PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Bayangkan BN Terus Memerintah Negara Tanpa Selangor

Oleh : Wartawan DetikDaily

SETIAUSAHA Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan dakwaan rasuah ke atas Menteri Besar Selangor bukan isu yang mengejutkan.

"Perkara maksiat tidak mengenal sesiapa, tidak kira pekerja bawahan ataupun pemimpin tertinggi sesebuah negara," tambahnya. Hanya keteguhan iman dan taqwa sebagai benteng kekuatan dalam setiap diri insan mampu menyekat gejala buruk itu.

"Manusia mudah gelap mata, apatah lagi dilonggok wang beratus juta ringgit di depan mata, dan bidang kuasa yang boleh menentukan segala-galanya," ujar Nuridah lagi.

Ditanya MB Selangor yang begitu petah menuturkan ayat-ayat al-Quran dan sentiasa menyeru ke arah penghayatan beragama, beliau berkata: "Dari segi bercakap, semua orang boleh bercakap. Tapi bagaimana dengan perlaksanaannya? Semuanya tidak lebih indah khabar dari rupa."

Dalam Islam, tegas Nuridah, iman mengandungi tiga unsur, percaya dengan hati, tutur dengan lidah, laksanakan dengan perbuatan. "Apabila ada ketiga-tiga faktor ini, barulah disebut iman yang sempurna," katanya

Beliau turut kecewa dengan tuduhan korupsi itu, sambil menambah, "lebih dikesali kerana ia kerap berlaku di Selangor, negeri yang memiliki khazanah kekayaan paling besar di Malaysia, yang sepatutnya ditadbir dengan telus dan bersih."

"Sepatutnya," tambah Nuridah, "Khir mengambil iktibar kesilapan kesalahan MB lalu, yang jatuh kerana rasuah dan salahlaku."

Katanya, ini mungkin kerana tiada tindakan undang-undang dibuat ke atas mereka secara terbuka melainkan meletakkan jawatan. Dengan itu, tambahnya, MB baru tidak terasa untuk belajar kisah silam sebaliknya semakin rakus melakukan dosa dan pecah amanah terhadap kepercayaan rakyat.

Bagi Dr Mariah Mahmud, Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, dakwaan rasuah membabitkan pemimpin utama kerajaan banyak bergantung kepada kesungguhan BPR memulakan siasatan secara menyeluruh, jujur dan telus.

"Dan Khir tidak perlu takut jika beliau rasa tidak bersalah," tegas Mariah. "Jika Khir seorang amanah dan jujur, apabila berita awal tentang dakwaan rasuah dihebahkan sepatutnya beliau sudah membuat laporan polis menyangkalnya.". Mariah menegaskan lagi, isu rasuah, amalan pilih kasih dan salah guna kuasa sudah menjadi barah yang menular dalam kepimpinan atasan kerajaan BN. "Lihat saja, tidak putus-putus skandal yang dilakukan MB Selangor. Mentang-mentang negeri itu kaya, pemimpinnya sibuk mengumpul harta."

"Perkara ini cukup mengecewakan dan memalukan warga Selangor," tambahnya.

"Apa pun, ingin saya ingatkan, BPR harus bertindak sebagai badan yang benar-benar bebas, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak bagi menutup amalan rasuah yang bermaharajalela sekarang," tegasnya lagi.

Menurut seorang veteran politik Umno yang tidak mahu namanya disiarkan, tingkah laku Khir sebagai MB akan menjerumuskan BN Selangor ke jurang kekalahan dalam pilihan raya akan datang.

"Dalam pilihan raya lalu, banyak kawasan yang BN menang dengan majority tipis, termasuk Sungai Panjang, kawasan Khir sendiri. PAS pula, menerusi Projek Tawan Selangor (PINTAS) mengatur persiapan rapi.

"Saya tidak dapat membayangkan, bagaimana BN boleh memerintah Malaysia, apabila jantungnya, Selangor jatuh ke tangan parti lawan. Sebagai orang tua, saya ingatkan PM supaya bertindak cepat merawat penyakit yang bertambah parah ini," katanya serius.

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]