PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Khir Takut Isytihar Harta Kepada Umum

Oleh : TENG CHANG KHIM

Khir Toyo dan Adun Barisan Nasional takut usul pengisytiharan harta milikan.

Saya mengutuk perbuatan Menteri Besar Negeri Selangor, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo yang membenarkan wakil Barisan Nasional menggugurkan perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada jam 5.00 petang bagi tujuan menggagalkan usaha saya untuk membawa usul meminta kerajaan Negeri Selangor membentangkan Enakamen Pengisytiharan Harta Milikan Wakil Rakyat Negeri Selangor.

Ini adalah kali kali dalam sejarah Dewan Undangan Negeri Selangor, sidang Belanjawan DUN Selangor sengaja ditangguhkan dengan mewujudkan keadaan tidak cukup korum oleh Barisan Nasional..

Usul yang dicadangkan oleh saya berbunyi:- "Bahawasanya Dewan ini memutuskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor hendaklah membentangkan ke Dewan ini dalam tempoh 6 bulan satu Enakmen bernama Enakmen Pengisytiharan Umum Harta Milikan Wakil Rakyat Negeri Selangor yang mewajibkan semua wakil rakyat negeri Selangor mengisytiharkan secara umum harta milikan mereka setiap tahun di mana maksud wakil rakyat hendaklah merangkumi Menteri Besar, Speaker Dewan Undangan Negeri, Ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Majlis Bandaraya dan Perbandaran dan Ahli Majlis Daerah."

Saya telah memberitahu notis untuk membawa usul ini pada 13.10.2001 semasa saya masih menerima rawatan di hospital kerana kemalangan jalanraya.

Wakil Barisan Nasional termasuk Menteri Besar sendiri amat takut kepada usul tersebut kerana mereka terperangkap oleh usul tersebut. Sekiranya mereka menyokong usul tersebut, maka dalam tempoh 6 bulan akan datang, enakmen pengiytiharan akan diluluskan dan mereka akan terpaksa mengisytiharkan secara umum harta milikan mereka. Jika mereka tidak menyokong usul saya, mereka akan menghadapi masalah menerangkan alasan mereka kepada rakyat. Oleh yang demikian, mereka dengan kebenaran yang diberikan oleh Khir Toyo telah sengaja menggunakan tektik menggagalkan usaha saya.

Mengikut Peraturan Tetap 12 Peraturan-peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri, kuoram yang diperlukan adalah 1/3 daripada jumlah ahli. Buat masa ini, terdapat 48 ahli Dewan Undangan Negeri di mana 42 daripadanya adalah wakil Barisan Nasional dan hanya 6 sahaja adalah wakil pembangkang. Ini bererti bilangan ahli yang diperlukan adalah 16 orang.

Peristiwa sengaja menggugurkan perjalanan sidang dewan bagi menggagalkan usul pembangkang ini juga sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan di bawah Khir Toyo tidak menghormati prinsip demokrasi dan prinsip kepertanggugjawapan dan ketelusan.

Khir Toyo selaku Menteri Besar hendaklah memohon maaf kepada rakyat kerana menggunakan taktik yang kotor untuk menggagalkan satu usaha yang baik untuk membentuk satu pentadbiran yang bersih dari amalan rasuah dan penyelewengan.

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]
-->