PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor


BPR Kunjungi Pejabat Meram Mulakan Siasatan Kes Khir Toyo

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pegawai Badan Pencegah Rasuah dan anggota polis dikatakan telah memulakan siasatan ekoran laporan Ahmad Lutfi Othman mengenai dakwaan rasuah dan amalan salahguna kuasa Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Lutfi membuat aduan kepada BPR di Putrajaya, 23 Oktober lalu dan membutirkan beberapa isu pokok yang disyakki Khir terbabit dengannya. Antaranya menyerahkan projek membina jalan raya di Sekinchan, sepanjang 20 km bernilai hampir RM100 juta kepada sebuah kontraktor bermasalah.

Kontraktor berkenaan, Meram Holding dikatakan tidak dapat menyiapkan tiga projek di Gemas, Port Dickson dan Pelabuhan Klang, yang akhirnya memaksa sebuah kontraktor penyelamat, Kayangan Emas menyiapkannya.

Timbul persoalan, mengapa projek bernilai tinggi itu diserahkan kepada sebuah kontraktor bermasalah sejak Oktober 2000. Surat setujuterima tender hanya diserahkan kepada Meram bulan Mei tahun ini. Walaupun Menteri Besar mendakwa di Dewan Undangan Negeri Selangor 31 Oktober lalu bahawa proses rundingan projek itu telah dijalankan sejak dua tahun lalu dengan Meram, apakah kerajaan negeri khususnya JKR Selangor langsung tidak ambil peduli dengan prestasi syarikat sepanjang tempoh itu.

Menurut sumber, pihak BPR dan polis sudahpun membuat 'lawatan pertama' ke pejabat Meram dan memeriksa dokumen tertentu.

Isu ini lebih menarik selepas didedahkan bahawa seorang peniaga berumur 27 tahun, yang menjadi pengarah Cabaran Wangsa Sdn Bhd telah dipilih sebagai subkontraktor sepenuhnya oleh Meram untuk menjalankan projek membina jalan RM4.5 juta untuk satu kilometer.

Peniaga itu, Pua Kim An, merupakan bekas tuan rumah kepada Dr Khir Toyo ketika Khir menyewanya di Sekinchan, sebelum beliau dilantik Perdana Menteri menjadi Menteri Besar Selangor.

"Saya harap BPR dapat menjalankan amanah ini dengan setulusnya meskipun ia membabitkan seorang Menteri Besar. Bila saya dimaklumkan BPR sudahpun memulakan siasatan dengan mengunjungi pejabat Meram di Jalan Klang Lama, saya rasa BPR mengambil serius aduan saya," kata Lutfi.

Dalam pada itu beberapa subkontraktor yang masih belum dijelaskan hutang mereka oleh Meram memberitahu, selepas mendapat tahu Meram mendapat projek hampir RM100 juta, mereka bergegas ke pejabat kontraktor bermasalah itu.

"Bagaimanapun kami dimaklumkan bahawa projek itu sebenarnya dijalan oleh pihak lain. Meram langsung tidak terbabit menjalankannya. Dan kami diberitahu oleh pegawai-pegawai Meram, mereka sendiri menghadapi masalah kewangan yang serius," kata seorang subkontraktor.

(Oleh: Wartawan DetikDaily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]