PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor


Mengapa Lutfi Lawan Khir?

Oleh : ZULKIFLI SULONG

Berikut adalah wawancara Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong dengan Ahmad Lutfi Othman di Pejabat Harakah, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur

ZULKIFLI SULONG: Dua MB Selangor terdahulu Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Dato' Abu Hassan Omar terpaksa mengundur diri kerana salah laku masing-masing. Kini pembongkaran skandal rasuah dan salah guna kuasa Menteri Besar Selangor, Dato' Sri Khir Toyo seperti yang dilaporkan oleh pengarang Memo14 Lutfi Othman kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini jelas menujukkan kerusi Menteri Besar Selangor sememangnya sering dilanda masalah. Begitupun hasratnya selaku penulis yang berpegang kepada etika penulisan yang mendokong kebenaran dianggap mengancam kedudukan politik sesetengah pihak apabila ditahan polis akibat laporannya itu. Harakah webRadio cuba mendapatkan penjelasan sebenar mengenai skandal tersebut melalui wawancara ekslusif bersama Ahmad Lutfi.

Ahmad Lutfi: Saya seperti juga tanggapan awam yang lain bahawa Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo memang tidak pernah disabitkan atau dijangka melakukan amalan salah guna kuasa atau rasuah yang begitu besar tetapi selepas saya menerima satu dokumen daripada pihak tertentu khususnya berkaitan bagaimana beliau semasa mempengerusikan mesyuarat exco telah membuat keputusan-keputusan yang disifatkan sebagai amalan pilih kasih dan salah guna kuasa, saya melakukan sedikit penyelidikan lanjut berkaitan dengan dokumen awal itu dan ditambah pula dengan beberapa dokumen lain mengenai projek jalanraya di Sekinchan Selangor yang juga menimbulkan begitu banyak keraguan-keraguan saya terhadap keputusan-keputusan yang dibuat oleh beliau sendiri.

Pendedahan yang dibuat bukan untuk menjatuhkan sesiapa tetapi atas rasa tanggungjawab saya selaku penulis untuk membongkar sebarang bentuk penyelewengan. Semasa saya mendedahkan isu salah laku menteri besar yang terdahulu, Abu Hassan Omar, iaitu pada pertengahan Ogos tahun lepas, saya tidak bermaksud sama sekali untuk menjatuhkan beliau dari segi kepentingan peribadi saya, saya cuma merasakan menjadi satu tanggiungjawab kepada saya sebagai seorang rakyat dan juga wartawan yang dididik untuk membongkar sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa apatah lagi membabitkan orang besar.

Jadi saya menggunakan segenap peluang dan kemampuan saya yang ada untuk mendedahkan perkara ini kepada masyaakat. Soal menteri besar berkenaan meletakkan jawatan atau tidak, itu bukan dalam bidang kuasa saya dan bukan objektif saya.

Itu juga yang berlaku kepada kes Dr Khir Toyo. Saya merasakan selepas mendapat maklumat dan mengkaji selama hampir dua bulan saya rasa rakyat perlu didedahkan perkara ini dan Khir Toyo perlu menjawab segala pertuduhan-pertuduhan yang saya bangkitkan terutama dalam laporan saya kepada BPR 23 Opktober lalu.

ZUL SULONG: Apakah faktor yang mendorong Sdr membuat pendedahan ini?

AHMAD LUTFI: Saya melihat Dr Khir Toyo ini istimewa daripada Menteri Besar yang lain. Pertamanya dia dilantik di zaman yang dipanggil zaman reformasi, tuntutan rakyat supaya pemerintahan yang baik (good governance), ketelusan dan bebas dari rasuah. Dia juga orang muda, masih di bawah umur 40 tahun, hampir sebaya dengan saya. Jadi saya rasa harapan orang muda tanpa mengira beliau mewakili parti pemerintah ataupun tidak. Rakyat terutamanya rakyat Selangor apabila kita tinjau sejarah hitam Menteri Besar Selangor, mereka sudah muak dengan segala penyelewengan atau salah guna kuasa.

Harus kita faham yang sekali menteri besar atau kerajaan menyalahgunakan kuasa, kos yang ditanggung oleh rakyat cukup tinggi. Rasuah membabitkan kos yang cukup tinggi, berbillion-billion ringgit. Jadi, atas kesedaran saya bahawa perlu diperingatkan pada pihak pemerintah khususnya di negeri Selangor bahawa ada orang, ada pihak yang memerhatikan segala usaha dan niat buruk mereka untuk mengeksploit kekayaan negeri Selangor dan juga terus melakukan amalan salah guna kuasa.

