PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Ustaz Sallehin Mukhyi: Khir Patut Kenang Sejarah Hidupnya Sebelum Bertindak Rakus Menyalahgunakan Kuasa

Oleh :Wartawan DetikDaily

Wawancara Detikdaily dengan Ustaz Sallehin Mukhyi, ADUN PAS bagi kawasan Sungai Besar

DETIK: Seringkali kita sering disogokkan dengan dosa-dosa pemimpin khususnya di dalam Umno. Misalnya isu skandal seks agak sinonim dengan kepimpinan BN. Namun soal rasuah ditimbulkan ia kurang mendapat tempat di kalangan masyarakat. Dikatakan sensitivitinya amat kurang. Bukankah soal rasuah lebih hebat dan yang membabitkan amanah rakyat yang telah diselewengkan oleh pemimpin.

SALLEHIN: Saya mengakui isu rasuah sudah menjadi satu kebiasaan. Saya suka menyebut dalam konteks bermula peringkat kepimpinan bermula menteri besar Selangor. Lebih kurang 12 menteri besar pertama bermula Raja Tunku Uda sehingga Dato' Abu Bakar Baginda. Nampaknya era tersebut adalah cemerlang dan ia boleh diterima oleh masyarakat. Bagaimanapun, muktahir dalam zaman Dato' Harun, Muhamad Taib dan terakhir Dato' Abu Hassan Omar. Memang pernah disebut kerusi MB Selangor memang panas.

Sebagai pemimpin mereka perlu berhati-hati terutama sekali soal kepimpinan. Ini kerana masyarakat sudah bijak melakukan perbandingan khususnya PAS sendiri sudah ada negeri yang diperintah misalnya Terengganu dan Kelantan.

Masyarakat bijak membuat perbandingan antara kepimpinan PAS dan BN. Misalnya soal rasuah wujud atau tidak. Samada isytihar harta atau tidak. Perbandingan ini adalah paling mudah untuk dilihat oleh masyarakat.

Semakin banyak masalah rasuah ini semacam dilindungi. Hal ini tidak mendapat tempat kerana tiada pihak berani mendedahkannya. Barangkali kebanyakkan lebih pentingkan kedudukan dan keselesaan.

Maka itu sebab itu rasuah ini seperti dilindungi dan ia merebak dalam keadaan senyap.

DETIK: Sejauhmana isu rasuah berjaya diekploitasi supaya ia menimbulkan kesedaran masyarakat.

SALLEHIN: Sedikit-sebanyak kesedaran masyarakat sudah ada. Kita tidak menafikan, kejayaan pemimpin diperolehi menerusi cara menipu. Bagaimanapun, ia tidak berjaya lama-kelamaan masyarakat akan tahu juga.

Masyarakat yang terdedah dengan pengetahuan lebih-lebih penggunaan teknologi maklumat tanpa sempadan. Maka ia mendedahkan masyarakat dengan isu-isu penyelewengan. Lama-kelamaan masyarakat mempunyai kesedaran dan melahirkan golongan cerdik pandai. Cumanya usaha dari pihak yang melakukan rasuah telah lama disembunyikan sekian lama.

Saya hendak sebut di sini, mereka hanya akan berjaya dalam masa yang pendek. Dalam jangka masa yang panjang disamping kesedaran masyarakat hari ini yang ingin melihat kepimpinan yang lebih telus. Cuba kita lihat, sekian lama pemerintahan negeri Selangor sememangnya tidak henti-henti dibelenggu dengan isu rasuah, pecah amanah, salah laku. Disamping isu mufti, isu skandal. Ini sebagai satu pengajaran khususnya rakyat negeri Selangor untuk melihat satu pentadbiran yang betul-betul bersih dan telus.

DETIK: Kembali kepada isu awal tadi. Projek kontroversi yang diluluskan MB Selangor, khususnya yang dianugerahkan kepada Meram Holdings, syarikat bermasalah, dikatakan berdekatan dengan kawasannya. Mungkin ustaz ada maklumat lebih lanjut tentang isu ini lagi.

SALLEHIN: Setakat ini memang saya menerima pelbagai maklumat tentang hal tersebut. Kadang-kadang untuk menyebarkan maklumat memerlukan masa yang terbaik untuk dikemukakan. Namun tidak dinafikan terdapat beberapa kes yang kita terima terus di bawa ke Biro Pengaduan Awam.

