PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor


Jika Perlu, Saya Akan Buat Aduan Rasmi Sekali Lagi - Lutfi

- Aktivis media, Ahmad Lutfi Othman menafikan laporan akhbar semalam, yang mendakwa beliau sebenarnya belum membuat aduan rasmi mengenai dakwaan salahguna kuasa dan amalan rasuah Menteri Besar Selangor, tetapi apa yang dibuatnya pada 23 Oktober lalu hanya menyampaikan maklumat.

"Saya sendiri terkejut apabila membaca laporan yang memetik sumber Badan Pencegah Rasuah (BPR) itu. Saya semak kembali, apakah istilah yang saya gunakan ketita membuat laporan ke ibu pejabat badan itu di Putrajaya dua minggu lalu. Memang pasti, saya menggunakan istilah aduan dan tajuk surat saya pun ialah 'Aduan Rasuah Membabitkan Menteri Besar Selangor'," kata Lutfi ketika dihubungi pagi ini. Menurut akhbar 4 November, BPR sehingga kini masih belum menerima aduan secara rasmi berhubung dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo. Sumber BPR memberitahu, sebaliknya, mereka hanya menerima maklumat berhubung perkara itu dan bukan satu laporan rasmi seperti didakwa sesetengah pihak.

"Orang ramai jangan terkeliru mengenai perkara ini kerana yang diterima BPR adalah maklumat dan bukannya aduan rasmi. Dia (Ahmad Lutfi) hanya menyampaikan maklumat kepada BPR," kata sumber BPR yang tidak menyatakan nama itu.

Bagaimanapun, tambah sumber itu, "BPR sedang meneliti maklumat tersebut dan jika terdapat fakta-fakta atau bukti yang boleh membawa kepada penyiasatan, maka kita akan jalankan siasatan."

Lutfi semasa membuat aduan kepada BPR menyenaraikan sembilan kes yang mana beliau syak Dr Khir Toyo terbabit dalam amalan rasuah.

Pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 29 Oktober, ADUN Bandar Klang, Teng Chang Khim, yang juga Ketua Pemuda DAP, telah mengemukakan usul tergempar berkaitan aduan Lutfi.

Bagaimanapun Speaker Dewan, Dato’ Onn Ismail, bukan saja tidak menerima usul itu untuk dibahaskan tetapi juga tidak membenarkan usul berkenaan dibacakan.

Ekoran itu, selepas timbul kekecohan, Speaker mengarahkan Teng keluar dari dewan persidangan. Sebagai tanda menyokong Teng, kelima-lima ADUN Barisan Alternatif, turut keluar Dewan.

Di luar dewan persidangan, Lutfi bersama-sama ADUN pembangkang membuat sidang akhbar, yang antara lain, Lutfi mencabar Dr Khir, dalam masa seminggu supaya mengambil tindakan undang-undang kepadanya jika didapati aduannya boleh mencemarkan wibawa dan reputasi Khir sebagai Menteri Besar.

Hari ini, genap seminggu cabaran itu dibuat dan Khir tidak pun memulakan apa-apa tindakan undang-undang kepada Lutfi.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan sumber BPR, Lutfi menambah:

"Pagi tadi, jam 10.00, saya sendiri menghubungi pegawai bertugas, yang menerima laporan saya tempoh hari. Saya mahukan penjelasan lanjut kerana tidak mahu aduan saya diketepikan begitu saja, hanya kerana ia diklasifikasikan sebagai memberi maklumat dan bukannya membuat laporan.

"Pegawai berkenaan membetulkan semula kenyataan sumber yang dipetik akhbar semalam. Katanya, BPR tetap memandang serius apa saja laporan yang dibuat kepada pihaknya. Maklumlah, isu ini membabitkan orang besar, kata pegawai itu, masakan penyiasatan dibuat serta merta. Banyak prosedur yang perlu dilalu, katanya."

Ditanya, apakah tindakan susulan seterusnya, Lutfi berkata:

"Jika aduan saya itu memerlukan satu lagi aduan rasmi sebelum siasatan dibuat oleh BPR, saya akan segera berbuat demikian.

"Dan saya juga akan menghantar beberapa maklumat terbaru mengenai kes ini, khususnya berkaitan projek jalan raya di Sekinchan, kelulusan permohonan tanah di Kuala Langat, serta bayaran baki perumahan yang dibuat oleh Khir secara tunai sebanyak RM150,000. Tidak lupa, saya akan menambah beberapa kes baru."

Jelasnya lagi, beliau juga akan menyertakan transkrip penuh ucapan Dr Khir Toyo semasa menjawab perbahasan Belanjawan 2002 oleh Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali, 30 Oktober lalu.

Dr Hassan semasa perbahasan di hari kedua persidangan DUN Selangor membutirkan semula beberapa pertuduhan yang dibuat oleh Lutfi kepada Dr Khir Toyo dalam aduannya kepada BPR.

"Transkrip ini penting kepada BPR, sekurang-kurangnya memudahkan kerja mereka bagi mengetahui pandangan awal daripada Dr Khir Toyo sendiri mengenai pertuduhan yang saya kemukakan," tambah Lutfi.

(Harakah Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]