PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Dr. Shafie Abu Bakar:Bertindak Sendirian Punca Masalah

Oleh : Wartawan DetikDaily

Wawancara khas dengan ADUN Kajang, DR SHAFIE ABU BAKAR, pada 18 Oktober 2001 mengenai isu-isu berkaitan salahguna kuasa Dr Khir Toyo

Tanggapan awal Dr apabila terdengar dakwaan rasuah Menteri Besar Selangor.

SHAFIE: Apabila beliau dilantik menjadi Menteri Besar Selangor setahun lalu, kita mengharapkan akan muncul seorang MB yang baik dan dinamik. Apatah lagi, beliau adalah di kalangan orang muda. Jadi, bila mendengar dakwaan yang negatif mengenainya, ia amat mengecewakan. Bagaimanapun, dakwaan itu masih dalam penyiasatan dan belum terbukti lagi. Soalnya, melihat dokumen yang didedahkan, bagaimana beliau boleh memberi tanah kepada individu tertentu dengan jumlah yang banyak. Begitu juga dengan kos membina jalan di Sekinchan yang begitu tinggi. Ini menunjukkan petanda kurang baik dalam perjalanan pentadbiran kerajaan negeri di bawahnya. Apa yang dilaporkan itu mungkin hanya segelintir yang kita tahu. Saya bimbang banyak lagi penyelewengan dan salahguna kuasa yang berlaku. Dulu, ramai heboh tentang politik wang, kini politik tanah pula yang meluas. Ia tidak mengejutkan kerana tanah di Selangor ini cukup mahal harganya. Pengagihan tanah hanya berlegar di sekitar kroni tertentu sahaja. Dari segi lain, kita tidak menjangkakan Khir Toyo akan turut mengikut jejak langkah menteri-menteri besar Selangor yang lalu. Ramai orang tahu salahlaku MB terdahulu. Di kawasan saya sendiri, ramai menyebut tentang tanah-tanah tertentu dimiliki oleh kroni-kroni menteri besar tersebut. Malah banyak kes yang dapat dibuktikan.

Pernah heboh sedikit masa lalu, Dr Khir Toyo hendak meruntuhkan bangunan PKNS Shah Alam. Apa sebenarnya berlaku dengan isu itu? .

SHAFIE: Kita boleh lihat kadangkala tindakan Khir Toyo kurang matang. Kita tidak mengatakan beliau hendak meruntuhkan bangunan PKNS, sebaliknya beliau sendiri yang menyebut-nyebut hendak meruntuhkannya digantikan dengan bangunan Triple Towers.

Oleh itu, kita kritik mengapa bangunan PKNS yang baru mesti diruntuhkan. Selepas kritikan tesebut, nampaknya beliau jawab lain pula. Kata Khir Toyo, bukan kerajaan Selangor hendak runtuh, tetapi pembangkang yang mereka-reka fitnah. Ke situ pula jadinya.

Tetapi kita telah buktikan melalui keratan kenyataan akhbar yang pernah disebutnya sendiri. Dan tentunya beliau tidak boleh menafikannya. Nampaknya dalam hal ini beliau akur dengan cakap kita, memandangkan di Shah Alam masih terdapat banyak tanah kosong lagi. Kita juga turut mengkritik pengurusan wang zakat.

Rakyat Selangor sudah pasti muak dengan rangkaian skandal yang menimpa Menteri Besar mereka. Dan kedatangan MB Selangor baru, yang masih muda dan memiliki semangat bekerja yang tinggi, sedikit sebanyak mengubati kedukaan mereka, apatah lagi apabila Khir mengemukakan pelbagai pendekatan baru untuk lebih dekat dengan rakyat, antaranya mengamalkan konsep 6M dalam pentadbiran kerajaan negeri. Tapi, malang sekali, impian hebat itu dicemari dengan sekali lagi dakwaan MB terbabit dengan skandal rasuah.

SHAFIE: Sebenarnya konsep 6M yang cuba diterapkan hanya sekadar cakap-cakap Dr Khir saja. Dari segi praktikalnya, kosong. Beliau mengambil atau membaca dari sumber tertentu sahaja tetapi tidak memahaminya secara menyeluruh. Kita mengkritik konsep yang dibawanya, yang merupakan konsep yang diperjuangkan Anwar Ibrahim.