Ada juga sesetengah maklumat telah didedahkan oleh media cetak. Terutama sekali isu yang hangat diperkatakan tentang pembinaan jalan. Terdapat dua jalan di Sekinchan dan Sungai Panjang. Kita melihat dari sudut perbelanjaan memang sesuatu yang tidak munasabah. Projek ini jauh lebih besar daripada anggaran JKR sendiri. Ini sesuatu yang meragukan kelihatan ada pihak cuba mengaut keuntungan lebih banyak. Saya mendapat maklumat tentang penjualan tanah Yayasan Selangor. Saya telah mendapat salinan beberapa keping cek yang menyebut tentang penjualan tanah Yayasan sebanyak 500 ekar. Tanah tersebut tidak di sebut sebagai penjualan tetapi difahamkan usahasama untuk membangunkan tanah Yayasan yang berharga RM150 juta.

Bagaimanapun, saya telah dimaklumkan oleh Bank Islam, cek pertama adalah cek tendang berjumlah RM15 juta. Dan beberapa aduan tentang wang zakat khususnya digunakan untuk program Orang Asli bukan Islam. Digunakan membeli barang dalam bentuk televisyen dan sebagainya. Jika benar perkara ini berlaku, maka kita bertanya kepada pihak terbabit asnaf mana satu yang digunakan pakai.

Asnaf mana yang dibolehkan membeli set televisyen dengan menggunakan wang zakat? Hal ini pernah saya timbulkan dalam sidang Dun lepas. Tetapi sehingga sekarang tidak dijawab. Samada tak mahu jawab, tidak dijawab atau tak teringat untuk menjawab. Wallauaklam.

DETIK: Selain ustaz menyebut tentang penyalahgunaan kuasa, mungkin ustaz ada sumber-sumber lain tentang penyalahgunaan kuasa MB Selangor lagi.

SALLEHIN: Menyebut tentang MB Selangor Khir Toyo, peringkat awal beliau jadi MB, saya orang paling gembira berdasarkan beberapa kenyataan beliau yang cukup melegakan. Antaranya disebut dalam majalah Massa 26 Oktober 2000 dan menyebut beliau tidak akan terpikat dengan kemewahan tetapi lebih mementingkan kerohanian jiwa. Begitu juga dalam pembentangan belanjawan amat berlainan dengan menteri besar Selangor sebelum ini. Beliau tampilkan dengan istilah-istilah masyarakat rabbani, masyarakat rabbani. Disamping menyusul konsep 6 M. Pertama musyarhatah bermaksud pentadbiran mengikut lunas Islam, muraqabah bermaksud pengurusan yang dapat merapatkan diri dengan Allah, muhasabah, mua'qabah, mujahadah dan mua'tabah bererti tegas.

Konsep ini yang cuba digunakan. Bagaimanapun, hampir setahun beliau menjadi MB Selangor dengan konsep 6 M yang dibawa.

Cuba kita lihat masjid makin lama makin sepi. Kemudian dengan tindakan-tindakan menghalang ustaz dan ulamak termasuk saya sendiri menyampaikan ceramah di surau ataupun masjid. Dengan alasan tiada tauliah. Apabila kita memohon tauliah tidak mahu dikeluarkan pula. Hal ini amat bertentangan dengan prinsip beliau sendiri.

Jelas ketegasan Islam yang disebut oleh beliau selama ini yang begitu bersungguh-sungguh, adakah dengan perbelanjaan 1 kilometer berharga RM 4.5 juta. Menampakkan beliau cukup mujahadah untuk mengaut keuntungan sebanyaknya. Kita tak tahu pula masuk dalam kategori mana? Samada musyaratah atau muraqabah?

Bagaimanapun, saya sendiri memiliki dokumen dari JKR dan ia ditandatangani oleh Khir Toyo sendiri. Salinan tersebut daripada pejabat JKR dan telah sampai ke tangan saya. Saya melihat Selangor satu-satu negeri yang terdedah dengan pelbagai skandal malah barangkali sudah menjadi stereotype di kalangan menteri besar Selangor sebelum ini. Mungkin peringkat awal beliau ingin membina kekuasaan komuti bagi membanteras gejala sosial.

