SHAH ALAM- Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Besar, Ustaz Sallehen Mukhyi
memberitahu, peningkatan sokongan rakyat terhadap PAS, di kawasan yang diwakili oleh
Menteri Besar Selangor, iaitu di kawasan Sungai Panjang, Tanjong karang, cukup
membanggakan.
"Walaupun penduduk di situ mempunyai wakil rakyat yang menyandang jawatan Menteri
Besar tetapi melihatkan pendedahan rasuah Khir yang melampau itu membuatkan mereka
bertekad untuk menolaknya dalam pilihan raya akan datang," tambah Sallehen, yang juga
Ketua Pemuda PAS Selangor.
Dalam pilihan raya 1999, Khir hanya menang dengan majoriti tipis, lebih kurang 150 undi.
Justeru pembangkang hanya memerlukan peralihan sokongan daripada pengundi BN tidak pun
sampai 100 undi.
"Kami akan memperhebatkan lagi kempen gerak-gempur mendedahkan lagi isu salahguana
kuasa dan penyelewengan Khir dalam waktu terdekat, khususnya sebelum sidang DUN Selangor
yang dijadualkan bermula 30 Mac ini," tambah Sallehen.
Katanya, kawasan Sungai Panjang merupakan antara kawasan yang paling subur buat PAS, yang
menyaksikan banyak cawangan-cawangan baru PAS ditubuhkan.
Tinjauan yang dibuat di sekitar Pekan Tanjong Karang mendapati banyak risalah berjudul
"9 Kes Rasuah Khir Toyo" diedarkan kepada orang ramai, termasuk ditampal di
tempat-tempat strategik.
Di beberapa masjid setempat, risalah itu menjadi rebutan ahli jamaah Jumaat. Risalah
berkenaan meringkaskan kes-kes penting di mana Khir terbabit dengan amalan rasuah,
termasuk dalam dua projek membina jalan merentasi bendang di kawasan Sekinchan dan Sungai
Panjang.
"Kami dapat melihat sendiri yang projek hampir seratus juta itu bukannya dibina untuk
keperluan masyarakat setempat, tetapi lebih bertujuan untuk mengutip wang panas
daripadanya. Kami pun tahu siapa sebenarnya Pua Kim An, kontraktor yang menjalankan
sepenuhnya projek mewah ini," kata seorang penduduk dekat Pekan Sekinchan.
"Kami dapat melihat perubahan besar dalam stail kehidupan keluarga Pua, hanya kerana
hubungan rapat mereka dengan Khir," tambahnya.
Beliau menunjukkan rumah yang pernah disewa oleh Khir Toyo semasa belum dilantik menjadi
menteri besar, iaitu rumah berkembar, yang mana di sebelahnya tinggal keluarga Pua, yang
bukan saja menjalankan projek jalan B44, tetapi juga dianugerahkan kawasan balak seluas
1,200 ekar di Kompatmen 78 Hutan Simpan Hulu Langat. Difahamkan mereka juga mendapat
sekurang-kurangnya 100 ekar tanah di Shah Alam.
Di beberapa tempat strategik sepanjang jalan antara Tanjong Karang dengan Sabak Bernam
dipasangkan banner yang menyindir Khir ekoran 70 ekor lembu korbannya yang dirompak
menjelang hari raya korban yang lalu.
"Lembu pun tak mahu dikorbankan oleh orang seperti MB Selangor," kata seorang
penduduk setempat, sambil tersenyum, yang ditemui berdekatan surau di sebelah rumah Khir,
di Simpang Lima.
|
|
|
HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang
terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan
Diselengara
Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor |