PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor


PM Arah BPR Tutup Kes Dakwaan Rasuah Khir Toyo?

Oleh : WARTAWAN DETIKDAILY

KUALA LUMPUR: Aduan rasuah yang dibuat Ahmad Lutfi Othman kepada Badan Pencegah Rasuah 23 Oktober lalu, yang membabitkan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, dikatakan cuba ditutup oleh pihak atasan yang berkepentingan. Menurut sumber yang mengaku rapat dengan Ibu Pejabat Umno Selangor, dakwaan amalan salah guna kuasa itu, yang boleh merosakkan imej pemerintah pada ketika suasana politik tanahair memihak Barisan Nasional, akan dipastikan tidak mencetuskan satu kontroversi baru, yang mana boleh memberi kelebihan kepada pembangkang.

"Jelas dari kenyataan sumber BPR yang dipetik akhbar Ahad lalu -- yang mendakwa Lutfi bukannya membuat aduan rasmi tetapi hanya memberi maklumat -- ianya bertujuan untuk memastikan isu yang sedang hangat ini dikendurkan sedikit," tambah sumber itu lagi.

Akhbar-akhbar mingguan 4 November lalu menyiarkan kenyataan sumber BPR bahawa tidak ada pihak yang membuat aduan rasmi di mana-mana pejabat BPR termasuk di Putrajaya berhubung dakwaan rasuah terhadap Khir Toyo.

"Orang ramai jangan terkeliru mengenai perkara ini kerana yang diterima adalah maklumat dan bukannya aduan rasmi. Dia (Ahmad Lutfi) hanya menyampaikan maklumat kepada BPR," kata sumber BPR yang enggan namanya disebut.

Menurut sumber yang dekat dengan Umno Selangor itu, beberapa pembantu kanan Khir mendakwa, isu rasuah yang cuba dikaitkan dengan Menteri Besar itu sudahpun diselidik oleh pegawai-pegawai BPR dan didapati "tiada kes".

Malah dalam satu pertemuan di kalangan anggota Exco kerajaan negeri, yang mendapat taklimat khas daripada seorang pegawai kanan kerajaan, dimaklumkan Khir tidak akan dapat disabitkan sama sekali dengan dakwaan rasuah itu.

Sememangnya perkembangan itu bukan mengejutkan. Sebagai Menteri Besar yang dilantik oleh Perdana Menteri, apabila Dato' Abu Hassan Omar meletakkan jawatan pertengahan Ogos tahun lalu, dengan mengetepikan beberapa cadangan daripada Badan Perhubungan Umno Selangor dan pihak istana, Dr Mahathir sudah pasti akan mempertahankan Khir.

"Kini BN berada di puncak selepas parti itu menerima tekanan hebat pembangkang," kata seorang penganalisis politik. "Gabungan pembangkang nampak goyah khususnya apabila DAP keluar Barisan Alternatif. Isu-isu seperti Negara Islam dan usaha mengaitkan PAS dengan kegiatan militan dan Kerajaan Taleban Afghanistan dirasakan memihak BN.

"Justeru," tambah penganalisis itu, "Mahathir tidak akan membiarkan dakwaan isu rasuah terhadap Khir itu menjadi isu nasional yang menikam balik pemerintah. Sedaya mungkin isu akan ditutup serapat-rapatnya."

Dalam pada itu, usaha Harakahdaily untuk menghubungi Pengarah Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Dato' Nordin Ismail gagal. Selama dua hari berturut-turut pembantu khasnya memaklumkan beliau sibuk, sama ada bermesyuarat ataupun melakukan tugasan luar pejabat.

Sementara pegawai bertugas yang menerima aduan Ahmad Lutfi pada 23 Oktober lalu, Penolong Penguasa Kamaruddin Baharom, ketika dihubungi berkata, beliau sudahpun menjelaskan kepada Lutfi sendiri berkaitan kekeliruan yang timbul daripada kenyataan sumber BPR yang dipetik akhbar Ahad lalu.

Bagaimanapun, Kamaruddin enggan membuat kenyataan lanjut apabila ditanya apakah jika status laporan Lutfi kepada BPR hanya bertaraf "memberi maklumat" dan bukannya "aduan" maka ia boleh menjejaskan proses siasatan.

"Semuanya telah saya jelaskan kepada Lutfi," jawabnya.

Ketika dihubungi kemudiannya, Lutfi berkata, beliau akan membuat satu lagi aduan rasmi kepada BPR di Putrajaya, Khamis ini, 8 Oktober. "Saya tidak mahu, hanya kerana sedikit kesilapan teknikal maka BPR mengalami kesukaran untuk memulakan siasatan awal. Saya bimbang jika ia dieksploit oleh pihak berkepentingan untuk menutup kes ini. Jadi, saya akan membuat aduan baru dan memenuhi ciri-ciri sebuah aduan rasmi," tegasnya.

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]