Bagaimanapun, saya dilaporkan gejala sosial bertambah meningkat semenjak enam bulan kebelakangan ini. Beliau juga turut dikaitkan telah melakukan perjanjian dengan rakyat Cina Sungai Burung dan Sungai Besar untuk menyelesaikan isu tanah. Beliau berjanji untuk memberi geran tanah. Saya telah didatangi oleh orang yang terlibat dan mengadu tentang geran tanah yang telah dijanjikan tiga bulan. Sehingga hari ini sudah tujuh bulan bayangnya pun tak nampak. Ini menimbulkan kemarahan mereka. Dan mengatakan MB sudah berbohong kepada mereka. Hal ini akan di sebut dalam sidang Dun, kemudian akan dibuat surat susulan. Dan sidang Dun akan berlangsung pada 29 Oktober 2001.

DETIK: Apakah isu-isu yang lebih spesifik yang ustaz akan bawa ke dalam sidang Dun kali ini?

SALLEHIN: Sebenarnya isu terlalu banyak. Cuma kadang-kadang sikap acuh tak acuh mereka untuk mendengar pandangan dan pendapat kita. Bayangkan masa yang diperuntukkan hanya 10 minit dan terlalu banyak perkara yang hendak disebut. Kalau boleh mesti ada satu pengecualian dari segi pembayaran air. Saya melihat masyarakat di Sungai Besar dan Tanjung Karang masih ada lagi masyarakat minum air parit. Walhal kita sudah merdeka 40 tahun tidak munasabah betul jika masyarakat masih minum air parit.

Berbalik soal rasuah, memang agak sukar untuk ditonjolkan. Ia terasa sukar kerana rasuah ini adalah perkara yang sering dilindungi. Sememangnya, kalau kita melihat Umno yang sering didakwa sebagai tulang belakang negara, tetapi parti itu paling banyak menyembunyikan rasuah yang dilakukan. Bagaimanapun, saya percaya mereka dalam soal rasuah dan tindakan yang banyak menimbulkan kemarahan masyarakat. Seolah-olah Umno dan BN tidak sabar ingin meninggalkan Selangor. Begitu banyak mereka mengaut keuntungan, soal rasuah yang bermaharajalela tetapi cuba disembunyikan.

Sebenarnya, maklumat-maklumat yang kita perolehi kebanyakannya daripada orang Umno juga. Dan soal rasuah, telah banyak menyusahkan rakyat. Sedikit masa dahulu, kita pernah sebut isu Dato'Abu Hassan Omar, kita berjaya bentangkan dalam sidang Dun. Sehingga hari ini jawapan diberikan mengecewakan sekadar disebut tiada kes. Walhal kita sudah minta melakukan ujian DNA. Apabila kita bercakap, mereka menghalang dan mengganggu. Jawapan yang diberikan, kes sudah selesai, tiada bahan bukti yang hendak dibawa. Begitu juga isu kerajaan negeri melaburkan sebanyak RM200 juta di Perbadanan Nasional Berhad (PNB). Dan 20 peratus daripadanya dilaburkan kepada Hup Seng, kemudian dilaburkan pada syarikat Carlsberg. Ada juga, sebahagiannya dilaburkan terus kepada Genting Bhd.

Hal ini telah kita bentangkan dalam sidang Dun, meminta kerajaan mengkaji semula soal halal dan haram. Ini kerana hasilnya menjadi makanan rakyat. Dan sehingga hari ini, beliau beritahu hendak membawa perkara ini kepada mufti. Kalau betul-betul, beliau bersungguh-sungguh dengan konsep 6 M tersebut. Matlamat hendak membawa masyarakat rabbani, sepatutnya perkara-perkara begini perlu didahulukan.

Beliau boleh bentuk satu jawatankuasa dikalangan ulamak-ulamak dan cerdik pandai yang bertindak sebagai pentadbiran yang mendidik rakyat. Nampaknya, bukan mendidik rakyat tetapi dirinya dia sendiri tak dapat didik.

DETIK: Dalam internet menyebut, rumah MB Selangor kelihatan mewah secara drastik. Ini berlaku selepas beliau baru sahaja memegang tampuk kuasa. Komen ustaz tentang perkara ini.

