PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Tidak Logik Kalau Meram Yang Dijanji Projek Jalan Sekinchan Dua Tahun Dulu Tidak Boleh Ditarik Balik Jika Rekodnya Buruk

Oleh : AHMAD LUTFI OTHMAN

Selepas mengikuti hujah balas Dr Khir Toyo terhadap ucapan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, Dr Hassan Ali, saya akui Khir memilih pendekatan yang 'bijaksana', iaitu cuba meraih simpati.

Nada suaranya rendah, tidak meninggi, dan banyak memberi peluang Dr Hassan, ADUN PAS Sungai Burung untuk mencelah. Namun begitu, tumpuan lebih kepada isi yang dikemukakan, bukannya retorik bahasa dan pendekatannya.

Pada peringkat awal, saya hanya mahu menimbulkan mengapa Meram Holding dipilih. Apakah hanya kerana ia sebuah kontraktor Melayu dan Khir berbuat demikian untuk membantu orang Melayu? Tentunya tidak. Kalau mahu membantu kontraktor Melayu, banyak lagi syarikat Melayu lain yang perlu dibantu. Tapi, lebih penting dari itu, seperti kata Dr Hassan, yang perlu diutamakan ialah memilih sebuah kontraktor berwibawa, yang mampu menjalankan projek dan harga yang berpatutan, apatah lagi memikirkan tender diberi secara rundingan terus, bukannya tender terbuka.

Baiklah, kita tolak harga kos yang dikatakan terlalu tinggi kerana membabitkan soal rawatan tanah di kawasan gambut bendang itu. Yang kita mahu Khir jawab, mengapa beri projek ini kepada Meram, syarikat yang mempunyai cukup banyak masalah terutama dari segi kewangan. Banyak sub-kontraktor yang membuat kerja-kerja Meram mengadu bahwa mereka tidak dibayar meskipun kerajaan telah membayar penuh kepada Meram.

Baiklah, Khir jawab bahawa projek rundingan terus Jalan Sekinchan itu telahpun dipersetujui dua tahun dulu, dan waktu itu sememangnya rekod Meram baik. Kita belum pasti apakah dakwaan Khir itu benar atau tidak, kita sedang siasat rekodnya dalam masa tempoh dua tahun ini.

Tapi, kalau dirujuk projek membina dan menyiapkan Klinik Kesihatan 3, di Air Kuning, Gemas, Negeri Sembilan yang bernilai RM7.5 juta itu, jelas sekali pada masa sepatutnya ia disiapkan, iaitu 11 Oktober 2000, Meram tidak mampu menyelesaikannya. JKR terpaksa memberi lanjutan masa sebanyak dua kali, bermula 12 Oktober 2000 hingga 16 Januari 2001, itu pun tak dapat disiapkan. Diberi sekali lagi lanjutan masa dari 16 Januari 2001 hingga 31 Julai 2001.

Tapi yang akhirnya menyiapkan projek ini bukan Meram Holding; yang menyiapkannya ialah Kayangan Emas, sebagai kontraktor penyelamat. Begitu juga yang berlaku dalam projek membina Klinik Kesihatan 3, Kuarters 2D, 8F dan 12G di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson. Ia sepatutnya siap pada 27 Februari 2001 tetapi dilanjutkan masa dua kali sehingga 30 Ogos lalu, dan terpaksa disiapkan oleh kontraktor penyelamat juga.

Macam mana Khir sebagai orang yang menandatangani surat tawaran tender tidak boleh tahu prestasi Meram dalam waktu terdekat, sekurang-kurangnya pada penghujung tahun lalu. Tender hanya dikeluarkan secara rasmi pada bulan Mei lalu. Maknanya dalam jangkamasa lebih enam bulan sebulan itu, Meram sudah mengalami masalah yang cukup teruk.

Saya boleh kemukakan beberapa subkontraktor yang sehingga kini masih bermasalah dengan Meram sebagai bahan bukti.

Kalau itulah mekanisme kerajaan negeri memberi projek, maka ia menunjukkan taraf profesionalisme yang cukup rendah. Apakah hanya kerana kita telah berjanji kepada Meram dua tahun lalu, maka kerajaan negeri pimpinan Umno itu akan terus menutup mata dengan segala apa yang berlaku dalam tempoh dua tahun itu?

Ini sesuatu yang cukup serius yang menunjukkan kelemahan paling ketara jentera kerajaan negeri menguruskan wang rakyat. Sepatutnya kerajaan negeri berhak menangguhkan, dan juga membatalkan tender yang telahpun diputuskan jika sesebuah kontraktor itu tidak lagi menunjukkan prestasi yang baik.

Bagi saya, semua yang dicakapkan oleh Khir di Dewan yang mulia itu hanyalah helah dan dalehnya semata-mata. Orang awam pun tahu, sesuatu kontraktor atau perjanjian yang mudah dan tidak membabitkan wang yang banyak pun boleh dibatalkan bila-bila masa jika melanggar syarat, apatah lagi projek di Sekinchan ini membabitkan wang rakyat hampir RM100 juta.

Dan saya tetap mendakwa Khir terbabit memilih sub-kontraktor, Cabaran Wangsa Sdn Bhd, sama ada secara langsung atau tidak. Cabaran Wangsa adalah milik bekas tuan rumah Khir di Sekinchan dulu. Rumah yang disewanya dari jenis Semi-D dan taukeh Cabaran Wangsa itu tinggal bersebelahan dengannya. Orang di Sekinchan tahu bagaimana perniagaan Pua Kim An ini sebelum Khir menjadi menteri besar dan mereka dapat melihat dengan jelas perbedaan kehidupan An selepas Khir jadi MB.

Dan kita persoalkan siapa pula pengarah utama yang memiliki sekurang-kurangnya 51% saham Cabaran Wangsa iaitu Ahmad Termizi Tajjeury, yang beralamat di sebuah rumah lama teres setingkat di No 10, Jalan Sri Cheras 10, Taman Sri Cheras, Bt 9, Cheras? Termizi juga dianugerahkan tanah lebih 100 ekar di Shah Alam dan Kuala Langat.

Dan saya akan kemukakan lagi rekod Meram yang dikatakan baik dalam masa dua tahun dulu itu.

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]