ZUL SULONG: Bagaimana pula cabaran dan dugaan yang dihadapi Sdr selepas membuat laporan kepada BPR dan mengadakan sidang akhbar di luar bangunan DUN Selangor.

AHMAD LUTFI: Sebenarnya selain daripada dua perkara itu, satu hal yang sebenarnya sebagai seorang penerbit saya cukup terkilan apabila bahan yang saya telah selidik selama lebih kurang dua bulan dan hampir siap dicetak telahpun dirampas oleh pihak polis pada petang Ahad yang lalu dan saya kira target utama saya untuk mendedahkan segala apa yang saya sifatkan sebagai amalan salah guna kuasa Menteri Besar ini telah dihalang.

Menurut pihak polis kesalahan saya hanya kerana tidak mencetak nama dan alamat penerbit dan pencetak. Itu bagi saya merupakan satu kesalahan yang cukup kecil dan mudah untuk kita atasi. Langkah seterusnya bagi saya ialah untuk memastikan sama ada bahan-bahan yang siap dicetak seperti yang telah dirampas oleh polis itu dapat dikeluarkan dalam waktu yang terdekat dalam bentuk yang sah menurut undang-undang.

ZUL SULONG: Mungkin terdapat pandangan bahawa tindakannya membuat laporan seperti itu lebih bertujuan mendapatkan perhatian umum selain melariskan jualan akhbarnya.

AHMAD LUTFI: Sebagai seorang aktivis media dan dalam masa yang sama saya juga penerbit dan ahli perniagaan yang di bawah saya ada hampir sepuluh orang kakitangan. Jadi, saya tidaklah mahu menafikan yang saya siaran saya itu antara lain untuk memasarkan dengan lebih meluas. Tetapi dari segi konsepnya bahawa seseorang penerbit atau wartawan sendiri akan merasa lebih puas sekiranya hasil kerjanya sendiri dapat ditatap oleh semua orang.

Saya akui walaupun kadang-kadang tulisan atau penerbitan saya agak laris tetapi dari segi perniagaan saya agak gagal kerana banyak lagi aspek-aspek perniagaan yang lain seperti kos penerbitan yang begitu besar dan amalan biasa di dalam perniagaan seperti hutang dan sebagainya. Ini bukanlah saya nak mendakwa apa yang saya lakukan itu tidak ada kaitan sama sekali dengan perspektif perniagaan sebab sepoerti yang saya tekankan tadi saya adalah juga penerbit yang menangung semua kos yang ada. Dan terbukti bahawa apabila baru-baru 50,000 bahan yang telah dicetak telah dirampas polis, saya telah kerugian lebih daripada 100,000. Jadi, ini apa yang orang kata 'high risk, high gain'. Bagaimanapun focus utama saya ialah bersama-sama rakyat prihatin lain untuk membantu kerajaan membanteras amalan rasuah dan penyelewengan pemimpin atasan.

ZUL SULONG: Apakah harapan Sdr terhadap kerajaan negeri Selangor melalui laporannya itu?

AHMAD LUTFI: Saya kira pendedahan saya melalui BPR dan juga akhbar yang saya terbitkan adalah untuk kepentingan umum bukannya bagi memastikan Khir Toyo jatuh atau tidak. Soal jawatan MB adalah hak mutlak PM. Saya telah meneliti beberapa aspek dari segi sistem kuasa yang ada pada menteri besar yang cukup besar sehinggakan saya menjangkakan bahawa kuasa yang ada pada menteri besar jauh lebih besar daripada kuasa menteri-menteri di pusat, kecuali PM, TPM dan Menteri Kewangan.

Seseorang MB boleh dengan kuasanya yang cukup besar itu untuk menjadikan seseorang itu jutawan dalam sekelip mata.

Apatah lagi hasil daripada kajian saya menunjukkan kalau satu ekar tanah diluluskan kepada seseorang, di kawasan strategic, mungkin orang itu boleh dapat untung sampai satu juta. Pada saya faktor yang paling besar yang perlu dirombak dan direformasikan ialah bagaimana kuasa menteri besar mesti disekat, harus ada check and balance, harus ada faktor pengimbang dalam jawatankuasa yang meluluskan permohonan tanah pelbagai pihak.

