputusan bersama dengan anggota Exconya, dan bukan keputusannya secara peribadi," ujar sumber itu lagi.

"Dan saya pasti, tiada anggota Exco yang berani menegurnya kerana mereka sendiri mengharapkan pulangan yang menguntungkan, seperti tanah dan sebagainya," kata sumber itu lagi, sambil mendakwa Khir sukar untuk digugat walaupun tuduhan rasuah itu sedang hangat dibincangkan.

Katanya lagi, Khir yakin lama kelamaan, khususnya dalam bulan puasa dan kemudiannya menyambut raya, isu dakwaan rasuah kepadanya akan senyap begitu saja.

(Detik Daily)



-->