PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Isytihar harta MB, Exco, ADUN, Ahli Parlimen, Ahli Majlis Bandaraya, Abli Majlis Daerah Secara Terbuka

Oleh : TENG CHANG KHIM

Berikut adalah teks ucapan Teng Chang Khim, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Bandar Klang, semasa mencadangkan usul Enakmen Pengisytiharan Umum Harta Milikan Wakil Rakyat Negeri Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 1.11.2001

Saya memohon izin mencadangkan satu usul mengikut Peraturan 26(1) yang berbunyi:-

"Bahawasanya Dewan ini memutuskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor hendaklah membentangkan ke Dewan ini dalam tempoh 6 bulan satu Enakmen bernama Enakmen Pengisytiharan Umum Harta Milikan Wakil Rakyat Negeri Selangor yang mewajibkan semua wakil rakyat negeri Selangor mengisytiharkan secara umum harta milikan mereka setiap tahun di mana maksud wakil rakyat hendaklah merangkumi Menteri Besar, Speaker Dewan Undangan Negeri, Ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Majlis Bandaraya dan Perbandaran dan Ahli Majlis Daerah."

Adalah menjadi permintaan rakyat dalam system kerajaan demokratik agar pentadbiran kerajaan, badan-badan berkanun, korporat-korporat, badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan yang aktivitinya melibatkan kepentingan orang awam untuk mengamalkan prinsip transparensi atau ketelusan demi kepentingan orang awam pada keseluruhannya.

Permintaan sedemikian bertujuan memastikan bahawa pentadbiran kerajaan dan badan-badan tersebut sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan-peraturan, garispanduan-garispanduan dan etika-etika kerja.

Prosedur-prosedur dalam perundangan dan prosedur-prosedur yang mengkehendakkan kerajaan menjawab pertanyaan-pertanyaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan-peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor misalnya adalah sebahagian daripada peraturan yang ditetapakn untuk memastikan terdapat transparensi atau ketelusan dalam perundangan dan pentadbiran melalui pemeriksaan atau scrutiny oleh Ahli Dewan Undangan Negeri.

Kewujudan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) adalah contoh yang paling baik bagaimana satu mekanisma boleh dibentuk dan diberi kuasa untuk memanggil ketua-ketua jabatan malah orang ramai untuk memberi keterangan bagi tujuan memastikan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan. Ini adalah salah satu mekanisma yang diadakan untuk memastikan terdapat "good governance" dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam konteks yang sama, ketelusan dikehendaki itu juga bertujuan untuk mencegah sebarang penyelewengan, salahlaku, kecurangan dan penipuan yang mungkin oleh mereka yang membuat keputusan (the decision makers) demi kepentingan peribadi mereka. Manusia mempunyai nafsu yang tak tehingga. Bergantung kepada agama dan nilai moral yang diwaris sahaja memang tidak dapat mengawal nafsu manusia.

Dalam premis ini, apabila kita mengalihkan perhatian kita kepada negeri Selangor, maka jelaslah bahawa satu mekanisma hendaklah diwujudkan untuk memastikan wakil rakyat khususnya mereka yang memegang jawatan awam dan mempunyai kuasa eksekutif seperti Menteri Besar dan ahli-ahli Exco, mereka yang membuat keputusan dalam Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Pejabat Tanah, dan wakil rakyat khususnya wakil rakyat parti pemerintah yang mempunyai pengaruh besar ke atas pegawai-pegawai kerajaan, boleh sentiasa dikawal dan diperiksa (scrutinized) oleh rakyat. Salah satu mekanisma yang berkesan adalah melalui enakmen pengisytiharan umum harta milikan seperti yang dicadangkan di sini.

Jika kita mengkaji sejarah menteri besar negeri Selangor, hujah untuk menyokong enakmen yang dicadangkan menjadi lebih kukuh. Tuduhan-tuduhan rasuah dan salahlaku terhadap mereka bukan perkara yang baru.

Kita ambil contoh tuduhan terhadap Menteri Besar dan penjelasan yang diberikan oleh beliau dalam menjawab bagaimana beliau mampu menjelaskan hutang rumah sebanyak RM150,000.00 selepas menjadi Menteri Besar. Jawapan Menteri Besar ialah bahawa wang tersebut datangnya daripada modal-modal pulangan yang beliau labur sebelum menjadi Menteri Besar. Menteri Besar pernah duduk di dewan ini sebagai ahli penyokong kerajaan selama 8 bulan sebelum dilantik menjadi Menteri Besar. Sekiranya kita mempunyai enakmen yang dicadangkan oleh saya hari ini pada masa itu, sudah tentu beliau hendaklah membuat pengisytiharan umum harta milikan pada masa itu. Maka pada hari semalam, semua pihak boleh merujuk kepada pengiytiharan umum tersebut untuk membuktikan kesahihan penjelasan tersebut.

