PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor


Orang Kanan Khir Dakwa BPR Kata Tiada Kes

Oleh : WARTAWAN DETIKDAILY

SHAH ALAM: Pembantu-pembantu kanan Menteri Besar Selangor mendakwa segala halangan akibat dakwaan rasuah ke atas Dr Mohd Khir Toyo sudahpun berakhir. Malah, kata mereka, sejak dari awal lagi, kes itu langsung tidak menganggu mereka.

Menurut seorang pegawai kanan Khir, Menteri Besar itu dapat menjawab dengan baik sekali segala tohmahan pembangkang yang ditimbulkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor minggu lalu.

"Khir sudah melepasi fitnah yang ditohmahkan kepadanya. Masa depan politiknya akan lebih cerah lagi nanti. Pembangkang akan terus khayal dalam impian masing-masing. Bukan saja mereka gagal untuk menambah kerusi dalam pilihan raya akan datang, tapi kedudukan Dr Hassan Ali di Sungai Burong pun akan tergugat," katanya.

Beliau memberitahu, sumber-sumber yang dekat dengan Badan Pencegah Rasuah melaporkan bahawa aduan Ahmad Lutfi Othman langsung tidak berasas. "BPR dapati tiada kes dalam aduan Lutfi dan kes ini sudah ditutup."

Bagi seorang lagi pembantu khas Khir, segala ujian yang dilaluinya akan mematangkan Khir dan mendewasakannya sebagai ahli politik yang berpotensi besar. "Sekali gus ini memberi ingatan terakhir buat pimpinan Umno Selangor yang cemburu dengan Khir supaya jangan bermain api. Khir patut melakukan rombakan besar-besaran di kalangan Exco Kerajaan Negeri."

Dalam pada itu beberapa aktivis pembangkang yang ditemui berkata: "Kalaupun betul BPR menganggap dakwaan Lutfi tidak berasas, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kami. Bukankah Khir dilantik oleh Perdana Menteri dengan mengetepikan calon-calon Badan Perhubungan Umno Selangor dan pihak istana sendiri?

"Tentulah PM akan mempertahankan Khir kerana Khir adalah orang kepercayaannya dan nama Khir dicadangkan oleh anak Mahathir sendiri. Dan Badan Pencegah Rasuah bukannya berperanan untuk menyiasat dakwaan orang-orang yang disyakki melakukan rasuah tetapi membersihkan tokoh-tokoh Umno dan kerajaan BN yang dituduh rasuah."

Walau bagaimanapun, tambahnya, jika BPR menganggap kes rasuah Khir sudah selesai, parti pembangkang tidak sepatutnya diam begitu sahaja. "Isu ini adalah bonus kepada pembangkang bagi melancarkan kempen besar-besaran terhadap BN Selangor. Tapi saya lihat, pembangkang seperti bersikap acuh tak acuh saja dengan isu keemasan ini."

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]