PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Dakwaan Rasuah: Khir Diminta Buat Kenyataan Terbuka

Oleh Saidah Hairan

- Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali mencabar Menteri Besar, Dato' Dr Mohd Khir Toyo, membuat satu kenyataan mengenai dakwaan penyelewengan wang rakyat di Dewan Persidangan secara terbuka dan dibahaskan.

Beliau yang juga Adun Sungai Burong mencabar Dr Khir setelah menteri besar itu menafikan penglibatannya dalam menyalahgunakan kuasa serta mengamalkan rasuah, sebagaimana yang dilaporkan oleh Pengarang Majalah Detik, Ahmad Lutfi Othman kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), di Putrajaya, Selasa 23 Oktober lalu.

"Kita akan terus merujuk kepada laporan yang dibuat dan mengharapkan supaya BPR dapat menjalankan penyiasatan dengan telus serta mengambil tindakan ke atas Dr Khir," katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Selangor tahun 2002.

Beliau berkata, Dr Khir merupakan Menteri Besar yang baru berusia 36 tahun dan baru memegang jawatan selama 14 bulan, beliau dikatakan antara orang yang paling bersih di Malaysia terutamanya di Selangor.

Katanya, dakwaan penyalahgunakan kuasa dan amalan rasuah yang dilakukan oleh Menteri Besar amat mengecewakan.

"Mengapa perkara ini berlaku adakah kita mahu rakyat terus hidup berspekulasi, adakah kita mahu tengok rakyat hidup dalam keadaan merenung muka mereka dengan pelbagai andaian yang dibuat?" soalnya.

Menurut beliau, dalam ucapan Belanjawan Negeri Selangor 2002, Dr Khir banyak menekankan `pengurusan yang baik' yang akan dijalankan tetapi di mana prinsip pengurusan tersebut.

"Apabila kita diberi amanah oleh rakyat untuk mentadbir negeri dan negara ini apakah kita dapat jalankan amanah ini dengan baik sebagaimana yang sering disebut oleh Menteri Besar iaitu tentang `insan rabbani'", katanya.

Sehubungan itu dalam ucapan Belanjawan 2001 dan 2002 Menteri Besar banyak menggunakan perkataan yang memberi kesan dalam pembentukan insan, tetapi apakah perkataan itu diamalkan untuk mentadbir kerajaan Negeri Selangor?, tanyanya.

(Harakah Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]