Curve-C-4.jpg (764 bytes) Curve-C-1.jpg (767 bytes)
Logo_Keadilan_1.jpg (1852 bytes)

Pemuda keADILan Negeri Selangor

http://pemuda-keadilan-selangor.net

Pemuda Pejuang Reformasi

Curve-C-3.jpg (767 bytes)   
Pemuda_Animation3.gif (22964 bytes)

Curve-C-3.jpg (767 bytes) Curve-C-2.jpg (814 bytes)
Rasuah Khir Toyo Hanya Permulaan Buat Program Politik KAMI
 


KUALA LUMPUR: Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) menganjurkan forum khas mengenai dakwaan salahguna kuasa dan amalan rasuah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, malam ini di Hotel Grand Olympic, dekat sini.

Menurut jurucakapnya, inilah julung kali KAMI mengadakan program membahaskan isu-isu semasa yang tiada kaitan dengan persoalan kebebasan media seperti yang selalu diadakan.

“Perkembangan politik semasa mendorong KAMI untuk turut aktif menyumbangkan idea dan menyediakan platfom kepada perbincangan isu-isu yang mempunyai kaitan rapat dengan kepentingan orang ramai. Apatah lagi isu rasuah Khir Toyo ini sebenarnya mula dicetuskan oleh aktivis KAMI sendiri, Ahmad Lutfi Othman,” tambahnya.

Sehingga kini Lutfi telah membuat lima aduan rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), mendakwa Khir terbabit dengan pelbagai aktiviti rasuah, salahguna kuasa dan amalan kronisme, sepanjang satu setengah tahun beliau menjadi Menteri Besar Selangor. Bagaimanapun, pihak BPR belum membuat apa-apa kenyataan rasmi mengenai kes berkenaan meskipun telah didesak berbuat demikian oleh banyak pihak.

Forum bertajuk “Ke Arah Selangor yang Bebas Rasuah” itu membariskan ahli-ahli panel Azmin Ali (ADUN Hulu Kelang, yang juga Naib Presiden KeADILan), Teng Chang Khim (ADUN Bandar Kelang, yang juga Ketua Pemuda DAP Nasional), R Sivarasah (Naib Presiden PRM) dan Lutfi sendiri. Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Dr Hassan Ali, yang juga Naib Presiden PAS dan ADUN Sungai Burong bertindak sebagai pengerusi forum berkenaan.

Difahamkan selain membuat persiapan untuk merayakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, awal Mei depan, KAMI juga merancang untuk menganjurkan siri diskusi tentang perkembangan politik tanahair, yang membabitkan parti pemerintah dan juga parti pembangkang.

“Ruang untuk menyatakan sikap dan pandangan berbeza bukan sahaja semakin terhad dan terhakis dalam media massa, seperti yang sering disuarakan sebelum ini, tetapi ia semakin dicabuli dengan sewenang-wenangnya apabila majlis-majlis ceramah juga dihalang,” kata Lutfi, yang juga antara pengasas kumpulan itu, bila ditanya mengapa perlu KAMI terbabit dalam aktiviti bercorak politik.

“KAMI cukup kecewa dengan amalan kuku besi pemerintah apabila berdepan dengan seteru politik mereka, sehingga segala jentera kerajaan diperalatkan termasuk institusi penting menegakkan keadilan, misalnya polis. Lebih dahsyat lagi, selepas ceramah pembangkang dihalang, RTM tidak segan silu menyogokkan fitnah dan propaganda murahan hampir setiap malam, pada waktu perdana, bagi semua saluran berita sama ada dalam bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris,” tegasnya lagi.

“Saya fikir satu konvensyen politik nasional perlu diadakan terutama bagi mengungkap fenomena politik hari ini, yang semakin menarik untuk diperkatakan. Amat tidak adil bagi parti-parti pembangkang dipaksa berdepan dengan pilihan raya umum jika sekatan dan tekanan seperti yang berlaku hari ini berterusan,” kata Lutfi.

Dalam pada itu, desas-desus mengatakan BPR telahpun menyiapkan laporan siasatannya ke atas aduan Lutfi itu makin hangat diperkatakan. Selepas laporan pertama diserahkan kepada Perdana Menteri dua bulan lalu, laporan kedua dikatakan telahpun berada di atas meja Dr Mahathir.

Difahamkan laporan siasatan BPR itu datangnya dari Ibu Pejabat BPR di Putrajaya selepas didapati banyak kelemahan penyiasatan yang dibuat oleh BPR Selangor. Walaupun pada mulanya Lutfi membuat aduan rasmi kepada Ibu Pejabat BPR di Putrajaya, tetapi kes ini dipindahkan ke BPR Shah Alam. Lutfi pernah membuat bantahan kesnya dikendalikan oleh BPR Selangor atas alasan adalah lebih selesa bagi pihak BPR Putrajaya menyiasat kes yang membabitkan seorang ketua kerajaan negeri. Ibu Pejabat BPR Selangor terletak di Kompleks PKNS Shah Alam.

Sebuah laman web baru-baru ini menyiarkan berita Khir Toyo, yang dikatakan begitu kurang senang dengan tiga orang anggota Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor kerana disyakki membocorkan rahsia mesyuarat Exco kepada Lutfi, telah berjumpa sebanyak tiga dengan Timbalan Perdana Menteri, mendesak agar ketiga-tiga Exco itu digugurkan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak melayani permintaan Khir memandangkan pergolakan politik Umno Selangor akan menjadi lebih buruk jika rombakan Exco dibuat.

Difahamkan ketiga-tiga Exco kanan itu akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan masing-masing dan ini memaksa tiga pilihan raya kecil akan dijalankan serentak di Selangor.


 

 

HHakcipta Terpelihara.
Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan

Diselengara Oleh:
Unit Komunikasi, Media & IT
Biro Penerangan
Pemuda keADILan
Negeri Selangor

[ Webmaster ] [ Capaian ] [ Cari ] [ Simpan ] [ Cetak ] [ Laman Utama ] [ Atas ]

http://pemuda-keadilan-selangor.net