Apa yang mengecewakan, beliau tidak mampu mempratikkannya dalam bentuk yang lebih baik. Saya tidak nampak sistem pentadbiran di bawah beliau berjaya diaplikasikan. Walaupun MB Selangor orang muda dan kelihatan bersemangat tinggi, dan menerajui sebuah negeri yang termaju di Malaysia, namun harus diakui banyak kelemahan yang mesti diakui dan dicari jalan penyelesaian. Misalnya saya lihat jentera pentadbiran kerajaan tidak didasarkan kepada satu perancangan yang konkrit. Khir Toyo dengan konsepnya tetapi bagi anggota Exco lain, mereka memiliki pendekatan berbeda-beda, menurut kehendak masing-masing. Setiap program dan tindakan tetap mengikut acuan lama, kadangkala secara ad-hoc. Idea-idea baru yang membina sering diketepikan.

Misalnya apabila kita timbulkan isu-isu ini dalam sidang DUN, dengan pelbagai soalan membabitkan kepentingan rakyat, tetapi jawapan yang diberi cukup mengecewakan. Sepatutnya projek-projek penting, seperti perancangan luar luar bandar dibuat untuk, misalnya, dalam jangka masa lima tahun, dan ia perlu dibukukan.

Dengan itu agak mudah untuk kita membuat penilaian nanti. Saya melihat negeri Selangor ini memang kaya dengan khazanah alam tetapi pemimpinnya miskin dari segi idea.

Selain isu-isu tadi, mungkin ada kes-kes lebih spesifik membabitkan Dr Khir Toyo sepanjang memerintah negeri Selangor lebih setahun.

SHAFIE: Sebenarnya, persidangan DUN Selangor begitu terhad. Masa yang diberikan amat terbatas untuk diutarakan pelbagai soalan terhadap Dr Khir. Misalnya, masalah tanah di Selangor amat kritikal, manakala tanah rizab dan hutan simpan sudah mula diteroka. Oleh itu, tempat tadahan air berkurangan.

Sepatutnya proses kelulusan tanah perlu dikawal. Apa yang saya dengar, di zaman Khir Toyo ini, kelihatan begitu mudah beliau meluluskan tanah-tanah tanpa memikirkan natijah pada masa akan datang. Contohnya, beliau meluluskan beberapa tanah kepada seorang individu semata-mata. Perkara ini tidak wajar berlaku. .

Ada yang membabitkan h tanah rizab pula, seperti taman permainan di Taman Cuepacs, Hulu Langat. Sebenarnya, masyarakat di situ marah kepada kerajaan Selangor, kerana sebuah taman permainan kanak-kanak tiba-tiba diarahkan runtuh dan dibina bangunan kedai empat tingkat. .

Masalah pencemaran memang ketara di mana-mana termasuk Hulu Langat. Begitu banyak aduan yang dibuat tetapi nampaknya pihak atasan tidak bertindak apa-apa malah aduan akhirnya tinggal aduan sahaja. .

Mungkin ada nasihat Dr kepada Dr Khir Toyo ….

SHAFIE: Sebagai orang yang menjaga kepentingan rakyat dan negeri Selangor, setiap tindakan yang hendak dilakukannya mestilah lebih berhati-hati. Paling penting, setiap perkara yang besar perlu dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri, supaya keputusan yang diambil bukan secara perseorangan atau berdasarkan kepentingan kelompok tertentu. .

Ini kerana jika tidak dibawa ke DUN, pembangkang tidak diberi peluang memberi pendapat dan kritikan. Jika dibahaskan di DUN, perbincangan boleh dilakukan bersama. .

Saya ingatkan Khir Toyo, jangan sesekali suka bertindak sendirian. Misalnya, hal yang berlaku dengan bangunan PKNS, itu semua pemikiran beliau seorang sahaja. Beliau tidak membawa isu ini untuk perbincangan umum. Dan saya rasa, tidak mustahil dalam kes berkaitan kelulusan permohonan tanah, beliau sendiri yang memutuskannya dengan tidak mengambil pendapat pihak lain. .

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]