Dalam hal yang sama, Menteri Besar memaklumkan dewan ini bahawa beliau telah ditawarkan tanah banglow sebanyak 2 kali tetapi beliau tidak menerima tawaran tersebur kerana tidak mampu. Seandainya Menteri Besar telah menerima tawaran tersebut, maka kita juga boleh merujuk kepada pengiytiharan umum harta milikan beliau untuk melihat bagaimana beliau mampu membeli lot banglow tersebut.

Bukan sahaja Menteri Besar yang dituduh, wakil rakyat juga sentiasa dituduh meluluskan tanah untuk anak isteri, memperolehi kekajaan yang melampaui pendapatan halal dan tuduhan-tuduhan lain yang berkaitan dengan wang dan tanah. Salah satu yang baru saya terima ialah tuduhan yang dituju kepada YB Sekinchan yang dikatakan menggunakan pengaruh beliau meluluskan 2 lot tanah bersebelahan di tapak bersebelahan dengan Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Sekincha No. Lot 19 dan No. Lot 20 kepada isterinya Pn Lim Sooi Imm dan anaknya Chia Lee Soon dan No Lot 2 dan No. Lot 18 kepada saudara beliau.

Pengisytiharan umum harta milikan wakil rakyat ini juga boleh membantu Badan Pencegah Rasuah menyiasat wakil rakyat semasa dan selepas mereka bersara untuk menentukan kekayaan mreka setimpal dengan pendapatan mereka.

Pada masa ini, tidak terdapat enakmen yang memberi kuasa kepada Menteri Besar atau sesiapa untuk membuat pengisytiharan harta milikan tahunan. Mungkin ahli-ahli Exco ada membuat pengiytiharan harta kepada Menteri Besar tetapi itu lebih merupakan perintah eksekutif dan politik. Menteri Besar juga tidak mempunyai kuasa di bawah mana-mana undang-undang untuk memerintahkan wakil rakyat untuk membuat pengisytiharan sedemikian.

Enakmen yang saya cadangkan tersebut hendaklah mewajibkan semua wakil rakyat semua peringkat untuk mengisytiharkan harta milikan mereka setiap tahun sepanjang masa mereka memegang jawatan-jawatan tersebut. Pengisytiharan umum bererti bahawa borang pengisytiharan merekan akan diwartakan dalam gazet atau warta kerajaan. Mereka yang didapati membuat pengisytiharan palsu akan dihadapkan ke mahkamah kerana membuat ikrar palsu. Enakmen yang dicadangkan itu hendaklah terpakai juga ke atas Ahli Majlis Bandaraya dan Perbandaran dan Ahli Majlis Daerah kerana mereka sepatutnya dipilih oleh rakyat untuk menyandang jawatan dalam majlis PBT. Sudah tentu wakil rakyat dari parti pembangkang juga tertakluk kepada undang-undang yang sama kerana mereka memang setaraf kedudukannya dengan wakil rakyat parti pemerintah walaupun peluang mereka melakukan penyelewengan dan kecurangan tidak setaraf dengan wakil rakyat penyokong kerajaan.

Wakil rakyat tidak harus menganggap dan merasa diri mereka tertindas kerana terpaksa membuat pengiytiharan umum harta milikan mereka kerana ini seharusnya merupakan sebahagian daripada tanggunjawab memimpin melalui teladan. Tidak ada orang yang memaksa kita menajdi pemimpin. Kita yang menawarkan diri kita dipilih sebagai pemimpin dan wakil rakyat. Keluhan Menteri Besar seperti yang dibuat pada hari semalam bahawa beliau seolah-olah kehilangan kebebasan sehinggakan hendak pergi ke rumah kawan pun takut. Itu memang sebahagian daripada pengorbanan yang datang bersama dengan keistimewaan dan kuasa-kuasa yang diberikan kepda Menteri Besar. It is part and parcel of it. Kalau Menteri Besar merasa tertindas kerana itu, beliau bolehlah meletak jawatan. Saya pasti ramai yang akan merebut untuk "ditindas" sedemikian.

Keyakinan rakyat terhadap kerajaan tidak bergantung kepada bilangan kerusi yang dimenangi oleh parti pemerintah. Keyakinan rakyat terhadap terhadap kerajaan bergantung kepada keyakinan rakyat terhadap wakil rakyat mereka.

Enakmen yang saya cadangkan ini hendaklah dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kita menjadi negeri Selangor negeri maju menjelang 2005 kerana undang-undang yang sama telah pun wujud di negara-negara yang maju.

Sekian, terima kasih.

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]