PARTI KEADILAN NASIONAL
Pemuda keADILan Selangor
Gadis 20 Tahun Dapat Tanah 50 Ekar

Oleh : Wartawan DetikDaily

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) harus memberi tumpuan kepada empat kes utama dalam siasatannya terhadap aduan aktivis media, Ahmad Lutfi Othman bahawa Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo disyakki terbabit dengan salah guna kuasa.

Pertama, bagaimana Khir boleh memilih kontraktor bermasalah yang mempunyai rekod buruk, sehingga tiga projek di bawahnya terpaksa disiapkan oleh kontraktor penyelamat, untuk membina jalan di Sekinchan, berharga RM92.5 juta hanya untuk sepanjang 20.5km. Nilai projek itu terlalu tinggi berbanding taksiran JKR yang tidak sampai pun separuh darinya.

Kedua, bagaimana Khir yang mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor, pada 20 Disember 2000 boleh meluluskan permohonan tanah seluas 400 ekar di Bukit Cherakah, Shah Alam, kepada empat syarikat yang mempunyai seorang pengarah yang sama.

Ketiga, bagaimana Khir yang juga mempengerusikan mesyuarat Exco, pada 4 Julai 2001, meluluskan tanah di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat, setiap satu 50 ekar, kepada tiga syarikat, yang mana pengarah-pengarahnya hanya berumur 20 tahun, dan untuk satu lagi syarikat, pengarahnya berumur 22 tahun.

Keempat, bagaimana kelulusan boleh diberikan kepada pemohon tanah secara berulang kali. Selain itu, isu-isu yang perlu difokuskan BPR ialah bagaimana Khir selepas empat bulan menjadi MB melangsaikan pinjaman rumahnya sebanyak RM150,000 tunai. Beliau juga didakwa meluluskan pinjaman peribadi Sultan Selangor sebanyak RM6 juta tanpa melalui prosedur, dan bayaran dibuat dalam masa 24 jam. Khir turut didakwa menggunakan pengaruh dan kuasanya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapat sebidang tanah dengan harga murah di Shah Alam.

Menurut Lutfi, beliau telah melakukan siasatan bersama kumpulan wartawan Penerbitan Pemuda, selama lebih dua bulan dan mendapati banyak perkara-perkara yang boleh mendatangkan syak yang kuat bahawa Menteri Besar Selangor telah menyalahgunakan kuasanya.

"Bayangkan, seorang anak gadis berumur 20 tahun, boleh menjadi pengarah syarikat yang memohon tanah bernilai tinggi, dan permohonan itu diluluskan Khir," tegas Lutfi. "Selepas kami membuat carian di Pendaftar Perniagaan, rupa-rupanya beliau menyewa rumah pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Cheras. Saya syak beliau hanya menjadi penama bagi pihak lain yang berkepentingan. Dan mungkin beliau sendiri tidak tahu menahu hal ini."

Seterusnya, kata Lutfi, beliau mendapati seorang pengarah syarikat yang berjaya mendapat 50 ekar tanah di Shah Alam, juga mendakwa tidak tahu langsung tentang tanah berkenaan. "Kami menghubunginya, seorang surirumah berumur 27 tahun, di Pandan Jaya, dan beliau terkejut bila diberitahu hal ini," jelas Lutfi lagi.

Harus diingatkan, tambah Lutfi, segala butiran yang diperolehinya itu hanya berdasarkan kelulusan permohonan tanah yang dibuat oleh tiga mesyuarat Exco, yang dipilihnya secara rawak. "Khir mempengerusikan mesyuarat Exco tentunya lebih 50 kali, jadi entah berapa banyak tanah yang diluluskan dalam semua mesyuarat lain itu, dan tidak mustahil berlaku kes-kes serupa, malah mungkin lebih dahsyat," tambah Lutfi.

Selain itu, tegasnya, beliau juga meninjau keadaan rumah seorang pengarah syarikat yang mendapat tanah berulang kali, di Taman Sri Cheras. Pengarah itu turut menjadi pengarah yang mempunyai saham terbesar dalam syarikat yang sebenarnya membina jalan di Sekinchan.

"Keadaan rumahnya langsung tidak menampakkan beliau pengarah utama kontraktor kepada projek bernilai hampir RM100 juta," kata Lutfi. "Saya syak, beliau juga menjadi penama kepada pihak yang rapat dengan Menteri Besar."

"Saya juga," kata Lutfi, "menerima panggilan telefon memberitahu, ada seorang yang namanya yang disiarkan dalam aduan saya kepada BPR, menafikan beliau terbabit dengan mana-mana syarikat yang disebutkan.

"Saya yakin banyak lagi kes-kes di manasyarikat yang berjaya mendapat tanah dan projek di Selangor membabitkan nama orang yang langsung tidak tahu menahu tentang perkara berkenaan. Saya sedang mengumpul maklumat berkenaan."

(Detik Daily)



[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Laman Utama ] [ Atas ]