SALLEHIN: Kediamannya terletak di Sungai Panjang yang dibina ketika sebelum menjadi MB. Bagaimanapun setelah menjadi MB, kita menjadi menghairankan dalam masa yang singkat pengubahsuaian rumah telah dilakukan. Rumah tersebut terletak bersebelahan dengan markaz PAS.

Saya sebagai wakil rakyat, mempunyai elaun atau pendapatan serupa sepertinya pun tidak mampu untuk membina rumah sedemikian rupa. Mungkin sebelum ini beliau bekerja sebagai doktor gigi. Tetapi membina rumah dalam waktu yang singkat agak mengejutkan. Ini menimbulkan banyak persoalan khususnya penduduk Sungai Panjang sendiri.

Sepatutnya rakyat yang berada dalam Dun Menteri Besar akan berasa seronok, hakikatnya selepas beliau menjadi Menteri Besar, paling kurang Dun Sungai Panjang sudah berjaya menubuhkan empat cawangan baru PAS. Sepatutnya cawangan Umno yang semakin banyak ditubuhkan memandangkan ia adalah Dun Menteri Besar.

DETIK: Kita tidak menafikan kubu kekuatan PAS Selangor di Tanjung Karang dan Sabak Bernam. Kemenangan Khir Toyo sebelum ini tergugat sebanyak 165 undi. Namun kemasukan pembangunan moden dan projek rakyat akan membina imej Menteri Besar Selangor kembali. Kemungkinan PAS, akan hadapi saat-saat getir.

SALLEHIN: Kita perlu tahu, kini isunya bukan soal projek. Rakyat tahu, mana-mana kerajaan yang memerintah mesti mengadakan projek. Kalau melihat kawasan seperti di Kuala Selangor, Sabak Bernam, Tanjung Karang antara kubu kuat pembangkang, persoalan tempat ini jauh ketinggalan tidak timbul.

Bagaimanapun, faktor paling penting kawasan ini banyak melahirkan golongan lulusan agama. Cuba kita lihat sebahagian besar di jabatan agama Islam Selangor adalah masyarakat di sini. Oleh demikian, selepas daripada pemecatan Dato' Mufti, kesan besar cukup dirasai oleh masyarakat yang cintakan agama. Maka tidak hairan tempat ini menjadi kubu kuat PAS. Sememangnya tidak dinafikan, banyak projek telah turun ke sini. Bagaimanapun sokongan masyarakat Sabak Bernam dan Sungai Besar tetap berterusan menyokong terhadap pembangkang. Saya tidak menafikan, Selangor bergerak dengan projek namun dalam masa yang sama beliau meruntuhkan projek kerohanian. Lihatlah masjid-masjid tiada program kerohanian. Sepatutnya semakin dirancak dan dimakmurkan kini ia semakin sepi.

Misalnya golongan belia dan remaja semakin berkurangan di masjid-masjid. Sepatutnya peruntukan yang turun bukan semata-mata RND tetapi perlu penekanan terhadap pembentukan binaan insan. Apa dilihat hal ini tidak berlaku malah semakin berkurangan.

DETIK: Adakah isu-isu ini berjaya menggugat kedudukan Menteri Besar Selangor Khir Toyo.

SALLEHIN: Saya berkeyakinan, sekiranya menteri besar yang ada sekarang bersikap stereotype sebagaimana menteri besar Selangor yang lalu. Sememangnya kedudukan tersebut tidak lama. Jika benar dengan perkara yang berlaku, saya pasti beliau tidak lama berada di kerusi menteri besar Selangor.

Kita perlu tahu, negeri Selangor adalah sebuah negeri elit yang dipenuhi dengan orang bijak pandai. Oleh demikian pentadbiran beliau mesti bersikap profesional. Jika beliau ingin mendapat sokongan rakyat, pentadbiran beliau mesti telus apabila berlaku banyak penyelewengan mesti didedahkan dan diatasi segera. Kita lihat sekarang, soal rasuah ditutup begitu sahaja. Saya yakin, hal ini mengundang kesan besar terhadap kredibiliti beliau sebagai menteri besar Selangor.

DETIK: Sejauhmana penilaian secara peribadi ustaz tentang Menteri Besar Selangor?