Sekarang ini saya mendapat maklumat dari sumber yang dekat dengan pihak kerajaan negeri bahawa exco-exco kerajaan negeri sendiripun menyuarakan rasa tidak puas hati dan tidak senang dengan sikap menteri besar yang bukan sahaja tidak mengambil kira pandangan pembangkang tetapi juga pandangan mereka. Semuanya mahu dimonopoli.

Memang ini semua sebenarnya dibuat berdasarkan peruntukan-peruntukan yang sah yang sedia ada. Bagi saya, kalaupun ia menurut prosedur yang dikatakan sah, tapi jika berlaku unsure-unsur rasuah dan salah guna kuasa, kita mesti tentang. Maknanya, sistem kuasa yang ada mesti dirombak.

Kes yang saya timbulkan hanyalah sebahagian kecil daripada kes yang ada. Ramai daripada pihak yang prihatin dengan perkara ini telahpun menghubungi saya dan mereka bersedia menyalurkan kepada saya maklumat-maklumat untuk pendedahan yang lebih lanjut. Saya hanya tunggu masa sesuai.

Tetapi seperti yang saya tegaskan tadi perkara utama bagi saya ialah bagaimana sistem yang ada seperti aspek-aspek good governance, menolak amalan-amalan rasuah dan monopoli kuasa seorang MB, ini mesti disekat. Kalau dibuang sekalipun Khir Toyo, Abu Hassan, Muhammad Taib dan sebagainya, selagi sistem yang ada memberi ruang untuk ketua kerajaan negeri melakukan rasuah apatah lagi jika tidak dibentengi individu menteri besar itu dengan ketakwaan dan aspek agama dan lain-lainnya, saya rasa bertukarlah sepuluh orang menteri besar sekalipun dengan kuasa yang ada,dengan sikap kerajaan barisan nasional, saya rasa perkara ini akan berterusan. Sumber kekayaan negeri ini akan terus dirompak oleh menteri besar-menteri besar yang lain pula.

ZUL SULONG: Bagaimana jangkaan Sdr terhadap tindakan yang akan diambil oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan BPR terhadap Dr Khir?

AHMAD LUTFI: Saya mungkin tidak boleh membuat penilaian yang lebih jauh daripada apa yang saya lakukan kerana laporan BPR itu masih diperingkat awal, dibuat pada 23 Oktober lalu. Tetapi tanggapan awal saya terhadap seorang pegawai BPR yang mengambil laporan saya pada hari itu bagi saya cukup mengecewakan. Beliau langsung tidak menunjukkan minat untuk menerima laporan saya dan dalam masa yang sama beliau seolah-olah seperti mengugut saya bahawa apa yang saya lakukan itu menbabitkan orang besar dan saya boleh dikenakan tindakan-tindakan yang keras oleh pihak kerajaan dan juga oleh individu terbabit.

Umum telah mengetahui dan ada pihak yang menasihatkan saya supaya beringat-ingat selepas membuat laporan sebab seperti apa yang berlaku kepada Dato Sri Anwar selepas membuat laporan rasuah, beliau dan pembantu-pembantunya akhirnya disiasat. Dan perkara ini terbukti terjadi pada saya selepas saya membuat laporan, bukan saya disiasat tetapi sebaliknya saya ditangkap sedangkan orang yang berkenaan bebas.

Dan dari segi Perdana Menteri walaupun saya mempunyai tanggapan yang tertentu terhadapnya, saya harap dalam perkara ini beliau bersikap rational. Saya tidak mewakili mana-mana pihak yang berkepentingan dalam politik. Saya hanya rakyat biasa dan wartawan yang dilatih untuk membongkar penyelewengan dan saya mengharapkan beliau meneliti perkara ini dengan detail dan saya rasa beliau tidak perlu teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada Khir Toyo sekiranya benar beliau bersalah.

Bagi saya beliau memberi penuh kebebasan kepada BPR untuk menyiasat sebab ada sumber-sumber yang tertentu daripada BPR menyatakan kalau kes yang membabitkan orang besar semuanya harus dirujuk kepada Perdana Menteri. Saya rasa Perdana Menteri perlu menunjukkan teladan yang baik pada ketika ini dengan memberi peluang yang seluas-luasnya kepada BPR untuk bertindak secara professional dan menyiasat sacara teliti.

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]