Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Semua Parti Pembangkang Di Selangor Sepakat Jadikan Isu Rasuah Khir Toyo Kempen Utama Pilihanraya Akan Datang
 



KUALA LUMPUR: Semua ahli-ahli panel forum mengenai rasuah Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, 19 Mac lalu, bersepakat menjadikan isu berkenaan sebagai isu penting dalam kempen pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

Pengerusi forum bertajuk “ke arah Selangor yang bebas rasuah”, Dr Hasan Ali, mengingatkan agar rakyat Selangor khususnya bertindak bijak, dengan memastikan bukan saja Khir Toyo ditumbangkan, tetapi Barisan Nasional juga dinafikan kemenangan mereka.

Dr Hassan yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor itu mengajak rakyat agar menyelamatkan Selangor yang mungkin mengalami kebankrapan, jika dilihat kerakusan menteri-menteri besar negeri itu yang cukup rakus mengumpulkan kekayaan untuk diri dan kroni.

“Hanya dengan menukar kerajaan saja amalan salahguna kuasa dan rasuah di negeri Selangor ini dapat dibanteras,” tegasnya lagi.

Ketua Pemuda DAP, Teng Chang Khim, yang juga ADUN Bandar Kelang mengimbau kembali sejarah buruk menteri-menteri besar Selangor, khasnya bermula daripada Datuk Haron Idris sehinggalah Khir Toyo. Masing-masing dikaitkan dengan kes rasuah yang cukup memalukan. Bagaimanapun beliau kesal tiada tindakan undang-undang yang tegas untuk mengatasi gejala rasuah yang jijik itu.

Manakala Ketua Pemuda PAS Selangor, Sallehin Mukhyi, yang juga ADUN Sungai Besar menyarankan agar lebih banyak majlis penerangan dan usaha kesedaran di kalangan rakyat untuk menentang amalan buruk ini.

“Nampak ada kesan apabila di kawasan Khir Toyo sendiri, iaitu di Sungai Panjang, yang mana menunjukkan pertumbuhan cawangan-cawangan baru PAS cukup rancak sekali. Ini menunjukkan rakyat dapat menilai apa sebenarnya yang dilakukan oleh Khir Toyo walaupun beliau kini sudah menjadi MB,” tegas Sallehin.

"Kalau dulu hanya ada wakil DAP saja dalam sidang DUN Selangor, kini sudah ada enam wakil rakyat pembangkang yang akan menyuarakan apa saja isu-isu rakyat, dan kita percaya selepas pilihan raya akan datang, kita akan pastikan BN hanya tinggal wakil saja," tambahnya lagi.

Naib Presiden PRM, R Sivarasa mendedahkan bagaimana beliau sebagai seorang peguam, yang banyak mengendalikan kes-kes berkaitan tanah di Selangor terkejut melihat begitu banyak tanah di negeri ini, yang keluasannya beribu-ribu hektar, dikaitkan dengan bekas Menteri Besar Selangor, Mat Taib.

Dan katanya, bila melihat pendedahan aktivis media, Ahmad Lutfi terhadap amalan rasuah Khir Toyo, beliau sekali lagi terkejut. Meskipun Khir baru saja dilantik MB Selangor, tetapi kes-kes rasuah yang dilaporkannya cukup menakjubkan.

“Sepatutnya rakyat berhak mendapat nilai sebenar peruntukan yang dicurahkan kerajaan untuk mereka. Misalnya kalau seringgit diberikan kepada rakyat, maka rakyat berhak mendapat seringgit. Tapi dengan amalan rasuah ini, wang seringgit itu, kalaupun sampai lima puluh sen kepada rakyat, itu sudah dikira cukup banyak,” tegas Sivarasa lagi.

Tambahnya, segala maklumat lengkap tentang salahguna kuasa Khir Toyo, seperti yang diringkaskan dalam satu risalah khas bertajuk "9 Kes Rasuah Khir Toyo" mesti diedarkan ke seluruh pelosok negeri Selangor. Masih ramai rakyat yang tidak mengetahui kes-kes rasuah berkenaan, katanya, terutama dalam media bukan berbahasa Melayu.

"Kita patut cetak dalam semua bahasa, sekurang-kurangnya Inggeris, Tamil dan Mandarin," tegasnya Sivarasa lagi.

Bagi Ahmad Lutfi Othman, institusi MB Selangor sudah cukup terjejas dengan begitu dahsyat. Pilihlah siapa saja, sama ada tokoh berpengalaman seperti Abu Hassan Omar, ataupun orang baru seperti Khir Toyo, akhirnya semua terlingkup dengan pelbagai skandal, sama ada skandal seks ataupun skandal rasuah.

“Kajian saya menunjukkan Khir terbabit dalam hampir semua bentuk rasuah. Dalam projek bina jalan, ada rasuah. Dalam projek bekal dan pasang paip air, ada rasuah. Dalam meluluskan tanah, ada rasuah. Dalam menganugerahkan kawasan balak, ada rasuah. Dalam menggunakan kedudukannnya sebagai Pengerusi PKNS, ada rasuah,” tegas Lutfi.

Beliau turut mengulas laporan internet yang mendakwa Khir mengarahkan setiap kertas perbincangan dan minit mesyuarat Exco tidak dibawa keluar selepas selesai mesyuarat.

"Semua Exco masuk berlenggang, keluar pun berlenggang. Ini sudah cukup serius, lebih dari mesyuarat parti komunis lagi. Apabila Khir Toyo tak percayakan lagi exco-exconya boleh menyimpan segala salahguna kuasa dan penyelewengannya, maka keruntuhan Umno akan menjadi lebih cepat lagi kerana seteru politik dalam Umno tentu tidak akan duduk diam," kata Lutfi.

Forum anjuran Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) itu telahpun dirakamkan dan akan diterbitkan dalam bentuk VCD tidak lama lagi. Sebelum ini, VCD Skandal MB, mendapat sambutan yang cukup membanggakan.

 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net