SALLEHIN: Sebenarnya,saya sendiri tidak begitu mengenali beliau secara rapat sebelum menjadi wakil rakyat. Mungkin secara kebetulan, Dun saya berjiran dengannya. Sebelum ini beliau sendiri tiada pengalaman dalam soal pentadbiran. Kita semua sedia maklum, beliau hanya ada pengalaman membuka klinik sendiri kemudian bertanding sebagai wakil rakyat

Sememangnya, beliau tidak banyak pengalaman lebih-lebih lagi, sebagai anggota kerajaan. Tidak dinafikan, beliau dikelilingi oleh orang-orang penasihat undang-undang. Berdasarkan laporan akhir-akhir ini tentang beliau, berkaitan dengan isu pemberian projek dan tanah. Samada isu ini benar atau tidak, beliau mesti menjawab. Jika tiada angin masakan pokok boleh bergoyang. Jika hal ini tidak betul, beliau mesti membuat laporan polis.

Sepatutnya, sebagai orang baru beliau mesti lebih banyak belajar dengan orang lama. Mungkin tindakan muktahir, dilihat sebagai orang muda yang hendak cepat naik. Sepatut sebagai orang muda beliau perlu banyak bersabar. Maksud saya, jangan jadi menteri besar yang terlalu gelojoh.

Tidak pernah lagi menteri besar Selangor sebelum ini menghalang ustaz-ustaz dan menteri besar Kelantan dan Terengganu daripada datang berceramah di negeri Selangor. Sekarang terlalu banyak cerita tentang beliau, umpamanya Jais, telah menganjurkan satu program untuk pelajar sekolah iaitu pidato serba boleh bersama Biro Penerangan Umno Negeri Selangor, tajuk yang disediakan `Wan Azizah Pengkhianat Negara', PAS Pakar Fitnah', `Ezam Pencetus Huru-Hara'. Malah tidak kurang juga, pengetua yang turun sebagai guru biasa kerana semata-mata dituduh membawa suara pembangkang. Sebenarnya, tindakan beliau bukan menguntungkan tetapi mengundang kemarahan rakyat. Dalam masa pendek mungkin beliau berjaya tetapi jangka masa panjang merugikan politiknya sendiri.

DETIK: Berbalik isu dakwaan rasuah tadi, apa tindakan PAS kawasan seterusnya.

SALLEHIN: Kita sedang meneliti kes tersebut. Hal ini dalam perbincangan disamping isu lain lagi. Saya yakin lebih banyak lagi isu-isu lain yang akan timbul selepas ini. Kita pun sudah sedia maklum, bahawa musuh Umno ada dalam parti Umno sendiri. Kemungkinan beberapa isu akan dibangkitkan berdasarkan beberapa perkara yang munasabah.

Di kalangan rakyat, isu dakwaan rasuah ke menteri besar Selangor sudah diketahui oleh mereka. Apatah lagi telah diterbitkan oleh media dan disiarkan dalam laman internet. Sememangnya rakyat sudah bijak, mereka sering bertanya tentang isu-isu berbangkit. Mereka ingin mengetahui sejauhmana kebenarannya.

DETIK: Kesimpulannya..saranan ustaz terhadap MB Selangor.

SALLEHIN: Pertama sekali, sebagai seorang menteri besar yang mengendalikan sebuah negeri.

Tambahan pula, negeri yang amat disayangi dan dianggap nyawa kepada BN. Beliau jangan hanya melihat dirinya sebagai menteri besar semata-mata. Jangan melihat keuntungan peribadi adalah segala-galanya.

Lebih lagi, beliau orang muda tetapi mengecewakan apabila potensi disalutkan dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan melingkari dirinya. Maka tidak mustahil dirinya cepat naik dan cepat pula turun. Di samping itu, pertuturan beliau tidak kering dengan ayat-ayat al-Quran, biarlah apa yang disebut sama yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Jangan ingat perkara ini main-main. Ayat yang dituturkan adalah dari sifat tasawuf dan jenis di kalangan orang bangun malam. Hakikat yang berjalan ini, tidak menggambarkan hasrat 6 M yang di canangkan oleh beliau selama ini. Latarbelakang beliau yang juga orang kampung, maka renungilah kembali diri tersebut.



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]